Selasa, 4 Mei 2021 | 11:00am
Caprice mendakwa mematuhi SOP ketike menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah hotel yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini. Foto IG Caprice
Caprice mendakwa mematuhi SOP ketike menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah hotel yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini. Foto IG Caprice

Padah pancing emosi netizen

KUALA LUMPUR: Selebriti perlu lebih sensitif terhadap isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak terus menjadi sasaran kecaman netizen seperti yang berlaku, akhir-akhir ini.

Mengulas beberapa insiden yang tular di media sosial, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berkata sebagai golongan yang memiliki pengaruh besar terhadap masyarakat, sudah menjadi tanggungjawab selebriti untuk memberi contoh yang baik kepada insan sekeliling.

"Kebelakangan ini kita dapat lihat banyak insiden pelanggaran SOP membabitkan artis.

"Apabila perkara ini terjadi, secara tidak langsung memberi gambaran buruk terhadap selebriti secara keseluruhannya. Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Artis harus tanamkan dalam fikiran bahawa mereka mempunyai pengaruh yang cukup besar kepada masyarakat.

"Disebabkan itu, segala tindak tanduk mereka sentiasa diperhatikan.

"Justeru, sebelum membuat sebarang tindakan, perlu pastikan kesan perbuatan kita itu kepada masyarakat.

Zed kesal dengan sikap segelintir selebriti yang sengaja memuat naik perbuatan melanggar SOP dalam media sosial dengan niat memancing emosi netizen. Foto IG Zed Zaidi
Zed kesal dengan sikap segelintir selebriti yang sengaja memuat naik perbuatan melanggar SOP dalam media sosial dengan niat memancing emosi netizen. Foto IG Zed Zaidi

"Kalau tidak mahu dikecam netizen, jangan lakukan perbuatan yang boleh mengundang perkara itu terjadi," katanya kepada BH Online.

Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir selebriti yang sengaja memuat naik perbuatan melanggar SOP dalam media sosial dengan niat memancing emosi netizen.

"Tindakan itu akan menyebabkan artis dipandang insan sombong dan angkuh. Artis kena ingat, anda juga sama seperti orang lain.

"Bezanya cuma diberi lebih perhatian. Tidak kebal mana pun dan masih tertakluk kepada undang-undang.

"Biar kaya manapun kita, kalau kita merendah diri, hidup kita akan lebih dihormati," katanya.

Zed berkata, dalam keadaan sekarang, masyarakat cukup sensitif.

"Jangan kita buat perkara yang boleh menyakitkan hati mereka.

"Kalau hendak muat naik sesuatu entri yang boleh mendatangkan fitnah, fikir banyak kali. Jangan salahkan netizen apabila kena kecam. Cermin balik diri kita kenapa perkara itu boleh berlaku," katanya.

Antara kes pelanggaran SOP yang membabitkan selebriti adalah majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz serta majlis tahnik Datuk Seri Siti Nurhaliza sempena kelahiran puteranya, Muhammad Afwa, baru-baru ini.

Terbaru, polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri beberapa artis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dilaporkan berkata siasatan dijalankan selepas didapati berlaku pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mohamad Zainal dilaporkan berkata, majlis itu diadakan pada 29 April lalu dan setakat ini, tiga individu membabitkan penganjur dan seorang daripada pihak pengurusan hotel sudah dipanggil memberi keterangan.

Foto yang tular dalam media sosial menunjukkan beberapa artis hadir iaitu penyanyi rap Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.

Sementara itu, Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli ketika dihubungi HIP mendakwa mematuhi SOP ketika berada pada majlis berkenaan, malah sangat tegas dalam rutin mengelak penularan COVID-19.

Caprice mendakwa apa yang berlaku berpunca daripada seorang tetamu yang memuat naik foto dalam media sosial sehingga viral, lantas mengundang persepsi buruk netizen.

"Saya difahamkan malam tadi (kelmarin) individu terbabit sudah memberi keterangan berhubung insiden itu kepada polis dan mengaku dirinya menjadi punca kontroversi itu," katanya.

Berita Harian X