Khamis, 6 Mei 2021 | 11:00am
Saifup Apek menganggotai kumpulan Senario bersama Lan Pet Pet mengenalinya bukanlah seorang individu yang panas baran.
Saifup Apek menganggotai kumpulan Senario bersama Lan Pet Pet mengenalinya bukanlah seorang individu yang panas baran.

Lan bukan panas baran, mungkin depresi

KUALA LUMPUR: Pelawak Saiful Apek percaya ada faktor menyebabkan teman seperjuangannya, Lan Pet Pet bertindak agresif sehingga memukul seorang penghantar makanan seperti rakaman video yang tular, kelmarin.

Apek yang bersama Lan menganggotai kumpulan Senario memberitahu, Lan yang dikenal bukanlah individu panas baran.

Beliau mengesyaki tindak-tanduk Lan berpunca daripada depresi dan situasi ketika insiden tercetus.

Akui Apek, ramai teman dalam kalangan industri hiburan mengalami tekanan termasuk dirinya.

"Lan bukan baran... Saya percaya ada sesuatu yang dilontarkan kepadanya hingga menyebabkan dia luar kawalan.

"Ramai daripada kita mengalami tekanan. Saya juga tidak menafikan mengalami depresi tetapi tidaklah sehingga bersikap agresif.

"Saya masih mampu mengawal perasaan. Ada pelbagai tindakan individu yang mengalami depresi. Ada yang hilang kawalan hingga memukul diri sendiri," katanya.

Apek ditemui pada majlis berbuka puasa Malam Aspirasi dan Anugerah Vieura 2020 anjuran Vieura Group di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini.

Saiful Apek bersama rakan artis seperti Mawi, Along Cham, Syanie Hisyam, Zalif Sidek, Bell Ngasri dan Anas Tahir pada majlis berbuka puasa Malam Aspirasi dan Anugerah Vieura 2020 anjuran Vieura Group di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini. - Foto Mawi
Saiful Apek bersama rakan artis seperti Mawi, Along Cham, Syanie Hisyam, Zalif Sidek, Bell Ngasri dan Anas Tahir pada majlis berbuka puasa Malam Aspirasi dan Anugerah Vieura 2020 anjuran Vieura Group di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini. - Foto Mawi

Apek mengaku pernah dilayangkan kata nista daripada 'haters' atau kumpulan pembenci.

"Namun, saya berjaya kawal. Kekuatan semua orang tidak sama. Cuma saya berjaya mengelak agar tidak berpanjangan," katanya.

Ditanya apakah beliau menghubungi Lan untuk bertanyakan sendiri perkara sebenar, Apek menganggap sekarang bukanlah masa sesuai, biarpun mereka rapat.

"Kami rajin berhubung. Tetapi dalam keadaan ini, biasanya, kami akan biarkan ia reda dahulu.

"Biarlah dia 'sejuk', lagipun kami sudah saling mengenali. Hubungan kami sudah seperti adik-beradik, bukan sebab hendak menyebelahi dia tetapi itu fitrah manusia.

"Kadang-kala kita terlajak melakukan kekilafan, jadi berilah dia masa," katanya.

Sebelum ini, Lan memukul seorang pengawal keselamatan yang dikenali sebagai Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Lan kemudian didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Berita Harian X