Khamis, 27 Mei 2021 | 6:00pm
Saiful Apek, Mawi dan Along Cham kali pertama dapat bergandingan dalam filem Hantu Kuat Ketawa yang akan disiarkan di Astro First pada Jun depan. - NSTP/Aswandi Alias
Saiful Apek, Mawi dan Along Cham kali pertama dapat bergandingan dalam filem Hantu Kuat Ketawa yang akan disiarkan di Astro First pada Jun depan. - NSTP/Aswandi Alias

Hantu Kuat Ketawa satukan Apek, Mawi, Along

KUALA LUMPUR: Bagaikan isi dengan kuku, jalinan persahabatan antara pelawak otai, Saiful Apek dengan Mawi dan Along Cham tidak mampu disangkal lagi. Bagaimanapun, disebabkan sibuk menguruskan kerjaya masing-masing, jarang dapat melihat kelibat mereka berkumpul bersama.

Namun, impian menyatukan mereka terlaksana apabila Apek, Mawi dan Along hadir mempromosikan filem terbaharu berjudul Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi, baru-baru ini.

Sambutan menggalakkan diterima menerusi filem pertama menampilkan Mawi sebagai sutradara berjudul Tiada Tajuk membuatkannya terus bersemangat menghasilkan naskhah kedua yang bakal ditayangkan menerusi Astro First pada Jun depan.

Lebih bermakna, filem Hantu Kuat Ketawa buat kali pertama menggandingkan Apek, Mawi dan Along. Selain itu, filem terbitan Mawi World Entertainment itu turut dibintangi Syanie, Zarina Anjoulie, Zalif Sidek dan ramai lagi.

Bagaimanapun, untuk filem keduanya, Mawi berkata, dia lebih mementingkan aspek komersial kerana sasaran penonton di platform berkenaan agak berbeza berbanding pawagam.

"Sebelum ini, ramai yang mengatakan filem Tiada Tajuk agak berat, berseni dan mempunyai falsafah walaupun bergenre komedi. Namun, saya perlu memastikan ia bersesuaian dengan sasaran penonton platform berkenaan iaitu kanak-kanak hingga orang dewasa untuk filem Hantu Kuat ketawa ini.

"Untuk itu, saya perlu menukar judul asalnya iaitu The Scammer Ghost kepada Hantu Kuat Ketawa yang disifatkan lebih mesra kanak-kanak. Secara tidak langsung, ia juga salah satu strategi pemasaran untuk memikat pelbagai golongan menontonnya," katanya kepada BH Online.

Selaku pengarah, Mawi mementingkan aspek komersial kerana sasaran penonton di platform Astro First agak berbeza berbanding pawagam. - NSTP/Aswandi Alias
Selaku pengarah, Mawi mementingkan aspek komersial kerana sasaran penonton di platform Astro First agak berbeza berbanding pawagam. - NSTP/Aswandi Alias

Beralih sambutan Aidilfitri, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani berkata, ini adalah tahun kedua meraikan Syawal di kediamannya di Bangi berikutan larangan rentas negeri.

"Nampak gayanya saya terpaksa menyambut Syawal bersama keluarga mentua di Bangi. Jika ikutkan, saya memang nak balik Johor Bahru. Sudah dua tahun tak dapat balik kampung pada hari raya.

"Paling saya dirindui aktiviti marhaban di kampung. Seronok apabila dapat berkunjung beramai-ramai ke rumah jiran tetangga sambil bermarhaban.

"Namun, dalam situasi sekarang, saya tahu agak sukar untuk melakukan aktiviti sebegitu," keluh Mawi.

Berbanding sebelum ini apabila wajahnya sering menjadi syarikat produksi sebagai pelaris filem, kini Apek bagaikan timbul tenggelam dari radar dunia seni.

Disebabkan kelibatnya agak jarang kelihatan, Apek atau nama sebenarnya, Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff didakwa sudah semakin dilupakan dan tenggelam dengan kehadiran pelawak baharu yang tumbuh bagaikan cendawan.

