Sabtu, 23 Oktober 2021 | 10:22am
Shuib menyifatkan anak bongsunya, Ayash sangat luar biasa dan mudah diasuh. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib menyifatkan anak bongsunya, Ayash sangat luar biasa dan mudah diasuh. Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib mengadu masalah di pusara Siti Sarah

PUTRAJAYA: Lebih dua bulan pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib Sepahtu, 37, mengaku emosinya belum stabil dan sukar mengawal perasaan setiap kali terkenang isteri tersayang.

Shuib berkata, sejak bergelar bapa tunggal, soal emosi menjadi perkara yang sukar dihadapi dalam rutin harian.

"Saya tengok anak-anak, alhamdulillah emosi mereka terkawal tetapi saya berbeza. Saya buat hampir semua perkara dengan Sarah. Jadi, apabila arwah tiada, saya tidak rasa hilang separuh, sebaliknya, hampir semua diri ini hilang.

"Maksudnya, daripada segi kerjaya dan perniagaan, kami selalu kongsi banyak perkara. Contohnya, kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk kepada arwah dan begitu juga dirinya.

"Jadi, apabila arwah tiada, saya tak tahu mahu rujuk siapa. Sampai sekarang, apabila saya ada masalah, saya tidak bercakap dengan orang termasuk emak atau ibu mentua.

Shuib bersyukur dikurniakan keluarga dan anak-anak yang reda berdepan ujian selepas pemergian arwah Siti Sarah. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib bersyukur dikurniakan keluarga dan anak-anak yang reda berdepan ujian selepas pemergian arwah Siti Sarah. Foto IG Shuib Sepahtu

"Sebaliknya, saya pergi ke kubur arwah dan berkongsi dengannya," katanya ditemui pada majlis Indigital Music Night di Restoran D'Empangan Udang Galah di sini, malam tadi.

Shuib berkata, dia menziarahi pusara isterinya setiap Isnin dan Jumaat bagi berkongsi apa sahaja perkara.

Tambah Shuib, dia masih berehat dan tidak memasuki pejabat sejak lima bulan lalu serta tidak bekerja sejak pemergian arwah.

"Disebabkan itu, setiap minggu saya berjumpa doktor peribadi yang menjaga Sarah. Saya periksa kesihatan termasuk soal psikiatri... Ini bagi memastikan kesihatan mental saya.

"Soal kesihatan mental berkait rapat dengan emosi dan badan kita. Saya bersyukur saya ada keluarga yang sangat baik dan membantu menjaga anak-anak.

"Kami juga lakukan perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini iaitu mengaji setiap malam dan solat berjemaah. Jadi, perkara seperti itu sangat membantu kesihatan mental saya," katanya.

Sementara itu, bertanya mengenai keterbukaan Shuib menerima pasangan baharu dalam hidup pada masa depan, bapa empat anak ini mengaku belum bersedia, malah, merasa pelik untuk melakukannya.

"Kadang-kadang saya fikir bagaimana perasaan arwah di sana. Jadi soal jodoh ini, saya tidak berani cakap panjang sebab tentulah percaturan Allah paling tepat.

"Saya tidak menolak jodoh kerana apa yang diberikan Allah adalah yang terbaik buat saya.

"Saya tak boleh cakap tidak akan berkahwin sebab mungkin saya muda lagi, 37 tahun. Saya ada empat anak dan sudah tentu mereka memerlukan kasih seorang wanita.

"Emak saya kata saya masih muda, sudah tentu, sebagai lelaki mahukan kasih sayang. Bagaimanapun, saya serah kepada Allah mengenai soal jodoh pada masa depan," katanya.

Ditanya apakah dia mahukan wanita yang sama seperti arwah Siti Sarah, Shuib menidakkannya.

"Saya tidak mahu ada persamaan. Sarah dalam kelasnya tersendiri. Cuma ada kriteria yang saya akan tetapkan... Ini bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi anak-anak dan keluarga.

"Kalau dia (wanita pilihan) berjaya mencuri hati anak-anak saya, mungkin dialah orangnya. Sebab yang lebih penting adalah mereka.

"Mereka pernah ada ibu, pastinya mereka mahu membesar dengan sentuhan seorang ibu. Jadi, tanggungjawab sayalah untuk memilih orang yang tepat," katanya.

Ditanya apakah bimbang berdepan wanita yang mahu mengambil kesempatan ke atas apa yang dimilikinya, Shuib mengaku takut.

"Takut juga... Saya berharap dalam masa depan, saya lebih berhati-hati. Sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya," katanya yang menafikan ada wanita cuba mendekati dirinya.

Berkongsi perkembangan anak bongsu, Ayash Affan, Shuib berkata, Ayash membesar dengan sihat dan mudah diasuh.

"Ayash anak yang sangat luar biasa. Dia tiada masalah langsung, senang jaga, tak banyak merengek dan bayi yang sangat baik.

"Alhamdulillah, Ayash menunjukkan perkembangan kesihatan yang sangat baik. Dia dilahirkan seberat 1.8 kilogram (kg). Ketika saya ambil (bawa pulang), beratnya 2.6 kg dan sekarang sudah 4.1 kg," katanya.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui kaedah pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU), HCTM, UKM akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi, 9 Ogos lalu.

Arwah Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash.

Berita Harian X