Isnin, 25 Oktober 2021 | 11:01am
Cinta kian pudar, akhirnya Fadlan jawab spekulasi putus cinta dengan gadis Tionghua, Julie. - Foto IG Fadlan Hazim
Cinta kian pudar, akhirnya Fadlan jawab spekulasi putus cinta dengan gadis Tionghua, Julie. - Foto IG Fadlan Hazim

'Untaian kasih 16 tahun terlerai'

KUALA LUMPUR: Perasaan cinta yang pernah subur di hatinya sudah beransur pergi. Tiada lagi kuasa cinta yang memahat memori indah buat aktor kacak, Fadlan Hazim, 29, apabila hubungan cinta bersama gadis Tionghua, Julie Anne Kang, 29, tidak mampu bertahan hingga ke jenjang pelamin.

Malah, bintang filem Sangkar itu berasakan bebanan yang sekian lama terpikul di bahu gugur satu demi satu selepas persahabatan dan tugu cinta selama 16 tahun menyembah bumi, sejak Jun tahun lalu.

Kekusutan hubungan bagaikan tidak mampu dileraikan apabila meledaknya isu dan perbalahan berpanjangan, termasuk tanda tanya hubungan mesra Fadlan dengan pelakon baharu, Anna Jobling selepas dipertemukan dalam drama Shah Alam 40000, awal tahun ini.

Agak berat buka mulut apabila diasak gosip cinta tiga segi, Fadlan akhirnya dedah duka yang membenam di jiwa sejak setahun lalu.

"Cinta indah dan wangi untuk disulam, namun, ia belum tentu menjanjikan kebahagiaan. Saya sendiri tidak menyangka persahabatan, kemudiannya hubungan dibajai perasaan cinta selama 16 tahun berakhir tanpa pengakhiran yang baik.

"Saya akui, hubungan cinta dengan Julie terlerai pada Jun, tahun lalu. Saya pernah cuba memperbaiki kekusutan hubungan selama beberapa bulan, namun, tidak berjaya.

"Akhirnya, saya dan Julie ambil keputusan menamatkan hubungan daripada terus menjadi toksik, penghujung tahun lalu. Jujurnya, banyak isu yang timbul, maklumlah kami sudah lama berkawan.

"Hubungan tidak berapa 'ngam' sejak beberapa tahun lalu. Macam-macam drama berlaku, tetapi saya masih cuba mempertahankannya kerana sudah kenal lama.

"Penghujungnya, kami letih apabila masalah sama berulang. Makin lama, perasaan bosan menguasai diri," katanya membuat pengakuan secara eksklusif kepada BH Online.

Fadlan nafi Anna jadi punca perpisahan, sebaliknya hubungannya dengan Julie sudah retak apabila masing-masing terlalu sibuk mengejar impian dan berbeza haluan.
Fadlan nafi Anna jadi punca perpisahan, sebaliknya hubungannya dengan Julie sudah retak apabila masing-masing terlalu sibuk mengejar impian dan berbeza haluan.

Aktor yang mencipta populariti menerusi drama Papa Ricky itu berkata, antara puncanya, terlalu sibuk mengejar impian dan berbeza haluan.

"Saya belum capai impian dalam kerjaya, agak sukar memberi fokus kepada perhubungan cinta 100 peratus. Julie pula sibuk menguruskan perniagaan yang belum kukuh. Apabila bertemu, kami sibuk melayan telefon bimbit daripada berbual.

"Lama kelamaan, hubungan makin menjauh. Jika ada masalah, kami tidak lagi berkongsi cerita, lebih banyak memendam rasa. Kini, kami tidak lagi berhubung sejak dua bulan lalu.

"Ia jalan terbaik untuk 'move on', lagi pun, tiada apa yang mahu dibincangkan lagi. Sebagai kawan pun tidak, jadi persahabatan sejak di bangku sekolah turut berakhir," katanya.

Pelakon yang terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia peragaan, sejak berusia 16 tahun itu berkata, bohonglah jika hatinya tidak terluka selepas perpisahan.

"Saya dan Julie sudah faham baik buruk, perangai tidak bijak dan keanak-anakan masing-masing. Namun, tiada guna dipaksa jika tidak mampu diteruskan.

"Saya akui, jiwa kacau selama beberapa bulan, tetapi mujurlah saya sibuk dengan penggambaran. Secara kebetulan, saya menjalani penggambaran drama komedi, Wifi Sebelah Rumah.

"Jadi, sedikit sebanyak membantu menghilangkan kekusutan hati apabila banyak ketawa di lokasi penggambaran," katanya.

Hubungan Fadlan dan Anna selesa sebagai rakan, tiada terkait soal hati. - Foto IG Anna Jobling
Hubungan Fadlan dan Anna selesa sebagai rakan, tiada terkait soal hati. - Foto IG Anna Jobling

Mengulas gosip cinta tiga segi mengaitkan Anna sebagai orang ketiga, Fadlan menafikannya.

"Saya berpisah dengan Julie, pertengahan tahun lalu. Saya bertemu dengan Anna dalam drama Shah Alam 40000, hujung tahun lalu.

"Jadi, Anna bukan punca saya dan Julie putus cinta. Hubungan saya dan Anna selesa sebagai rakan, tiada terkait soal hati.

"Saya suka layan keletah Anna buat lawak, jadi kami jadi satu kepala. Anna matang, walaupun baru berusia 20 tahun. Sehingga kini, kami masih rapat biarpun penggambaran drama sudah berakhir, Februari lalu.

"Saya dan Anna jadi rapat apabila kami saling membantu di lokasi penggambaran. Shah Alam 40000 adalah drama pertama Anna diberi peranan watak utama, jadi banyak membantunya dari segi lakonan termasuk penguasaan bahasa Melayu," katanya.

Dijolok adakah menyimpan perasaan suka terhadap Anna, Fadlan dengan nada berseloroh mengakui, "Siapa tak suka orang lawa macam Anna?

"Namun, kini, saya lebih seronok hidup seorang diri. Saya tidak terikat dengan sesiapa dan fokus pada kerjaya lakonan.

"Alhamdulillah, saya menerima banyak projek besar sejak putus cinta. Selain sibuk di lokasi penggambaran drama Villa Kristal arahan Khabir Bhatia untuk siaran iflix, saya juga buat kali pertama diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama Sayang Tak Dikenang bergandingan dengan Ruhainies untuk slot Akasia di TV3.

"Insya-Allah, saya juga tampil dalam drama Kampung People musim ketiga dan sedang melakukan latihan untuk filem Sangkar 2, tahun depan," katanya.

Berita Harian X