Selasa, 11 Mei 2021 | 6:38pm
Jamil bersyukur mendapat sumbangan kerusi roda daripada FDAM yang memudahkan pergerakannya selepas diserang angin ahmar. Foto Ihsan FDAM
Jamil bersyukur mendapat sumbangan kerusi roda daripada FDAM yang memudahkan pergerakannya selepas diserang angin ahmar. Foto Ihsan FDAM

M Jamil dapat kerusi roda

PUCHONG: Diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu, pengarah dan pelakon, M Jamil yang diingati melalui watak dalam filem Dia Ibuku pada era 1980-an, kini terputus mata pencarian.

Jamil atau nama sebenar, Mohamad Jamil Zulkifli kini terbatas pergerakan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

"Saya tidak berdaya lagi untuk bergerak sejak tiga tahun lalu dan tiada sumber pendapatan.

"Alhamdulillah, terima kasih atas keprihatinan pihak tertentu. Baru-baru ini saya terima sumbangan kerusi roda.

"Ini sudah cukup menyuntik senyum menjelang Hari Raya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Jamil membintangi filem seperti Riang Tirana dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Beliau juga pernah mengarahkan lima filem termasuk Momok The Movie pada 2009.

Jamil menerima sumbang kerusi roda daripada Ketua Biro Kesejahteraan Sosial, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Hashim di kediamannya di Taman Puchong Utama, di sini.

Jamil yang juga anak seniwati legenda Datuk Sarimah Ahmad menetap di kediaman itu bersama isteri, Shahrila Baharom, 49, dan dua anak yang berusia enam dan empat tahun.

Dalam kenyataannya, FDAM menyebut, usaha menggantikan kerusi roda lama milik Jamil adalah sebahagian daripada aktiviti persatuan bagi membantu ahli yang memerlukan.

Berita Harian X