Rabu, 22 September 2021 | 3:00pm
Dua anggota K-Clique, Noki dan MK mempunyai aura serta pesona tersendiri hingga menjadi kegilaan ramai. - Foto IG Noki dan MK
Dua anggota K-Clique, Noki dan MK mempunyai aura serta pesona tersendiri hingga menjadi kegilaan ramai. - Foto IG Noki dan MK

Noki, MK tak sebulu?

KUALA LUMPUR: Dua anggota K-Clique, Noki dan MK yang juga calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 mempunyai aura serta pesona tersendiri hingga menjadi kegilaan ramai.

Tidak kira atas kapasiti berkumpulan atau bergerak solo, niat Noki atau MK hanya mahu berkongsi bakat.

Bagaimanapun, timbul gosip bertebaran mendakwa, Noki atau nama penuhnya, Ahmad Ikhwan Aji mencemburui populariti diraih MK.

Ketika MK berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila membintangi drama The Hotel, Noki turut membintangi drama Oh My Hantaran arahan Shuhaimi Lua, terbitan Tanah Beris Film Production yang bakal menghiasi slot Diandra di TV9, tidak lama lagi.

"Sebenarnya, tiada istilah cemburu. Ia lebih kepada bersaing secara sihat dan meneruskan survival. Ikutkan MK lagi ramai pengikut dalam Instagram (IG) hingga mencecah jutaan.

"Saya pula hanya ratusan ribu pengikut dalam IG. Soal berlakon saya anggap lebih kepada mencuba nasib. Lagipun, MK turut membintangi drama Oh My Hantaran," katanya kepada BH Online.

Noki menepis dakwaan tidak sebulu dengan MK ketika menghasilkan single terbaharu berjudul Payung Pelangi. - Foto IG Noki
Noki menepis dakwaan tidak sebulu dengan MK ketika menghasilkan single terbaharu berjudul Payung Pelangi. - Foto IG Noki

Noki yang sedang menjalani penggambaran drama Oh My Hantaran di Sungai Lembing, Kuantan turut menepis dakwaan, tidak sebulu apabila menghasilkan single berjudul Payung Pelangi.

Lagu ciptaan Noki bersama MK itu dilancarkan di platform digital terpilih sejak 9 September lalu. Video lirik lagu berkenaan sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube K-Clique.

"Idea menghasilkan single Payung Pelangi timbul apabila mendapat tawaran membintangi drama Oh My Hantaran.

"Lagu ini menceritakan mengenai usaha keras, harapan dan semangat anak muda. Sebelum mendapat sesuatu kejayaan, kita bekerja keras dan jangan ada sifat berputus asa.

"Pelangi hanya perumpamaan di mana ia tidak akan muncul jika tiada hujan. Jadinya, kesusahan pada permulaannya pasti ada, tetapi dengan usaha keras dan izin-Nya, kejayaan tidak akan datang bergolek.

"Saya harap lirik Payung Pelangi mampu memberikan semangat kepada rakyat Malaysia," katanya.

MK mempunyai jumlah ramai peminat hingga mencecah jutaan pengikut dalam IG. - Foto IG MK
MK mempunyai jumlah ramai peminat hingga mencecah jutaan pengikut dalam IG. - Foto IG MK

Bertanding atas kapasiti dua pencalonan awal kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan, ABPBH 34, Noki hanya berserah.

Dua pencalonan dimaksudkan menerusi lagu Merais bersama K-Clique dan lagu Gila bersama Kaka Azraff dan Loca B yang diangkat sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu Ke-35.

"Melihat calon awal kategori ini, nyata bukan calang-calang yang artis bertanding. Soal membolosi Top 5 dan menang, keinginan ini pasti ada buat semua artis yang bertanding.

"Cuma, pada akhirnya kuasa undian peminat yang mengangkat seseorang artis.

"Mungkin tahun depan saya boleh dicalonkan dalam kategori pelakon pula," selorohnya.

Berita Harian X