Menjawab spekulasi nakal itu, Apek berkata, apa yang berlaku itu adalah atas pilihannya sendiri dan tiada kena mengena dengan faktor populariti semakin merosot.

Setiap hari Saiful Apek berdoa semoga akan ada lebih ramai pelapis pelawak yang boleh menggantikan tempatnya supaya dirinya boleh berehat. - NSTP/Aswandi Alias
Setiap hari Saiful Apek berdoa semoga akan ada lebih ramai pelapis pelawak yang boleh menggantikan tempatnya supaya dirinya boleh berehat. - NSTP/Aswandi Alias

"Tidak dinafikan, jadual saya padat dan tawaran berlakon datang bertimpa-timpa hingga ada kala saya tidak menang tangan untuk menerimanya.

"Waktu itu, saya memang mahu kumpul duit selain mencipta nama. Bagaimanapun, selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, saya mula terfikir untuk memperlahankan pecutan kerjaya seni.

"Justeru, setiap hari saya berdoa semoga akan ada lebih ramai pelapis yang boleh menggantikan tempat saya, jadi bolehlah berehat. Alhamdulillah, Tuhan makbulkan doa saya. Saya masih aktif, tetapi tidaklah serancak dahulu," katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2003 itu tidak menganggap larangan merentas daerah dan negeri mampu menyekat kemeriahan sambutan Syawal.

"Walaupun beraya dalam PKP, tetapi itu bukan alasan untuk tidak meraikan Syawal. Apa yang penting, semangat meraikan hari kemenangan selepas sebulan menahan nafsu, lapar dan dahaga. Lagipun, situasi sekatan ini adalah untuk kebaikan bersama.

"Bagi saya, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila dapat bersama menyambut Syawal bersama keluarga. Sedar tak sedar, anak-anak pun semakin membesar.

"Sebelum ini, ketika bermaafan, saya ajar mereka apa yang perlu diucap tatkala tangan dihulur. Tetapi, kini mereka sudah pandai melafazkan sendiri dan ungkapan kemaafan sangat menyentuh hati," ujarnya.

Along Cham diuji dengan membawa watak antagonis hingga mencabar keagungan kuasa Tuhan dalam filem Hantu Kuat Ketawa. - NSTP/Aswandi Alias
Along Cham diuji dengan membawa watak antagonis hingga mencabar keagungan kuasa Tuhan dalam filem Hantu Kuat Ketawa. - NSTP/Aswandi Alias

Jika dua sahabatnya itu gembira meraikan lebaran bersama pasangan masing-masing, lain pula dengan Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad.

Lima tahun menggalas status bapa tunggal, Along berkata, seperti tahun sebelumnya Aidilfitri hanya disambut bersama ibu dan anaknya, Ahmad Danial yang menetap di Johor.

"Macam biasa, raya tahun ini saya ditemani ibu dan Danial. Sudah lima tahun rutin raya saya begini, jadi tidak adalah rasa sedih sangat. Cuma, tidak dinafikan hasrat untuk mencari pengganti memang ada.

"Namun, saya tidak mahu terburu-buru mencari jodoh. Jika boleh biarlah wanita yang bakal menjadi isteri saya boleh menerima saya dan anak seadanya," ujar pelakon Adnan Sempit ini.

Sementara itu, mengulas watak dalam filem Hantu Kuat Ketawa, pelakon berusia 38 tahun itu berkata, Mawi sekali lagi memberikan cabaran kepadanya.

"Menerusi filem Tiada Tajuk, saya membawakan watak LGBT dan dalam naskhah terbaru ini, saya memegang watak antagonis sampai tahap mencabar keagungan kuasa Tuhan. Bimbang membawa watak ini, takut terpesong akidah.

"Namun, saya banyak beristighfar dan tanamkan dalam diri watak ini sekadar lakonan dan bertujuan memberikan pengajaran kepada penonton," terang Along.

Berita Harian X