Selasa, 22 Jun 2021 | 3:00pm
Hubungan cinta Shalma Eliana dan Ismail Izzani serius, namun belum merancang menamatkan zaman bujang pada usia masih muda. - Foto IG Shalma Eliana
Hubungan cinta Shalma Eliana dan Ismail Izzani serius, namun belum merancang menamatkan zaman bujang pada usia masih muda. - Foto IG Shalma Eliana

Empat tahun lagi baru fikir soal kahwin

KUALA LUMPUR: Kisah cinta penyanyi baharu, Shalma Eliana, 21, dengan kekasihnya, Ismail Izzani, 21, bukan rahsia lagi. Keterbukaan mereka berkongsi rahsia perhubungan cinta mendapat restu peminat.

Biarpun gosip mengatakan Shalma dan Ismail bakal disatukan sebagai suami isteri pada usia muda mula bertebaran, namun penyanyi remaja itu mengesahkan, hanya akan memikirkan fasa seterusnya dalam perhubungan apabila usia mencecah 25 tahun.

Shalma mengakui, hubungan serius dengan penyanyi lagu Ada Cara sudah terjalin sejak berada di tingkatan dua, namun belum masanya memikirkan fasa perkahwinan, memandangkan masih terlalu muda.

Akuinya, dia ingin mengejar impian terlebih dahulu. Salah satunya menggenggam segulung ijazah.

"Hubungan kami serius, tetapi bukanlah waktu terdekat memikirkan fasa seterusnya. Banyak perkara yang ingin saya kecapi sebelum menamatkan zaman bujang. Saya hanya akan memikirkan apabila usia mencecah 25 tahun.

"Lagipun, ibu bapa menggalakkan saya menyambung pengajian dan dapatkan segulung ijazah. Mereka mahu saya menikmati hidup remaja sepuasnya dan mencapai impian sebelum berkahwin," katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke luar negara, tahun depan.

Memilih United Kingdom sebagai destinasi, Shalma Eliana terpaksa menangguh pengajian ke luar negara, tahun hadapan. - Foto IG Shalma Eliana
Memilih United Kingdom sebagai destinasi, Shalma Eliana terpaksa menangguh pengajian ke luar negara, tahun hadapan. - Foto IG Shalma Eliana

Memilih United Kingdom (UK) sebagai destinasi pengajian, Shalma berkata, mengikut perancangan asal, dia sepatutnya terbang ke luar negara pada September ini.

Namun, katanya, disebabkan pandemik COVID-19, perancangan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Bagaimanapun, perkara itu langsung tidak mematahkan semangat, sebaliknya menyusun rancangan melanjutkan pengajian pada tahun hadapan.

"Insya-Allah, saya berdoa hasrat menyambung pengajian ke luar negara akan termakbul. Ia juga menyebabkan saya bersemangat untuk mendapatkan suntikan vaksin supaya rancangan menyambung pengajian tidak terhalang.

"Walau apa sekalipun terjadi, perancangan menyambung pengajian akan tetap diteruskan. Buat masa ini, saya belum pasti sama ada mahu menyambung pengajian dalam bidang komunikasi media ataupun perniagaan.

"Saya masih berbincang dengan perunding akademik. Bagaimanapun, saya sudah memilih universiti untuk menyambung pengajian. Salah seorang kakak saya pernah menuntut di universiti yang sama.

"Sepanjang di UK, saya tetap menghasilkan kandungan muzik. Siapa tahu saya boleh belajar atau mengembangkan kerjaya muzik di luar negara," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Shalma berkata, dia jarang dapat bertemu kekasih hati sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Sebelum PKP, kami sering meluangkan waktu keluar makan, melepak dan melakukan banyak aktiviti bersama. Namun, kami jarang dapat berjumpa sejak akhir ini.

"Keadaan ini terasa amat berbeza, namun apakan daya. Bagaimanapun, hubungan saya dan Ismail tetap berjalan dengan baik, biarpun jarang dapat bersama," katanya.

Berita Harian X