Ahad, 17 Oktober 2021 | 11:01am
Baby Shima tidak mengiyakan atau menafikan tatu tulisan namanya di bahagian dada, malah mahu membiarkan netizen terus membuat spekulasi. - Foto IG Baby Shima
Baby Shima tidak mengiyakan atau menafikan tatu tulisan namanya di bahagian dada, malah mahu membiarkan netizen terus membuat spekulasi. - Foto IG Baby Shima

Baby Shima dikecam 'bertatu'

KUALA LUMPUR: Tidak berhenti menerima kecaman, penyanyi Baby Shima, 29, sekali lagi terpalit sensasi apabila didakwa memiliki tatu tulisan namanya pada bahagian dada.

Ia selepas bintang kelahiran Malaysia yang kini mencipta nama di negara seberang itu memuat naik hantaran videonya bersama selebriti media sosial, Ammar Nazhan dalam laman Instagram (IG).

Bagaimanapun, Shima atau Nor Ashima Ramli tidak mengiyakan atau menafikan, malah terus membiarkan netizen untuk membuat spekulasi.

"Bagi saya, bertatu nampak cantik, tetapi saya enggan cakap berlebihan.

"Biarlah netizen menilai sebab kalau saya bercakap baik sekalipun tetap tidak diterima netizen.

"Jadi, saya buat apa yang saya suka. Apa yang penting, saya tidak kacau hidup orang lain," katanya ringkas kepada BH Online.

Baby Shima masih menunggu Indonesia membuka pintu sempadan bagi menyambung banyak projek yang tergendala ketika pandemik COVID-19. - Foto IG Baby Shima
Baby Shima masih menunggu Indonesia membuka pintu sempadan bagi menyambung banyak projek yang tergendala ketika pandemik COVID-19. - Foto IG Baby Shima

Sementara itu, mengulas perancangan kerjaya di Indonesia selepas penularan COVID-yang semakin reda, Shima berkata, dia masih menunggu pintu sempadan dibuka.

"Jujurnya, saya mahu pulang ke Indonesia secepat mungkin. Saya masih menunggu Indonesia membuka pintu sempadan dan membenarkan rakyat Malaysia masuk.

"Saya akan mengeluarkan single ciptaan Pasha Ungu untuk pasaran Indonesia, namun semua tergendala disebabkan penggambaran video muzik tidak dapat dilakukan.

"Saya terpaksa tunggu pulang ke Jakarta untuk menyiapkannya. Ini kerana Pasha sendiri akan mengarahkan video muzik berkenaan," katanya.

Penyanyi kelahiran Masai, Johor itu berkata, dia bukan sekadar mahu menyambung perancangan kerjaya nyanyian yang tergendala, malah sudah hampir dua tahun tidak menjenguk rumahnya.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi pada rumah apabila hampir dua tahun ditinggalkan tanpa penghuni," katanya yang kini sibuk menyiapkan kerja terbengkalai ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Selain itu, bekas finalis program D'Academy Asia musim ketiga itu juga sedang membuat persiapan memasuki studio merakamkan empat single ciptaan Ezra Kong, Harry Khalifah dan Achoi Floor 88 pada bulan depan.

Berita Harian X