Khamis, 24 Jun 2021 | 1:00pm
Filem Chomel yang menampil teraju utama seekor kucing menawarkan pengalaman berbeza dan membuktikan industri filem tempatan diwarnai pelbagai jalan cerita setanding industri filem luar negara. - Foto Astro.
Filem Chomel yang menampil teraju utama seekor kucing menawarkan pengalaman berbeza dan membuktikan industri filem tempatan diwarnai pelbagai jalan cerita setanding industri filem luar negara. - Foto Astro.

'Si meow jadi hero'

KUALA LUMPUR: Selepas menyentuh hati peminat melalui filem Adiwiraku yang diangkat Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29, Jason Chong tampil dengan filem Chomel yang menjadikan seekor kucing sebagai teraju utama.

Buat julung kali kisah hubungan dan kasih sayang manusia bersama kucing peliharaan diangkat dalam filem, Chomel, pasti menjadi pilihan pencinta haiwan itu.

Jason yang memenangi trofi Cerita Asal Terbaik untuk filem hasil penulisannya, Adiwiraku pada FFM29, mengusik hati penonton melalui gelagat si Chomel dalam filem arahannya.

Sepanjang 90 minit, penonton dibuai emosi berbeza seperti senyum, ketawa, sedih, cemas dan geram melalui babak yang dipaparkan.

Si Chomel menjadi produk terbaharu Astro First yang terus proaktif menjadi penerbit dan penggerak industri filem membawa karya segar dalam kepelbagaian genre dan naratif, sekali gus mencetuskan transformasi dalam industri perfileman tempatan.

Bagi penceritaan idea asal dan skrip Chomel dihasilkan pasukan penulis Astro.

Chong percaya dalam situasi sekarang di mana rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kehadiran filem Chomel dapat memberi senyuman dan menyentuh hati penonton.

Pengarah, Jason Chong tampil dengan filem Chomel yang menjadikan seekor kucing sebagai teraju utama.
Pengarah, Jason Chong tampil dengan filem Chomel yang menjadikan seekor kucing sebagai teraju utama.

"Filem ini mengetengahkan kisah seekor kucing dan seorang kanak-kanak yang melalui rasa kehilangan. Perjalanan cerita mereka ini bakal membuka hati kita agar bersyukur dan lebih menghargai keluarga tersayang.

"Filem ini juga amat nostalgia buat saya dan akan dikenang sampai bila-bila. Betapa mencabarnya mengarah seekor kucing untuk berlakon," katanya.

Chong berkata, bagi mendapat 'shot' menarik dan komposisi setiap babak berbeza, pelbagai idea kreatif dilakukan agar Chomel dapat menghidupkan wataknya.

"Antaranya apabila ingin mendapatkan babak Chomel berlari, produksi menggunakan beg kesukaan kucing itu untuk menarik minat bergerak aktif.

"Saya harap filem ini akan menghiburkan anda semua dan merapatkan lagi hubungan bersama insan tersayang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya komited dalam memperkenalkan sesuatu yang baharu menerusi karya tempatan buat industri perfileman dan penonton Malaysia.

"Lebih-lebih lagi sekarang ini rakyat Malaysia banyak memenuhi masa dengan berada di rumah. Jadi kami yakin mereka mahukan aktiviti di mana salah satunya adalah menonton televisyen (TV) untuk berhibur, keluar daripada tekanan buat seketika ataupun meluangkan masa bersama insan tersayang.

"Astro Shaw terus berdiri bersama mereka dan menyokong rakyat daripada pelbagai golongan dengan membawa filem tempatan terbaharu, berkualiti dan segar menerusi platform ini," katanya.

Zahiril Adzim yang alah kepada kucing berdepan cabaran membawa watak bapa bernama Imran dalam filem Chomel. - Foto Astro
Zahiril Adzim yang alah kepada kucing berdepan cabaran membawa watak bapa bernama Imran dalam filem Chomel. - Foto Astro

Raja Jastina berkata, selepas berhibur dengan jenaka filem Kampong Pisang disusuli karya penuh debar, Penunggang Agama, Astro Shaw mahu penonton jatuh cinta dengan si Chomel.

"Kami harap filem Chomel mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton dan membuktikan industri filem tempatan diwarnai pelbagai jalan cerita setanding industri filem negara luar," katanya.

Chomel mempertaruhkan gandingan pelakon hebat seperti Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik FFM22, Zahiril Adzim dan Azizah Mahzan.

Turut membintangi Chomel yang mula disiarkan Astro First, hari ini, adalah bakat baharu Airiezara Jasmin, Yuyun Hikmah dan Aniq Suhair.

Chomel dimantapkan lagi dengan penampilan istimewa, Aziz M Osman; Adibah Noor; Douglas Lim; Gavin Yap dan penyampai radio di ERA, Zahier Yusoff.

Zahiril yang alah kepada kucing berdepan cabaran membawa watak Imran dalam filem ini. Kisah bermula dengan watak Mimi yang sunyi selepas pemergian ibunya dengan keluarga yang berpecah-belah.

Namun, semuanya berubah selepas bertemu Chomel. Keadaan bertambah rumit apabila ayah Mimi didesak nenek Mimi agar menuntut hak penjagaan Mimi dan kakaknya, Nora.

Berita Harian X