Jumaat, 14 Mei 2021 | 11:47pm
Masya sentiasa ditemani ibu ke mana sahaja dia pergi termasuk atas urusan kerja. Foto IG Masya Masyitah
Masya sentiasa ditemani ibu ke mana sahaja dia pergi termasuk atas urusan kerja. Foto IG Masya Masyitah

'Polis izin ibu, saya rentas negeri'

KUALA LUMPUR: Dikecam netizen selepas mengaku pulang ke Kulim, Kedah menyambut Aidilfitri, penyanyi Masya Masyitah menjelaskan bagaimana dirinya dan ibu mendapat kebenaran merentas negeri pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Masya mendakwa ibunya membuat permohonan kepada polis untuk merentas negeri, iaitu membabitkan perjalanan dari ibu negara ke Kulim, Kedah atas situasi pasangan jarak jauh (PJJ).

Permohonan itu dibuat bagi tempoh perjalanan empat hari mulai Isnin lalu.

"Sebaik permohonan diajukan kepada anggota polis bertugas, saya dan ibu bertanya apakah dibenarkan dua orang melakukan perjalanan rentas negeri, iaitu ibu saya dan seorang individu lain.

Masya menjelaskan dia dan ibu mendapat kebenaran merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri di Kulim, Isnin lalu. Foto IG Masya Masyitah
Masya menjelaskan dia dan ibu mendapat kebenaran merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri di Kulim, Isnin lalu. Foto IG Masya Masyitah

"Polis kemudian membenarkan dua orang melakukan rentas negeri berdasarkan permohonan dibuat.

"Ketika itulah kami memutuskan hendak pulang ke Kulim berdua," katanya kepada BH Online.

Semalam, BH Online melaporkan, Masya dapat dapat meraikan Syawal dengan berkumpul bersama keluarganya di Kulim, Kedah.

Tahun lalu, Masya dan ibunya terpaksa terpisah dengan bapa serta adik-beradiknya di Kulim, berikutan tidak boleh merentas negeri pada Aidilfitri.

Laporan itu menyebabkan Masya dikritik netizen hingga ada yang menggelarkan penyanyi lagu Hapus itu golongan 'kayangan' apabila dengan mudah melakukan rentas negeri di bawah PKP 3.0.

Masya faham ada netizen mempertikaikan kebenaran rentas negeri atas situasi PJJ hanya membabitkan suami dan isteri.

"Saya faham ada yang cakap dalam konteks itu, suami dan isteri adalah ibu bapa saya.

"Tetapi, saya tinggal dengan ibu di Kuala Lumpur selama ini. Ayah, abang dan dua adik lelaki lain menetap di Kulim.

"Selama tinggal di sini, ke mana sahaja saya pergi ditemani itu termasuk keluar bekerja.

"Andai kebenaran rentas negeri itu hanya membenarkan ibu seorang sahaja pulang ke Kulim, kami nekad tidak balik beraya," katanya.

Enggan memanjangkan kontroversi itu, Masya yang terkesan dengan kritikan dilemparkan netizen sejak berita itu tersebar, memohon maaf atas kekecohan yang timbul membabitkan perkara sensitif.

Masya mengaku tidak berniat menambah bara kepada mana-mana pihak yang tidak dapat pulang beraya kerana sekatan perjalanan di bawah PKP 3.0.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf jika perkongsian berita itu membuatkan banyak pihak terasa, apatah lagi, cerita pelbagai kluster rentas negeri mula bertebaran sejak akhir-akhir ini.

"Demi Tuhan, saya tidak berniat apa apa. Jauh sekali hendak mengundang perhatian atau kontroversi.

"Ketika membuat permohonan di balai polis, saya dan ibu melalui proses sama dan mencuba nasib seperti orang lain. Tiada istilah 'kayangan' atau apa-apa pun.

"Sudah rezeki saya dan ibu dapat balik kampung beraya bersama bapa dan adik-beradik lain," katanya.

Masya atau nama sebenar, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff menjelaskan dia hanya bersikap jujur dan berterus-terang ketika ditanya BH Online mengenai perancangan Hari Raya.

"Pada mulanya, saya fikir tidak mahu heboh perkara ini (balik kampung). Malah, saya tidak memuat naik foto beraya di Kulim kerana mahu menjaga sensitiviti ramai.

"Bagaimanapun, saya tidak sangka kejujuran ini memakan diri hingga dikecam dan dimaki-hamun netizen," katanya.

Masya menjelaskan foto dirinya bersama keluarga yang mengenakan pakaian sedondon rona biru yang disiarkan BH Online adalah gambar yang dirakam pada Aidilfitri 2019.

"Sudah jelas kapsyen tertera foto dirakam pada 2019, ketika COVID-19 belum menular. Namun, ada yang fikir itu gambar sekarang.

"Kalau tidak percaya, boleh rujuk foto raya yang saya kongsi di Instagram (IG)," katanya.

Berita Harian X