Sabtu, 8 Mei 2021 | 8:30am
Scha Alyahya dan suaminya, Awal Ashaari mendapat idea menghasilkan produk Schambal ketika mengandungkan Lyla Amina.
Scha Alyahya dan suaminya, Awal Ashaari mendapat idea menghasilkan produk Schambal ketika mengandungkan Lyla Amina.

'Elak perkongsian cetus kontroversi'

KUALA LUMPUR: Golongan selebriti perlu lebih peka terhadap perkongsian kandungan dalam media sosial bagi mengelak timbul kontroversi dan salah faham.

Selain menjadikan medium laman sosial bagi mempromosikan kerjaya, namun dari segi penggunaan bahasa seharusnya dijaga dan diteliti.

Pasangan selebriti popular, Awal Ashaari, 40, dan isterinya, Scha Alyahya, 38, seboleh-bolehnya mengawal kandungan yang dimuat naik dalam laman sosial agar tiada ruang untuk warga netizen mencari kesalahan.

Scha berkata, golongan selebriti perlu berhati-hati sebelum memuat naik kandungan dalam laman sosial.

"Saya selalu berpesan pada Awal, ia bukan apa yang kita buat, tetapi ia adalah apa yang orang nampak. Sebelum ini, saya buat kerja tetapi saya tidak muat naik dalam laman sosial. Ini kerana penerimaan orang berbeza.

"Jadi, untuk mengurangkan kontroversi dan minima benda yang tidak perlu, lebih baik saya tidak muat naik langsung.

Nanti tidak perlulah saya menjawab. Jika buat, sudah tentu saya kena menjawab dengan orang ramai.

"Saya percaya jika menimbulkan kesalahan, tiada apa yang perlu ditakutkan. Kita tahu sekarang zaman ramai orang yang sensitif, jadi sebagai selebriti yang sering diperhatikan, kurangkan apa yang patut," katanya kepada BH Online.

Scha dan Awal ditemui pada majlis pelancaran produk Schambal, baru-baru ini.

Mengulas mengadakan majlis pelancaran produk Schambal, Scha berkata, dia dan suami banyak bertanya untuk mengetahui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Selagi menjaga SOP, ia tidak menjadi masalah. Saya dan Awal akan pastikan semuanya berjalan mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak majlis menjadi kontroversi dan bahan cemuhan netizen," katanya.

Awal berkata, tindakan seseorang selebriti tidak boleh diadili dengan mata kasar, kerana orang luar tidak tahu alasan di sebaliknya.

"Bukannya selebriti tidak bijak, contohnya yang merentas negeri. Ada kala mereka sudah mendapatkan kelulusan, sebab itu mereka boleh pergi, muat naik dalam laman sosial dan sebagainya.

"Secara logiknya, jika saya buat salah, takkan saya mahu beritahu orang. Jadi, apabila mereka memuat naik hantaran, pasti mereka sudah ada keizinan. Jadi, tak salah jika mereka berkongsi.

"Apabila artis merentas negeri, netizen tidak fikir artis ada kerja dan kelulusan, yang dipersoalkan kenapa golongan artis boleh dan mereka tak boleh. Bagi saya, mungkin ia terjadi pada waktu salah dan tidak kena tempat," katanya.

Pasangan selebriti popular, Scha Alyahya dan Awal Ashaari bersama dua cahaya mata, Lara Alana dan Lyla Amina ketika majlis majlis pelancaran produk Schambal, baru-baru ini.
Pasangan selebriti popular, Scha Alyahya dan Awal Ashaari bersama dua cahaya mata, Lara Alana dan Lyla Amina ketika majlis majlis pelancaran produk Schambal, baru-baru ini.

Scha dan Awal berkongsi pandangan golongan selebriti yang hangat diperkatakan warga netizen, sejak akhir-akhir ini.

Berkongsi mengenai produk yang diletakkan di bawah syarikat Amina Food itu, Scha berkata, dia mendapat idea menghasilkan produk berkenaan ketika mengandungkan Lyla Amina.

"Saya pernah mengalami apendiks, jadi saya serik makan makanan pedas. Bertahun lamanya saya tidak makan makanan pedas, tetapi apabila mengandungkan Lyla, saya teringin nak makan pedas.

"Apabila musim ramai yang menghulurkan sambal pada saya, masa itulah saya tersangkut. Tetapi, sambal yang diberikan kebanyakannya sambal basah.

"Jadi, saya beritahu Awal, saya mahukan sambal yang mudah dan segera. Dari situlah terhasilnya Schambal, yang mana saya sukakan jenis garing bersama ikan bilis dan tempe," katanya yang mengambil masa setengah tahun untuk mengeluarkan produk itu.

Dalam masa sama, pasangan ini juga giat berniaga aneka kuih tradisional bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Apabila kami mula menjual makanan seperti kerepek, muruku, rempeyek dan sebagainya, ia bermaksud kami membantu usahawan kecil di luar bandar. Kami beli daripada mereka dan kami 'rebranding', seterusnya jual.

"Alhamdulillah, apabila jual di bazar raya tempoh hari, ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya pergi bawa lima hingga enam kotak untuk satu jenis kuih. Saya hanya bawa balik plastik sahaja.

"Jadi, kami menggunakan platform itu untuk membantu IKS. Dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kami tukar cara pemasaran dengan menjual dalam talian," katanya.

Berita Harian X