Selasa, 31 Ogos 2021 | 6:16pm
Zuriat pertama hasil perkongsian hidup Issey dan Aimi selamat dilahirkan pada jam 1.48 petang tadi. Foto Ihsan Issey Fazlisham
Zuriat pertama hasil perkongsian hidup Issey dan Aimi selamat dilahirkan pada jam 1.48 petang tadi. Foto Ihsan Issey Fazlisham

Issey dapat anak merdeka

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih menggembirakan penyampai stesen radio, Gegar FM, Issey Fazlisham apabila isteri tersayang selamat melahirkan bayi lelaki hasil perkongsian hidup mereka, ketika rakyat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64.

Issey, 34, bersyukur isterinya, Noor Aimi Jamel selamat melahirkan bayi lelaki secara normal di sebuah pusat perubatan pada jam 1.48 petang tadi.

"Alhamdulillah, tepat jam 1.48 petang tadi, lahirlah zuriat saya yang pertama. Anak merdeka kerana hari ini adalah 31 Ogos. Semoga anak ini menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada keluarga, agama dan negara.

"Sebenarnya, saya tak sangka anak saya dilahirkan hari ini. Doktor beritahu awal bulan September, tetapi semalam, isteri sakit perut dan saya bawa ke hospital.

Issey bakal mengumumkan nama putera tersayang yang selamat dilahirkan pada jam 1.48 petang tadi, tidak lama lagi. Foto Ihsan Issey Fazlisham
Issey bakal mengumumkan nama putera tersayang yang selamat dilahirkan pada jam 1.48 petang tadi, tidak lama lagi. Foto Ihsan Issey Fazlisham

"Alhamdulillah, semuanya lancar dan isteri bersalin secara normal. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami," katanya kepada BH Online.

Issey atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin, berkata tiga anak mereka iaitu Muhammad Uqashah, Muhammad Qayyum dan Cataleya Humairah tidak sabar menyambut kepulangan adik bongsu.

"Anak-anak di rumah dan dijaga nenek mereka. Tadi, saya buat panggilan video dan masing-masing teruja.

"Ketika isteri sarat mengandung, mereka yang banyak menjaga ibunya. Malah, masing-masing teruja untuk memberikan nama untuk adik mereka," katanya.

Bertanya mengenai nama anak, Issey berkata dia masih belum memutuskan perkara itu.

"Masih ada beberapa nama untuk dipilih. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan umumkan namanya," katanya.

Muhammad Uqashah, Muhammad Qayyum dan Cataleya adalah anak Aimi dengan bekas suaminya.

Issey dan Aimi berkahwin pada 22 Disember 2019 di Kota Bharu, Kelantan.

Berita Harian X