Ahad, 2 Mei 2021 | 1:00pm
Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta lagu Anakanda khas buat puteranya, Muhammad Afwa. - Foto IG Siti Nurhaliza
Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta lagu Anakanda khas buat puteranya, Muhammad Afwa. - Foto IG Siti Nurhaliza

'Anakanda' buat putera Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Jika lagu Comel Pipi Merah diabadikan khas buat puteri sulung, Siti Aafiyah Khalid, manakala lagu Anakanda pula buat puteranya, Muhammad Afwa.

Lagu Anakanda buat Muhammad Afwa yang dilahirkan pada 19 April lalu dimuatkan dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April lalu.

Ciptaan Siti sendiri dan lirik oleh Rozisangdewi, lagu Anakanda berentak inang.

"Saya mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham lagu khas untuk anak kedua yang bakal dilahirkan, ketika itu.

"Rentak inang dipilih bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak klasik ini. Lagu Anakanda diterbitkan oleh Pown Hasril.

"Lagu Anakanda adalah karya akhir dirakamkan untuk album Legasi," katanya kepada BH Online.

Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama keluarga bahagianya. - Foto IG Siti Nurhaliza
Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama keluarga bahagianya. - Foto IG Siti Nurhaliza

Siti berkata, dia terfikir mencipta sebuah lagu khas dan baru buat anak kedua pada saat memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi.

"Lagu Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki dan mahu menerapkan sisi tanggungjawab terhadap orang sekeliling.

"Menghasilkan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak.

Lagu ini bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya, tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahaya mata," katanya.

Siti menyiapkan video muzik lagu Anakanda dan disiarkan secara rasmi di saluran Youtube Siti Nurhaliza pada 26 April lalu.

Album Legasi diterbitkan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd dan edaran digital oleh Universal Music Malaysia.

Berita Harian X