Selasa, 14 September 2021 | 5:42pm
Shuib menyifatkan kepulangan cahaya keempatnya sebagai hadiah hari jadi arwah Siti Sarah, esok. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib menyifatkan kepulangan cahaya keempatnya sebagai hadiah hari jadi arwah Siti Sarah, esok. - Foto IG Shuib Sepahtu

'Ayash pulang hari ini'

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu bersyukur bayi istimewa peninggalan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ayash Affan dibenarkan pulang, hari ini.

Ayash yang berusia 41 hari ditempatkan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak lahir.

Berkongsi berita gembira menerusi laman Instagram (IG), petang ini, Shuib menyifatkan kepulangan cahaya keempatnya itu sebagai hadiah hari jadi arwah ibunya, esok.

"Syukur Ya Allah. Esok birthday ibu (15 September), Allah hadiahkan kepulangan Ayash Affan, hari ini.

"Kejap lagi dah boleh balik dah.... Allahuakbar.

"Tangan, jari sebijik macam tangan ibu. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan anak soleh ini. Syukur, Ya Allah di atas rahmat-Mu," tulisnya.

Semalam, selepas 40 hari dilahirkan, Shuib mendapat kebenaran hospital untuk berjumpa dengan Ayash buat kali pertama.

Shuib berkongsi berita gembira menerusi IG Story mengenai kepulangan bayi pramatang, Ayash. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib berkongsi berita gembira menerusi IG Story mengenai kepulangan bayi pramatang, Ayash. - Foto IG Shuib Sepahtu

Semalam, Shuib yang membolosi pencalonan awal kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 meluangkan masa tiga jam bersama Ayash melihat perkembangan positif bayi pramatang yang kini sudah mencecah berat 2.6 kilogram, selain ia disifatkan sebagai hadiah hari jadinya ke-37.

"Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Nikmat yang cukup indah bila dapat meluangkan masa tiga jam dengan Ayash Affan.

"Syukur, Ayash sihat, berat sudah 2.6 kilogram, menyusu kuat dan comel sangat," kongsi Shuib menerusi hantaran yang dimuat naik di IG Story, petang semalam.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui kaedah pembedahan, tiga hari sebelum arwah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19.

Sejak itu, Ayash terpaksa dimasukkan ke dalam inkubator sebelum dikeluarkan pada 25 Ogos lalu.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), HCTM, UKM akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi pada 9 September lalu.

Beliau meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash yang kini berusia 41 hari.

Berita Harian X