Rabu, 5 Mei 2021 | 3:03pm
Lan Pet Pet buat laporan polis terhadap wanita yang menyebarkan dan menularkan video insiden pergaduhannya dengan lelaki penghantar makanan. - Foto Lan Pet Pet
Lan Pet Pet buat laporan polis terhadap wanita yang menyebarkan dan menularkan video insiden pergaduhannya dengan lelaki penghantar makanan. - Foto Lan Pet Pet

Lan Pet Pet dimaki, provok?

KUALA LUMPUR: Kecoh gara-gara rakaman video yang memaparkan dirinya memukul seorang penghantar makanan di tepi jalan, tular, kelmarin, pelawak kontroversi, Lan Pet Pet, 52, tampil memberi penjelasan.

Lan mendakwa, sebelum kejadian, beliau yang memandu kereta di Jalan Ampang, iaitu lokasi di hadapan Kedutaan Russia, ternampak penghantar makanan terbabit yang sedang menunggang motosikal, menggunakan telefon bimbit dengan kedudukan motosikal di tengah jalan.

Memikirkan perbuatan pemuda terbabit mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada dirinya sendiri, malah pengguna jalan raya yang lain, Lan mendakwa, dia menghampiri individu terbabit dan bersemuka.

"Saya menegur pemuda itu... Tindakannya (menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal) amat berbahaya. Bukan sahaja boleh mengancam nyawanya, malah pengguna jalan raya lain.

"Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila saya kena maki dan menerima provokasi.

"Saya juga manusia biasa, kesabaran ada batasan. Takkan saya mahu membiarkan sahaja apabila diserang.

"Tindakan saya hanya untuk mempertahankan diri, bukan tunjuk samseng. Bagaimanapun, kami hanya bergaduh dalam beberapa saat sahaja," dakwanya secara eksklusif kepada BH Online.

Terdahulu, rakaman video Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad memukul seorang lelaki yang juga penghantar makanan tular dan menjadi topik hangat di kalangan netizen.

Video berdurasi 24 saat itu dikongsi oleh pengguna laman sosial dan mendakwa anggota kumpulan Senario itu melakukan kekerasan terhadap lelaki penghantar makanan itu.

Menerusi video berkenaan, Lan dilihat merangkul dan memukul kepala lelaki berkenaan, tetapi cuba ditenangkan beberapa tiga lelaki lain. Di hujung video, Lan juga melemparkan kata-kata berbaur amaran kepada lelaki itu.

Rakaman video pergaduhan Lan Pet Pet dengan lelaki penghantar makanan dipercayai dirakamkan seorang wanita yang berada dalam kereta.
Rakaman video pergaduhan Lan Pet Pet dengan lelaki penghantar makanan dipercayai dirakamkan seorang wanita yang berada dalam kereta.

Lan berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan berkenaan.

"Saya juga membuat laporan polis terhadap seorang wanita dalam kereta dipercayai merakamkan dan menyebarkan video ini.

"Saya kesal dengan tindakan wanita ini, dia hanya melihat kejadian depan mata, tanpa mengetahui punca kejadian sebenar. Saya diberitahu wanita ini mula menyebarkan video menerusi aplikasi WhatsApp hingga tular.

"Dia tidak sepatutnya membuka aib orang sesuka hati. Tindakannya menyebarkan video ini boleh menimbulkan fitnah," katanya.

Lelaki kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, dia akan bertemu dengan lelaki penghantar makanan berkenaan, hari ini.

"Kami akan bersemuka di balai polis untuk menyelesaikan isu yang tercetus antara kami.

"Saya tidak mahu membiarkan insiden ini terus membelenggu hidup secara berpanjangan. Lagipun, eloklah kami meleraikan kekusutan yang berlaku, Aidilfitri pun tidak lama," katanya.

Berita Harian X