Selasa, 21 September 2021 | 8:30am
Shuib bersama empat cahaya mata termasuk anak bongsu, Ayash yang dibenarkan pulang selepas hampir 40 hari ditempatkan hospital akibat dilahirkan pramatang pada 6 Ogos lalu. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib bersama empat cahaya mata termasuk anak bongsu, Ayash yang dibenarkan pulang selepas hampir 40 hari ditempatkan hospital akibat dilahirkan pramatang pada 6 Ogos lalu. Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib belajar kawal emosi

KUALA LUMPUR: Sangkanya, hati sudah cukup kental melawan rindu yang bertandang selepas pemergian isteri tercinta, kira-kira sebulan lalu.

Namun, hakikat yang harus ditelan pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu adalah biar apapun yang dilakukan, sukar untuknya memadam kenangan yang pernah dicipta bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat COVID-19, pada 9 Ogos lalu.

Akui Shuib, hingga saat ini, satu demi satu momen manis yang pernah dilalui bersama, jelas terbayang di ruang mata, persis wayang gambar yang berputar.

"Selepas pemergian isteri, hari-hari saya dengar lagunya, tatap foto dan menonton video arwah. Itulah rutin yang saya lakukan demi mengubat rasa rindu.

Shuib mahu meluangkan lebih masa bersama anak-anak dan membiasakan diri dengan rutin kehidupan sebagai bapa tunggal. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib mahu meluangkan lebih masa bersama anak-anak dan membiasakan diri dengan rutin kehidupan sebagai bapa tunggal. Foto IG Shuib Sepahtu

"Namun, memasuki minggu ketiga, saya tahan diri untuk tidak meneruskan rutin itu. Bukan mahu melupakannya, tetapi saya tidak mahu terus menyeksa diri mengenang arwah dengan cara begitu," luahnya kepada BH Online.

Kekuatan yang cuba ditanam dalam diri itu bagaimanapun tewas terutama ketika berdepan anak-anak yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehilangan ibu.

"Apabila ditanya ke mana pergi ibu, saya cuba menjawab soalan itu sebaik mungkin agar mereka faham. Namun, biasalah kanak-kanak, ada ketika apabila rasa rindu datang, mereka akan bertanya soalan yang sama berulang kali.

"Berdepan situasi itu sebenarnya mencabar emosi saya. Ada ketika, saya sendiri tidak tahu penjelasan bagaimana lagi yang harus diberikan terutama apabila setiap pertanyaan diajukan, berakhir dengan tangisan.

"Walaupun cuba untuk tunjuk yang saya cukup kuat, namun, melihat wajah sayu anak-anak, saya jadi sedih. Sudahnya, saya menangis bersama mereka," katanya.

Hasil perkongsian hidup bersama Siti Sarah, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan secara pramatang.

Tambah Shuib, doa mereka tidak pernah putus dipanjangkan kepada arwah dengan harapan rohnya tenang bersama mereka yang beriman.

"Sejak hari pertama arwah pergi, menjadi rutin kami sekeluarga untuk solat Maghrib berjemaah dan membacakan Yassin untuknya.

"Alhamdulillah, amalan itu masih diteruskan hingga hari ini. Pemergian arwah juga menyuntik kesedaran dalam diri untuk saya kembali belajar mengaji," katanya.

Baru-baru ini, Shuib mengumumkan mahu berehat seketika daripada dunia seni bagi memberi tumpuan kepada Ayash.

Shuib dilaporkan berkata, sejak Ayash pulang ke rumah selepas hampir 40 hari dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), rutin hariannya berubah.

Shuib mengaku memerlukan masa menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal manakala Ayash pula berkehendakkan penjagaan rapi setiap masa.

Dalam perkembangan lain, Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad, 37, memberitahu, dia sudah merakamkan sebuah lagu yang bakal memahat kenangan buat dirinya bersama isteri.

"Lagu berjudul Sampai Tua dihasilkan komposer Aidit Alfian. Lagu itu saya dengar kira-kira 11 tahun lalu iaitu ketika saya dan arwah sedang bercinta.

"Pada mulanya, lagu itu kami mahu dendangkan secara duet. Namun, setiap kali usaha merakamkan lagu itu dibuat, ada sahaja halangannya.

"Hasrat itu akhirnya terlaksana apabila lagu itu berjaya dirakamkan. Lagu itu sangat menyentuh perasaan terutama pada bahagian korus.

"Lagu ini mengisahkan janji sepasang suami isteri yang akan terus hidup bersama walaupun fizikal mereka berubah kerana dimamah usia.

"Saya ada membuat penambahan sedikit dari segi lirik lagu ini. Insya-Allah, lagu ini boleh didengar di platform digital dalam masa terdekat ini," katanya yang menjadi calon awal kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Mengulas sambutan terhadap lagu Allahyarham Siti Sarah yang menduduki carta Top 10 Lagu Strim Paling Tinggi yang dikendalikan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), baru-baru ini, bekas penyampai Hot FM itu meluahkan rasa terharu.

"Tiada apa yang boleh saya katakan selain mengucapkan terima kasih atas sambutan diberi. Tidak dinafikan lagu-lagu arwah memang sedap didengar dan mempunyai kualiti tersendiri.

"Saya sangat terharu dengan sokongan diberi. Harapan saya, selain mendengar lagu arwah, sudilah kiranya mereka dapat sedekahkan surah al-Fatihah buat arwah," katanya.

Lagu Kesetiaan yang dilancarkan pada 2002, menjuarai senarai minggu ke-33 berakhir 19 Ogos lalu.

Selain Kesetiaan ciptaan Ajai, single lain dendangan Allahyarham Siti Sarah yang merekodkan jumlah strim tinggi adalah Saat Hilang Cintamu, Semakin dan lagu duet bersama Shuib, Semakin Benci Semakin Cinta.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU), HCTM, UKM akibat COVID-19 pada 9 Ogos lalu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, pada hari sama.

Berita Harian X