Ahad, 19 September 2021 | 8:30am
Erynne bersama cahaya matanya, Medina yang kini berusia setahun. - Foto IG Erynne Erynna
Erynne bersama cahaya matanya, Medina yang kini berusia setahun. - Foto IG Erynne Erynna

'Bukan menyepi, tiada rezeki' - Erynne

KUALA LUMPUR: Kemunculan pelakon Erynne Erynna, 24, sering timbul tenggelam, namun, dunia lakonan masih kekal di hatinya.

Tidak sebesar zarah berhasrat meninggalkan dunia lakonan yang dikendong sejak berusia lapan tahun, Erynne masih mahu bergelar pelakon biarpun sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata.

Meskipun sibuk dengan kehidupan berkeluarga, pelakon filem Cinta, Congkak dan Damping Malam itu tetap mahu berlakon sehingga hujung nyawa.

"Sejujurnya, saya tidak pernah menghilangkan diri. Cuma, hidup bagaikan putaran roda, ada masa di atas, ada ketika menjunam ke bawah.

"Jadi, dengan berlalunya masa, mungkin ada orang ingat dan lupa pada saya, apatah lagi, sentiasa muncul pelakon baharu dalam industri lakonan.

"Ketika Allah tidak memberikan rezeki suatu masa dahulu, saya hanya meneruskan kehidupan dengan berseronok. Dari kecil, usia lapan tahun sehingga 17 tahun, saya tidak pernah berhenti berlakon. Satu fasa, Allah memberikan saya masa untuk berehat," katanya kepada BH Online.

Erynna atau nama sebenarnya, Syazlynne Erynne Abdullah berkata, dia tidak menyepi sebaliknya tiada rezeki.

"Orang selalu bertanya berapa lama saya tidak berlakon. Jawapannya mudah, saya akan terus berlakon hingga akhir hayat jika diizinkan Allah.

"Saya tidak akan berhenti berlakon selagi orang ingat dan hargai bakat. Paling penting, selagi Allah memberikan saya rezeki dalam lakonan," katanya.

Tambah Erynne, meskipun namanya tidak dikenali seperti dahulu, ia juga bukan penghalang untuk terus berlakon.

Baginya, berada dalam industri seni bukan hanya bersandar pada populariti, sebaliknya jiwanya sudah sebati dengan lakonan.

"Sejujurnya, saya tidak pernah mengejar populariti, saya pegang kepada nasihat pelakon otai. Biar orang ingat disebabkan bakat, bukannya populariti.

"Apabila populariti sudah tiada, orang akan lupa. Namun, jika orang kenal menerusi bakat, orang akan ingat selamanya, insya-Allah," katanya.

Erynne mendirikan rumah tangga dengan Afify Sazali pada 17 April 2019 dan dikurniakan cahaya mata, Medina, tahun lalu. - Foto IG Erynne Erynna
Erynne mendirikan rumah tangga dengan Afify Sazali pada 17 April 2019 dan dikurniakan cahaya mata, Medina, tahun lalu. - Foto IG Erynne Erynna

Ekoran itu, Erynne yang pernah diangkat Pelakon Kanak Kanak Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-21 tidak pernah mempunyai hasrat meletakkan titik noktah pada dunia lakonan, biarpun tawaran lakonan tidak selebat dahulu.

"Saya tidak pernah berputus asa dari dahulu sampai sekarang. Walaupun melalui pasang surut dalam industri lakonan, tetapi sampai masanya, kita pasti berada di atas semula.

"Namun, janji kekal dengan bakat dan sentiasa menggilap daripada masa ke masa. Dan, saya juga percaya pada rezeki.

"Jika Allah kata itu rezeki saya, ia tidak akan ke mana. Kerana rezeki tidak pernah salah alamat. 

"Cuma, cabarannya saya perlu menolak diri melakukan yang terbaik dan terus berusaha untuk kekal berada dalam industri," katanya.

Berkongsi kehidupannya sebagai ibu kepada cahaya mata, Medina, Erynne berkata, dia tidak pernah menyesali keputusan mendirikan rumah tangga pada usia muda.

"Saya berkahwin pada usia 21 tahun. Saya akui berkahwin pada usia muda bukannya perkara mudah sebab sebagai manusia banyak yang perlu dipelajari.

"Fasa perkahwinan membuatkan saya banyak mengenai kehidupan. Dan bergelar ibu pada usia muda adalah satu nikmat yang cukup berharga.

"Kini, baru saya faham dan lebih menghargai ibu saya. Tidak mudah menjadi seorang ibu dari fasa mengandung, melahirkan sehingga membesarkan anak. Ia satu pengalaman yang sukar digambarkan," katanya.

Selepas lama tidak muncul di kaca televisyen, Erynne membintangi drama Ali Alia arahan Heykal Hanafiah yang ditayangkan di Astro Prima, baru-baru ini,

Membawakan watak remaja autisme bernama Alia, Erynne bersyukur diberi kepercayaan menghidupkan watak berat itu.

"Terima kasih pada abang Heykal kerana masih mempercayai bakat saya untuk membawakan watak remaja autisme.

"Watak Alia berat. Membawa watak anak istimewa satu penghargaan berharga. Saya banyak belajar menerusi watak ini," katanya.

Terdahulu. Erynne mendirikan rumah tangga dengan Afify Sazali pada 17 April 2019 dan dikurniakan cahaya mata, tahun lalu.

Mula diperkenalkan menerusi drama Terasing pada 2005, Erynne membintangi berpuluh drama termasuklah Ema Emyliana, Rumah Siti Khadijah, The Gadis, Nasi Kerabu Untuk Che Abe dan banyak lagi.

Berita Harian X