Sabtu, 24 Julai 2021 | 11:00am
Lara mula memahami situasi penularan COVID-19 dan makin selesa duduk di rumah serta mengisi masa dengan kegiatan berfaedah sambil dipantau Awal dan Scha. Foto Ihsan Scha Alyahya
Lara mula memahami situasi penularan COVID-19 dan makin selesa duduk di rumah serta mengisi masa dengan kegiatan berfaedah sambil dipantau Awal dan Scha. Foto Ihsan Scha Alyahya

'Pengorbanan Awal, Scha demi 'nyawa'

KUALA LUMPUR: Rindu hati bukan kepalang mahu mendakap, mencium tangan ayah dan bonda, namun situasi pandemik COVID-19 sekali lagi menuntut pengorbanan besar buat pasangan selebriti popular, Awal Ashaari, 40, dan Scha Alyahya, 38, apabila tidak dapat berkumpul menyambut Aidiladha.

Kerinduan terhadap orang tua sukar diungkap dengan kata-kata. Biarpun tinggal tidak berjauhan iaitu di sekitar Lembah Klang, namun, demi nyawa dan keselamatan ibu bapa yang sudah berusia, selain anak-anak, Lara Alana, 7, dan Lyla Amina yang berusia lima bulan, Awal dan Scha terpaksa pendam kerinduan.

Pasangan sehati sejiwa itu memilih menyambut Aidiladha di kediaman bersama anak-anak.

Sekadar beraya empat beranak, namun Scha dan Awal tetap mahu dua permata hati, Lara serta Lyla, mahu merasai kemeriahan Aidiladha.

Biarpun persiapan serba sederhana, namun, sebagai isteri dan ibu, Scha menyediakan juadah enak untuk menjamu keluarga demi menghidupkan suasana hari raya.

"Saya tidak menempah kuih raya mahupun juadah pagi raya. Secara kebetulan, kuih raya ketika sambutan Aidilfitri masih banyak, jadi lebih baik habiskan lebihan kuih yang ada.

Awal, Scha dan anak-anak hanya menyambut Aidiladha di kediaman mereka, Selasa lalu bagi mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan. Foto Ihsan Scha Alyahya
Awal, Scha dan anak-anak hanya menyambut Aidiladha di kediaman mereka, Selasa lalu bagi mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan. Foto Ihsan Scha Alyahya

"Bagaimanapun, untuk menghidupkan suasana Aidiladha, saya akan memasak sendiri juadah pada pagi raya. Kemudiannya, saya guna khidmat penghantaran mengirimkan juadah kepada ahli keluarga sebagai pengganti diri, memandangkan tidak dibenarkan aktiviti kunjung mengunjung," katanya kepada BH Online.

Scha berkata, ibu bapa sudah berusia dan uzur, manakala Lara dan Lyla masih kecil, jadi lebih selesa dan selamat duduk di rumah bagi mematuhi arahan kerajaan.

Lebih menakutkan, Scha berkata, varian baharu yang muncul lebih mengganas menambahkan kegusarannya terhadap keselamatan ibu bapa dan anak-anak.

"Alhamdulillah, ibu bapa kami sangat memahami, malah tidak perlu menjelaskan kenapa tidak dapat menziarah mereka.

"Lagipun, ibu bapa kami berpenyakit dan berisiko tinggi sekiranya bertemu dengan ramai orang. Apatah lagi, kita tidak nampak virus ini, sesiapa sahaja berisiko menjangkiti dan dijangkiti, jadi mereka faham apabila saya dan Awal tidak pulang pada hari raya.

"Selain saya, abang dan adik perempuan juga sudah dua tahun tidak dapat menyambut raya bersama ibu bapa. Namun, saya berdoa, semuanya akan kembali baik, tahun depan supaya kami dapat berkumpul semula memandangkan orang tua sudah semakin uzur," kata Scha.

Bintang drama Awan Dania itu berkata, ada kala timbul perasaan simpati apabila melihat anak-anak terpaksa berkurung dan tidak dapat menjalankan kehidupan normal seperti sebelum pandemik COVID-19.

Malah, katanya, Lara selalu terlupa nama saudara mara akibat terlalu lama tidak berjumpa mereka.

Bagaimanapun, katanya, sebagai seorang yang paranoid, sebolehnya cuba mengelakkan aktiviti ziarah dan tidak menerima kehadiran tetamu kerana bimbang keselamatan anak-anak yang masih kecil.

"Lara pernah cakap rindu menikmati juadah raya banyak-banyak. Saya dan Awal terpaksa terangkan kepadanya situasi getir yang melanda seluruh negara.

"Saya tidak bawa Lara dan Lyla keluar ke mana-mana sehingga Lara lupa nama saudara mara kerana jarang bertemu terutama keluarga abang yang menetap di Johor.

"Sebelum ini, Lara pernah bertemu mereka pada majlis keluarga. Jadi, saya sering membuat panggilan video bagi mengubat kerinduan dan tidak mahu Lara lupa pada saudara mara dan temannya. Jadi, Lara mula memahami situasi COVID-19.

"Lara tidak pernah merungut tak dapat keluar, mungkin sudah faham apa yang berlaku. Lara pun sudah lama tidak ke sekolah, jadi sudah biasa duduk di rumah dan tidak ke mana-mana," katanya.

Scha berkata, dia dan suami memberi anak sulungnya itu bermain bunga api bagi membangkitkan suasana dan kemeriahan raya.

Namun, katanya, kali ini, mereka lebih selesa Lara lebih banyak menjalani aktiviti dalam rumah sebagai langkah keselamatan.

Sungguhpun begitu sebagai ibu bapa, katanya, dia dan Awal tetap mahu dua buah hati itu memahami pengertian Aidiladha.

"Walaupun tidak berpeluang melihat ibadat korban dijalankan seperti dahulu, iaitu saat paling dinanti-nantikan melihat haiwan ternakan dikorban, namun kami mempunyai cara lain mendedahkan kepada Lara mengenai ibadat itu.

"Sedari kecil, saya sendiri tidak didedahkan dengan aktiviti korban seperti melihat lembu disembelih depan mata. Saya hanya melihatnya di kaca televisyen (TV) atau media sosial. Begitu juga Lara, setakat ini, kami belum pernah membawanya menyaksikan aktiviti korban.

"Lara hanya menyaksikannya melalui video sahaja. Ketika pertama kali melihat ibadat korban dilaksanakan, mulanya Lara marah kerana melihat haiwan disembelih, tetapi kami terangkan kepadanya kenapa ibadat dilaksanakan.

"Malah, kami juga menjelaskan haiwan lain seperti ayam juga perlu melalui proses penyembelihan mengikut cara Islam, kemudian barulah dia faham," kata Scha.

Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012.

Berita Harian X