Khamis, 29 Julai 2021 | 11:00am
Mila, Ailis dan anak mereka, Mohd Arif. Foto Ihsan Mila Jirin
Mila, Ailis dan anak mereka, Mohd Arif. Foto Ihsan Mila Jirin

Mila sasar bantu 100,000 keluarga

KUALA LUMPUR: Hampir tersungkur apabila perniagaan diuji impak penularan pandemik COVID-19, penyanyi, Mila Jirin berhempas-pulas memastikan enam syarikat dan 117 kakitangan termasuk yang komited membangunkan jenama Bizmilla sejak 10 tahun lalu, kekal bersamanya.

Pernah menghentikan operasi syarikat selama berbulan-bulan, April tahun lalu, Milla sedaya upaya mencuba pelbagai cara bagi menjana pendapatan memikirkan tanggungan yang ramai, biarpun disindir 'gila' dek kesungguhannya mencari rezeki.

"Kita tidak pernah duga Allah beri ujian sebesar ini... Memang ramai orang bergelut. Bayangkan, mereka yang susah bertambah perit.

"Ada yang diberhentikan kerja... Macam-macam realiti hidup dapat kita lihat hari ini.

"Namun, sejak memperlahankan rentak seni dan beralih kepada dunia niaga, tidak pernah sekelumit rasa kecewa atau hilang arah.

Mila menjalin kerjasama strategik bersama Malakat Mall dengan menawarkan kemudahan e-wallet dan pulangan tunai untuk pelanggan. Foto Ihsan Mila Jirin
Mila menjalin kerjasama strategik bersama Malakat Mall dengan menawarkan kemudahan e-wallet dan pulangan tunai untuk pelanggan. Foto Ihsan Mila Jirin

"Saya yakin Tuhan berikan cabang niaga kerana ada hikmah tersendiri," katanya kepada HIP.

Reda diuji, Mila atau nama sebenar, Noorsyarmila Jirin sentiasa memikirkan survival perniagaan yang diasaskannya itu.

"Dalam hati, selalu terfikir apa akan jadi kepada survival enam syarikat saya dan lebih 100 pekerja separuh masa dan sambilan.

"Saya dan suami cuba atasi kegetiran itu dengan mempelbagaikan skop perniagaan dengan sumber yang ada. Memikirkan nasib pekerja yang ramai, hati jadi sayu.

"Saya tidak tergamak memberhentikan mereka kerana ada yang sudah sedekad bekerja untuk saya," katanya.

Tersentuh melihat insan lain diuji, apatah lagi, pernah melalui episod hitam dalam menyelamatkan perniagaan dan pekerja, Mila menjalin kerjasama strategik bersama pusat beli-belah yang menghimpunkan 100 peratus usahawan muslim, Malakat Mall, dengan menawarkan kemudahan e-wallet dan pulangan tunai.

Melalui kerjasama itu, Bizmilla dan Malakat Mall menyasarkan membantu 100,000 keluarga mendapatkan pulangan tunai atau 'cash back' bernilai RM5 juta.

"Besar harapan saya agar kempen ini dapat membantu dan mengurangkan beban masyarakat. Cita-cita saya mahu membantu lebih 100,000 keluarga.

"Saya bukan ahli politik, insan berpengaruh atau jauh sekali hendak tunjuk 'hero'. Namun, saya manusia biasa yang tahu kesukaran yang dilalui masyarakat ini bukan sesuatu yang mudah.

"Saya juga seorang ibu. Saya tidak sanggup melihat anak kecil tiada makanan. Saya tidak dapat membayangkan situasi begini terjadi... Luluh hati ini.

"Semoga inisiatif kempen 'cash back' ini mempu menyuntik sedikit kebahagiaan buat mereka yang bergelut meneruskan kehidupan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kemudahan e-wallet dan kempen 'cash back' itu, Mila berkata, peruntukan RM5 juta disediakan kepada pelanggan yang membeli kredit tambah nilai untuk berbelanja barangan keperluan harian secara fizikal di semua lokasi Malakat Grocer di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

Tambahnya, inisiatif bersama Malakat Mall itu akan dilancarkan melalui laman sesawang www.bizmillagrocer.com bermula jam 10 pagi, Sabtu ini.

"Pelanggan yang membeli kredit beli-belah akan mendapat 10 peratus tambahan tunai untuk berbelanja pada bila-bila masa menggunakan kemudahan e-wallet di Malakat Eco App.

"Pendek kata, pelanggan boleh mendapat wang tunai sehingga ratusan ringgit," katanya.

Mila berkata, pelanggan yang mendaftar sebagai 'Ahli VIP" mulai Sabtu hingga Isnin ini akan mendapat hadiah percuma baucar tunai bernilai RM300 yang boleh digunakan di Malakat Mall, Cyberjaya.

Sementara itu, Mila berkata, Bizmilla dalam proses akhir membangunkan pasar raya atas talian, Bizmilla Grocer yang akan menjual pelbagai jenis keperluan asas dan barangan harian pada harga berpatutan.

"Bizmilla Grocer ini akan dilancarkan awal bulan depan. Kami menawarkan penghantaran percuma bagi pembelian kurang dari lima kilogram melalui pembelian dari platform Shopee untuk pelanggan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Berita Harian X