Khamis, 14 Oktober 2021 | 8:31am
Junady berbesar hati dengan keyakinan Lembaga Pengarah MyCreative Ventures melantiknya sebagai GCEO.
Junady berbesar hati dengan keyakinan Lembaga Pengarah MyCreative Ventures melantiknya sebagai GCEO.

Junady dilantik GCEO MyCreative Ventures

KUALA LUMPUR: MyCreative Ventures Sdn Bhd melantik Junady Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Said berkata, pelantikan itu bertepatan pada ketika MyCreative sedang giat menjalankan beberapa inisiatif kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk membantu industri kreatif ketika berdepan cabaran pandemik COVID-19.

"Tugas GCEO MyCreative Ventures memerlukan kemahiran pelbagai aspek termasuk pengalaman dalam kepimpinan, kebolehan menguruskan pemegang taruh yang berbeza termasuk kementerian, pemain ekosistem kreatif dan sebagainya.

"Ia juga perlu seiring dengan keazaman untuk menjadikan prospek ekonomi jingga antara teraju baharu kepada penjanaan ekonomi negara.

"MyCreative Ventures yakin kemampuan Junady menggerakkan usaha dalam fokus untuk memacu prospek ekonomi jingga ketika perhatian kini bertumpu kepada fasa pemulihan selepas pembukaan sektor ekonomi.

"Ini termasuklah menerusi inisiatif pembangunan ekosistem yang dibentuk secara strategik, bantuan kewangan dan pelaburan inovatif, meningkat dan menggandakan pasaran produk kreatif dalam pasaran tempatan serta antarabangsa bagi usaha membantu melonjakkan prestasi ekonomi selepas pandemik," katanya kepada BH Online.

Tambah Noor Azmi, perlantikan ini juga bagi mengukuhkan komitmen MyCreative Ventures untuk merancakkan ekonomi jingga Malaysia.

"Ekonomi jingga sebagai salah satu sektor utama bagi mencapai aspirasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan sumbangan RM31.9 bilion kepada keluaran dalam negeri kasar sebelum 2025," katanya.

Junady mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam bidang tadbir urus korporat seperti kewangan, perancangan, strategi pelaburan, penstrukturan semula dan pembangunan sektor awam ketika memegang jawatan dalam beberapa entiti terkemuka seperti BIMB Holdings Berhad, Rothschild Malaysia, UEM Group, Renong Berhad, Maybank Investment Bank dan PriceWaterhouse Coopers (PWC).

Beliau pernah bertugas sebagai Pengarah Kanan Perancangan Strategik di Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab mengemukakan cadangan intervensi strategik kepada Kerajaan Malaysia dalam membentuk pelan jangka panjang ekonomi dan pembabitan sosio-ekonomi Bumiputera, selaras dengan RMK-12 serta perancangan melangkaui 2030.

Sementara itu, Junady berbesar hati dengan keyakinan Lembaga Pengarah MyCreative Ventures melantiknya sebagai GCEO.

"Saya teruja bersama kumpulan yang berpengalaman ini untuk menambah nilai, menyumbang pembangunan industri kreatif dan memastikan bakat dalam industri negara diangkat menjadi asas kepada pembangunan ekonomi Malaysia," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi daripada London School of Economics & Political Science dan ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Berita Harian X