Sabtu, 18 September 2021 | 8:30am
Shuib memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat anak. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat anak. Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib berundur seketika demi Ayash

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib Sepahtu, 37, berehat seketika daripada dunia seni bagi memberi tumpuan kepada anak bongsu, Ayash Affan yang dilahirkan pramatang.

Shuib berkata, sejak Ayash pulang ke rumah selepas 38 hari dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, rutin hariannya berubah.

"Sampai bila saya berehat, perkara itu belum pasti lagi. Buat masa ini, saya enggan terbabit dengan komitmen seni kerana tidak mahu menyusahkan syarikat produksi andai terpaksa tarik diri pada saat-saat akhir.

"Selain itu, saya perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal. Ayash pula berkehendakkan penjagaan rapi.

"Ayash sihat dan tidak banyak ragam. Tetapi sebagai bayi pramatang, saya sangat berhati-hati kerana paru-parunya belum kuat.

Shuib berehat sementara daripada kegiatan seni bagi memberi tumpuan kepada anak bongsu, Ayash yang dilahirkan pramatang. Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib berehat sementara daripada kegiatan seni bagi memberi tumpuan kepada anak bongsu, Ayash yang dilahirkan pramatang. Foto IG Shuib Sepahtu

"Ayash sensitif kepada asap dan habuk. Apatah lagi dengan keadaan pandemik membuatkan saya trauma untuk keluar rumah kerana bimbangkan keselamatannya," katanya selepas majlis bacaan Yasin secara maya sempena 40 hari pemergian isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin akibat COVID-19 pada 9 Ogos lalu, malam tadi.

Selain Ayash, Shuib dan Siti Sarah dikurniakan tiga zuriat iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, yang turut memerlukan perhatian.

Shuib bersyukur mendapat bantuan ibu bapa mentua serta ipar duai yang banyak meringankan kerjanya.

Selain itu, tambah Shuib, dia bersyukur tiga anak yang lain meringankan beban menguruskan Ayash biarpun mereka juga memerlukan perhatian.

Ditanya apakah dia bercadang mengupah jururawat terlatih untuk mengasuh Ayash, Shuib berkata, dia masih belum bercadang berbuat demikian biarpun beberapa hospital swasta menawarkan khidmat mereka.

Mengenai tindakannya yang belum menunjukkan wajah Ayash melalui foto dimuat naik di media sosial, Shuib berkata, setakat ini dia masih belum bersedia mendedahkan wajah bayinya atas nasihat ustaz.

Berita Harian X