Sabtu, 7 Ogos 2021 | 2:50pm
Siti Sarah masih diletakkan dalam pemantauan di ICU, HCTM, UKM. Foto IG Shuib Sepahtu
Siti Sarah masih diletakkan dalam pemantauan di ICU, HCTM, UKM. Foto IG Shuib Sepahtu

Anak Siti Sarah, Shuib buka mata

KUALA LUMPUR: Ayash Affan, permata hati pasangan selebriti, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah Raisuddin yang dilahirkan melalui pembedahan, petang semalam, dilaporkan stabil.

Berkongsi berita gembira di Instagram Stories (IGs), Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad bersyukur dengan perkembangan terbaharu anak bongsu yang dilahirkan tidak cukup bulan itu.

"Sedikit perkembangan terkini untuk bayi pramatang, Ayash Affan. Alhamdulillah, pagi tadi doktor memaklumkan dia (bayi) dalam keadaan stabil.

"Ayash sudah mula buka mata, kaki pun sudah menendang dan tangan bergerak aktif.

"Ya Allah, syukur, ini juga berkat doa kalian semua yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan anak kami. Saya kembalikan semula doa-doa kalian.

Shuib berkongsi berita gembira mengenai perkembangan terkini Ayash melalui Instagram Stories (IGs). Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib berkongsi berita gembira mengenai perkembangan terkini Ayash melalui Instagram Stories (IGs). Foto IG Shuib Sepahtu

"Semoga kalian juga dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik dan terhindar daripada segala kemudaratan. Insya-Allah.... Amin," luahnya.

Pagi tadi, Shuib yang juga bekas penyampai Hot FM, turut berkongsi berita gembira mengenai keadaan terkini Siti Sarah yang menunjukkan paras bacaan oksigen meningkat, berbanding semalam.

Kira-kira jam 5 petang semalam, Siti Sarah melahirkan anak keempatnya itu, yang mencapai usia tujuh bulan dalam kandungan, melalui pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Prosedur itu dilakukan selepas keadaan kesihatan Siti Sarah yang kritikal akibat paras bacaan oksigen rendah.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah, suami bersama tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Berita Harian X