Selasa, 12 Oktober 2021 | 8:31am
Walaupun terpaksa bersaing dengan anak buah sendiri, namun DJ Lin yang juga pemegang tiga kali trofi Penyampai Radio Popular bersikap positif dan melihatnya sebagai persaingan sihat. - Foto Ihsan Suria FM
Walaupun terpaksa bersaing dengan anak buah sendiri, namun DJ Lin yang juga pemegang tiga kali trofi Penyampai Radio Popular bersikap positif dan melihatnya sebagai persaingan sihat. - Foto Ihsan Suria FM

DJ Lin bersaing dengan 'anak buah' sendiri

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin, 46, berbangga apabila dua penyampai radio stesen terbabit iaitu Tyzo dan Sharifah Shahirah turut bersamanya melepasi senarai Top 5 bagi kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang diumumkan, kelmarin.

Walaupun terpaksa bersaing dengan anak buah sendiri kerana turut membolosi dalam kategori, namun pemegang tiga kali trofi Penyampai Radio Popular, ABPBH 33 itu bersikap positif apabila melihatnya sebagai satu persaingan sihat.

"Sebelum ini, setiap kali mesyuarat pengurusan, saya pasti akan meluahkan hasrat melihat penyampai lain mengikut jejak langkah saya naik ke pentas ABPBH untuk menerima trofi Penyampai Radio Popular.

"Sampai bila nak tengok asyik DJ Lin sahaja yang meraih peluang ini. Saya sentiasa membakar semangat anak buah dengan memberikan kata-kata yang positif.

"Alhamdulillah, sebaik sahaja nama Tyzo dan Sharifah Shahirah diumumkan sebagai finalis, saya bangga dan teruja kerana hasrat saya akhirnya menjadi kenyataan," katanya kepada BH Online.

DJ Lin mahu anak buahnya, Tyzo naik ke pentas ABPBH untuk menerima trofi Penyampai Radio Popular. - Foto Ihsan Suria FM
DJ Lin mahu anak buahnya, Tyzo naik ke pentas ABPBH untuk menerima trofi Penyampai Radio Popular. - Foto Ihsan Suria FM

DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM berkata, kejayaan mereka tidak akan berlaku tanpa sokongan peminat dan pendengar yang gigih mengatur strategi bagi memastikan penyampai kesayangan layak bergelar finalis.

"Walaupun slot berbeza kerana saya mengendalikan segmen sebelah malam, manakala Tyzo dan Sharifah Shahira pada slot petang, tetapi pendengar tetap mengundi kami.

"Malah, ada juga yang memaklumkan setiap hari undian dibahagi kepada tiga bagi memastikan kami bertiga layak ke peringkat Top 5. Usaha peminat membuatkan saya terharu.

"Memandangkan kami sudah berada pada Top 5, kini terpulanglah kepada peminat untuk memilih siapa yang layak untuk diangkat sebagai pemenang. Jadi, inilah cabarannya," katanya.

Turut bersaing dalam kategori itu adalah dua penyampai Sinar FM, Jep Sepahtu dan Siti Elizad.

Sharifah Shahirah turut membolosi Top 5 bagi kategori Penyampai Radio Popular, ABPBH 34. - Foto Ihsan Suria FM
Sharifah Shahirah turut membolosi Top 5 bagi kategori Penyampai Radio Popular, ABPBH 34. - Foto Ihsan Suria FM

Dalam perkembangan berkaitan, DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid berkata, meskipun kemenangan sering berpihak kepadanya, namun dia tidak pernah menganggap kejayaannya datang bergolek begitu sahaja.

"Mungkin ada anggap saya tidak perlu berkempen untuk menang. Hakikatnya, saya tetap melakukan kempen pencalonan saya termasuk cara membuat undian kepada pendengar.

"Untuk peminat yang sudah lama mengenali saya, mereka mungkin sedia maklum. Tetapi, untuk peminat baru, kita kena beritahu mereka bagaimana cara mengundi.

"Lagipun, saya memang suka berinteraksi dengan peminat dan kesempatan ini, saya ambil untuk mengajak mereka mengundi," ujarnya.

Terdahulu ibu kepada dua cahaya mata itu pernah tiga kali diangkat Penyampai Radio Popular, ABPBH pada 2016, 2019 dan 2020.

Berita Harian X