Jumaat, 1 Oktober 2021 | 6:25pm
Shuib dan empat anak-anak termasuk dipangku, Ayash yang bakal menginjak usia tiga bulan, beberapa hari lagi. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib dan empat anak-anak termasuk dipangku, Ayash yang bakal menginjak usia tiga bulan, beberapa hari lagi. Foto IG Shuib Sepahtu

Baby Ayash jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Selepas 17 hari pulang ke rumah, pelawak Shuib Sepahtu akhirnya mendedahkan wajah anak bongsu, Ayash Affan kepada pengikut media sosial, petang tadi.

Tidak sampai beberapa jam dimuat naik di Instagram (IG), video Ayash meraih hampir 500,000 tontonan dengan lebih 900 lebih komen dilayangkan artis dan peminat.

Pengurus Indigital Music, Nana Mohd Rom, berkata Shuib membuat keputusan mendedahkan wajah anak keempatnya berikutan Ayash bakal menginjak usia tiga bulan, beberapa hari lagi.

"Selepas merujuk kepada beberapa ustaz dan disebabkan Ayash sudah melebihi 40 hari, barulah Shuib berani mendedahkan wajah anaknya.

Wajah Ayash dikongsi buat kali pertama oleh bapanya, Shuib melalui video dimuat naik di Instagram (IG). Foto Ihsan Shuib Sepahtu
Wajah Ayash dikongsi buat kali pertama oleh bapanya, Shuib melalui video dimuat naik di Instagram (IG). Foto Ihsan Shuib Sepahtu

"Lagipun, Shuib ingin memastikan Ayash benar-benar sihat. Selepas keputusan pemeriksaan kesihatan Ayash yang pertama diterima menunjukkan bayi itu sihat, barulah Shuib kongsi video Ayash di laman sosial," katanya kepada BH Online.

Pada majlis bacaan Yasin sempena 40 hari pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, bulan lalu, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 37, memberitahu dia tidak bersedia mendedahkan wajah Ayash atas nasihat beberapa ustaz.

Sebelum ini, Shuib dilaporkan berkata, sebagai bayi pra matang, Ayash memerlukan penjagaan rapi seperti diberi susu setiap tiga jam dan tidak boleh terdedah kepada asap dan habuk berikutan paru-paru belum matang.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui kaedah pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu tiga hari sebelum arwah ibu, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19.

Berikutan lahir pramatang, Ayash ditempatkan dalam inkubator sehingga 25 Ogos lalu dan diberi penjagaan sehingga berusia 41 hari. Ayash dibenarkan pulang ke rumah pada 14 September lalu.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU), HCTM, UKM akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi 9 Ogos lalu.

Arwah Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash.

Berita Harian X