Sabtu, 24 Julai 2021 | 3:47pm
Nabil Ahmad memberi tunjuk ajar kepada bintang utama filem Mat Bond Malaya, Elizabeth Tan mengenai babak lakonan. - Foto KMN Production
Nabil Ahmad memberi tunjuk ajar kepada bintang utama filem Mat Bond Malaya, Elizabeth Tan mengenai babak lakonan. - Foto KMN Production

Nabil tak suka 'henyak' pelakon

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak popular yang kini bergelar pengarah, Nabil Ahmad, 37, tidak suka membuang masa di lokasi penggambaran filem pertama arahannya, Mat Bond Malaya.

Sebaliknya, pengacara program MeleTOP itu mengambil pendekatan melakonkan setiap babak terlebih dahulu bersama pergerakan kamera. Jadi, barisan pelakon hanya perlu merujuk kepada contoh yang dilakukan.

Nabil berkata, dia tidak suka henyak pelakon 'gila-gila' kerana akan memberi kesan kepada filem dan momentum lakonan seseorang.

"Pengalaman menjayakan banyak filem sedikit sebanyak mempengaruhi cara saya bekerja di lokasi penggambaran dan mengendalikan syarikat produksi.

"Bagi saya, tidak wajar henyak pelakon hingga kepenatan kerana akan memberi kesan kepada filem dan momentum lakonan.

"Saya lihat, kebiasaannya agak sukar mengekalkan momentum sama daripada awal hingga akhir dalam sesebuah filem.

Saya percaya apabila bekerja dari pagi hingga pagi membuatkan pelakon kepenatan, hilang tenaga dan fokus jadi tidak menentu," katanya yang selesai menjalani penggambaran seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan, tahun lalu.

Pengarah filem Mat Bond Malaya, Nabil Ahmad mementingkan masa dan momentum lakonan pelakon, tidak suka membazir tenaga. - Foto KMN Production
Pengarah filem Mat Bond Malaya, Nabil Ahmad mementingkan masa dan momentum lakonan pelakon, tidak suka membazir tenaga. - Foto KMN Production

Aktor yang pernah diangkat Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 2009 itu berkata, dia mahu seluruh pelakon dan pasukan produksi berehat dan kembali bekerja keesokan hari dengan tenaga lebih segar.

"Jika penggambaran filem lain bermula dari pagi hingga pagi, namun, berbeza dengan produksi saya, penggambaran selesai pada petang.

"Penggambaran filem Mat Bond Malaya hanya mengambil masa dalam 25 hari. Saya akan memastikan penggambaran selesai selewat-lewatnya sehingga jam 6 petang.

"Namun, saya hanya meminta pertolongan barisan pelakon dan kru produksi jika keadaan memerlukan untuk babak-babak tertentu. Saya mahu pelakon datang ke lokasi penggambaran dengan keadaan yang bersemangat agar dapat mengekalkan momentum, setiap hari," katanya kepada BH Online.

Tambahnya, dia dapat memendekkan tempoh penggambaran kerana banyak babak dilakukan di sebuah bangunan yang diubah kepada sembilan bahagian seperti pejabat, hospital, makmal dan lain-lain.

"Hampir 80 peratus penggambaran dilakukan dalam bangunan. Hanya 20 peratus dilakukan di luar. Filem ini juga menggunakan 350 pelakon tambahan yang terdiri daripada pelajar kolej.

"Saya cuba untuk tidak membuang masa untuk filem ini. Setiap babak saya akan lakonkan terlebih dahulu bersama pergerakan kamera. Jadi, pelakon hanya perlu merujuk kepada contoh yang saya buat.

"Dari situ, saya dapat menjimatkan banyak masa," katanya.

Nabil Ahmad bersama pengarah tersohor, Aziz M Osman yang turut membintangi filem Mat Bond Malaya. - Foto KMN Production
Nabil Ahmad bersama pengarah tersohor, Aziz M Osman yang turut membintangi filem Mat Bond Malaya. - Foto KMN Production

Mengulas pemilihan Naqiu sebagai teraju utama, Nabil berkata, dia ingin menjual skrip dan lakon layar, bukan pelakon semata-mata.

"Memang ramai bertanya kenapa saya tidak meletakkan aktor popular untuk menarik penonton. Sebenarnya, saya menjadikan filem Mamat Khalid sebagai rujukan.

"Kita lihat filem arahannya jarang menggunakan nama besar. Contohnya, filem Man Laksa, tetapi ia tetap ditonton berulang kali.

"Jadi, saya menjadikan filem arahannya sebagai inspirasi ketika menghasilkan filem ini," katanya.

Mat Bond Malaya, filem pertama terbitan syarikat, KMN Production mengetengahkan Naqiu dan Elizabeth Tan selaku teraju utama, selain membariskan nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Ramli MS, Datuk Seri Alif Syukri, Mamat Khalid, Michael Ang, Ghaz Abu Bakar, Aziz M Osman, Didie Alias, Ning Baizura, Syafiq Kyle sebagai penampilan khas.

Turut membintangi, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, Farid Azmeir, Amyza Aznan, Aloy Paradoks, Achey, Mamak Puteh, Reza Hasbi dan Han Byul.

Filem itu mengangkat kisah Mat ingin menjadi ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, Mat berjaya bekerja di M6 sebagai budak pejabat. Pada masa sama, Mat mula menyukai seorang ejen cantik bernama Bondi.

Bagaimanapun, dunia digemparkan dengan serangan virus zombi yang disebarkan Dr Ebel. Ramai terkena virus termasuk Bondi dan ejen M6.

Mat tiada pilihan melainkan mencari penawar bagi menyelamatkan ejen M6 yang dijangkiti, sebelum virus itu merebak ke seluruh dunia.

Berita Harian X