Rabu, 11 Ogos 2021 | 12:39pm
Shuib berlapang dada menerima saranan pengarah HCTM tangguh hasrat melawat bayi yang menjadi hadiah terakhir Allahyarham Siti Sarah buatnya. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib berlapang dada menerima saranan pengarah HCTM tangguh hasrat melawat bayi yang menjadi hadiah terakhir Allahyarham Siti Sarah buatnya. - Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib tangguh hasrat jenguk Ayash

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu terpaksa menangguhkan hasrat melawat anak keempatnya, Ayash Affan atas saranan hospital, pagi ini.

Pengurus Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Nana Mohammad Rom memaklumkan, ini bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 terhadap bayi pramatang.

"Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri menghubungi Shuib dan berbincang dengannya, pagi ini.

"Ini jalan terbaik selepas memikirkan risiko yang boleh memudaratkan bayi pramatang.

"Atas nasihat dan saranan pengarah HCTM, Shuib terima dengan lapang dada," katanya kepada BH Online.

Ketika majlis tahlil dan bacaan Yassin, semalam, Shuib berkongsi perasaan tidak sabar apabila menerima gembira dibenarkan melihat Ayash yang kini masih berada dalam di HCTM buat kali pertama selepas dilahirkan pada Jumaat lalu.

Kenangan Allahyarham Siti Sarah bersama suami dan anak-anaknya ketika masih mengandung Ayash Affan. - Foto IG Shuib Sepahtu
Kenangan Allahyarham Siti Sarah bersama suami dan anak-anaknya ketika masih mengandung Ayash Affan. - Foto IG Shuib Sepahtu

Namun, di sebalik teruja menatap wajah zuriatnya, bekas penyampai radio Hot FM itu mengakui, perasaannya bercampur baur.

"Saya dihubungi pihak hospital memaklumkan mungkin saya dibenarkan melihat Ayash. Anak-anak pun asyik bertanya. Jika ada rezeki, esok (hari ini) dapat saya bertemu dengan bayi yang menjadi hadiah terakhir arwah buat saya.

"Perasaan memang seronok, tetapi ada satu lagi perasaan, sangat-sangat sedih. Kenapa sedih, sebab arwah ibunya tidak sempat melihat dan memegangnya.

"Arwah sanggup menggadaikan nyawa kerana mahu memberi hadiah istimewa ini buat saya, anak-anak dan seluruh ahli keluarganya, sebelum pergi buat selama-lamanya," katanya.

Tambah Shuib, situasi itu sangat berbeza ketika dikurniakan tiga cahaya mata terdahulu kerana arwah berkesempatan melihat dan memeluk anak-anaknya.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah berada dalam keadaan ditidurkan melahirkan bayi lelaki pramatang selepas menjalani pembedahan hampir tiga jam bermula jam 2 petang pada Jumaat lalu.

Selain Ayash, Shuib dan Sarah dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Berita Harian X