Isnin, 17 Mei 2021 | 3:00pm
Lagu Rap Der Raya menggabungkan melodi berbeza enam rapper, Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.
Lagu Rap Der Raya menggabungkan melodi berbeza enam rapper, Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.

Paduan suara enam rapper dalam Rap Der Raya

KUALA LUMPUR: Melengkapkan profil seninya, penyanyi dan komposer, Yonnyboii buat kali pertama mencipta lagu raya berjudul Rap Der Raya berkonsepkan hip hop.

Selain Yonnyboii, lagu terbitan Def Jam Malaysia yang disifatkan sesuatu yang segar dan melawan arus itu turut menampilkan paduan suara lima lagi rapper, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.

Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, lagu Rap Der Raya dicipta pada 2019 dan dibantu Luca Sickta sebagai penerbit.

"Lagu ini ditambah perisa oleh rakan rapper lain dan berbeza daripada demo asal yang dihasilkan. Saya mulanya rakam seorang diri sahaja di rumah, kemudiannya diberi motivasi untuk meneruskan rakaman daripada Luca dan Def Jam Malaysia," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Luca menyatakan, lagu Rap Der Raya berpotensi untuk menerapkan mood raya kepada pendengar.

"Alunan melodi asal dari Yonnyboii membuatkan diri saya tertarik untuk menerbitkan lagu ini kepada versi baharu. Melodi pada bahagian korus memberi idea kepada saya menyusun komposisi muzik campuran moden dan 1980an.

"Menambah magis apabila menggabungkan enam rapper. Ia sangat ringkas dan santai. Malah, ada pelbagai perspektif dalam lagu ini. Saya turut mengambil perspektif makanan pada hari raya sebagai salah satu intipati seiring dengan konsep lagu.

"Proses rakaman dipermudahkan biarpun pada wabak COVID-19 masih lagi menular. Proses menyiapkan rakaman lagu ini tidak sampai dua minggu, sebelum puasa lagi," kata Luca.

Penyanyi dan komposer, Yonnyboii buat kali pertama mencipta lagu raya berjudul Rap Der Raya berkonsepkan hip hop.
Penyanyi dan komposer, Yonnyboii buat kali pertama mencipta lagu raya berjudul Rap Der Raya berkonsepkan hip hop.

Kmy pula menyifatkan gabungan enam rapper sebagai sesuatu yang cukup manis.

"Kami dapat rasakan kemeriahan raya sejak awal. Ia seperti keluarga besar yang pulang ke kampung halaman dan meraikan Syawal dengan penuh gembira.

"Ini kali pertama kami digabungkan dalam satu lagu dan video muzik bersama. Kita dapat lihat pelbagai telatah, penuh gelak tawa dan riang ria," jelas Kmy.

Siqma pula menganggap ia sebuah karya yang unik kerana wujudnya gabungan melodi berlainan.

"Proses penulisan lagu juga sangat mudah kerana kami diberikan topik dipilih dan dijadikan lirik pada bahagian masing-masing.

"Saya harap generasi sekarang dapat menerima konsep lagu raya baharu yang dibawa ini dan menjadi lagu tidak lupus ditelan zaman," kata Siqma.

Berita Harian X