Khamis, 10 Jun 2021 | 8:31am
Astro memutuskan untuk ‘menggantung’ program All Together Now Malaysia sehingga siasatan berhubung pelanggaran SOP selesai.
Astro memutuskan untuk ‘menggantung’ program All Together Now Malaysia sehingga siasatan berhubung pelanggaran SOP selesai.

'Langgar SOP bawa padah'

KUALA LUMPUR: Isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikalangan selebriti tidak pernah surut, malah ada sahaja yang dikenakan kompaun berikutan ingkar arahan kerajaan.

Tindakan sesetengah selebriti juga menimbulkan kemarahan warga netizen hingga segala tindak tanduk mereka diperhatikan.

Ia secara tidak langsung mencalarkan reputasi industri hiburan, apatah lagi, isu pelanggaran SOP dikaitkan dengan beberapa nama popular seperti Neelofa, PU Riz, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Norman Hakim.

Kelmarin, dunia hiburan sekali lagi dikejutkan dengan berita mendakwa pelanggaran SOP membabitkan program All Together Now Malaysia terbitan Astro yang mula bersiaran pada Ahad lalu.

Selepas episod pertama program realiti nyanyian itu disiarkan, warga netizen mula berdebat dan mendakwa berlaku pelanggaran SOP apabila tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Susulan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan program yang menampilkan 50 juri dikalangan selebriti itu disiasat, sebelum tindakan selanjutnya dikenakan.

Sebagai maklum balas terhadap arahan itu, Astro menerusi kenyataan dikeluarkan memutuskan untuk 'menggantung' program All Together Now Malaysia sehingga siasatan selesai.

Kesal atas apa yang berlaku, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mengingatkan golongan selebriti supaya lebih peka dan tidak melakukan perkara yang boleh mengundang padah terhadap kerjaya seni.

"Sebagai selebriti yang sering dijadikan contoh, mereka seharusnya lebih peka dengan situasi semasa. Jangan sesekali kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang kecaman netizen.

"Dalam situasi getir ini, ramai warga netizen menghabiskan masa di rumah dengan melayan media sosial. Jadi, mereka menjadi lebih sensitif. Sebagai selebriti, kita kena kawal tingkah laku.

"Walau apapun alasan, kita tetap kena patuh SOP yang ditetapkan. Jaga jarak dan pakai pelitup muka. Itu adalah perkara wajib dalam situasi norma baharu. Jangan ambil mudah arahan yang diberikan.

"Sudahlah tawaran 'job' berkurangan disebabkan pandemik COVID-19, kena kompaun pula. Bukankah semua ini menyusahkan diri sendiri," katanya kepada BH Online.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

Mengulas program All Together Now Malaysia, Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Jamil berkata, golongan selebriti sepatutnya lebih berhati-hati kerana risiko jangkitan lebih tinggi kerana rakaman dibuat dalam studio.

"Selebriti masih mengamalkan SOP seperti menjalankan ujian calitan, tetapi tidak bolehlah nak samakan penggambaran drama yang mana pelakon tidak memakai pelitup muka.

"Penggambaran drama dilakukan di kawasan terbuka, manakala program pula dirakamkan di studio. Dengan bilangan peserta ramai, ditambah tidak memakai pelitup muka, ia boleh mendedahkan risiko jangkitan.

"COVID-19 adalah virus yang sangat serius dan kita mendengar berita kematian, saban hari. Jika dahulu, kita hanya tahu kematian hanya membabitkan orang yang tidak dikenali, tetapi sekarang ia boleh terjadi pada insan yang terdekat dengan kita," ujarnya.

Mengenai usaha dilakukan SENIMAN bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang, Zed berkata, tiada apa yang boleh mengubah melainkan golongan selebriti itu sendiri perlu ada rasa kesedaran dalam diri.

"Sebagai persatuan, kita hanya akan memberi input kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam usaha menambah baik SOP berkaitan, sebelum diluluskan MKN.

"Jika ada yang boleh diperbaiki, kami akan salurkan cadangan kepada FINAS. Selebihnya, golongan selebriti itulah yang perlu lebih peka.

"Nasihat saya, berhati-hatilah kalau nak muat naik sebarang hantaran atau foto dalam media sosial. Jika rasa hantaran boleh mengundang kecaman, batalkan sahaja niat itu," pesannya.

Kelmarin, MKN mengarahkan program All Together Now Malaysia yang menampilkan 50 juri dikalangan selebriti disiasat, sebelum tindakan selanjutnya dikenakan.

Berita Harian X