Jumaat, 23 April 2021 | 8:30am
Penyertaan filem animasi Ejen Ali The Movie dalam Festival Fantaspoa 2021 sebagai pendedahan yang baik, malah menjadi tatapan penonton di Brazil.
Penyertaan filem animasi Ejen Ali The Movie dalam Festival Fantaspoa 2021 sebagai pendedahan yang baik, malah menjadi tatapan penonton di Brazil.

Tembus Amerika Latin

KUALA LUMPUR: Terus melakar sejarah, filem animasi yang mengaut RM32.5 juta ketika ditayangkan, Ejen Ali The Movie tercalon dalam pertandingan filem animasi di Festival Fantaspoa 2021 di Brazil, sekali gus membuka laluan karakter ejen perisik Ali menembusi pasaran Amerika Latin.

Melihat skop penyertaan ke festival berkenaan dalam sudut lebih luas, pengarah filem terbitan Primeworks Studios (PWS) dan Wau Animation itu, Usamah Zaid Yasin yakin penyertaan Ejen Ali The Movie dalam acara berkenaan sebagai suatu pendedahan yang baik.

Biarpun tidak dapat menyertai festival berkenaan yang dilaporkan berlangsung sejak 9 April lalu akibat penularan COVID-19 dan sekatan perjalanan, Usamah teruja buah tangannya menjadi tatapan penonton di Brazil dan Amerika Latin.

"Kita terpaksa akur dengan keadaan seluruh dunia diuji dengan pandemik COVID-19. Kalau diikutkan, kami ingin ke Brazil mempromosikan hasil kerja kami tetapi tidak tercapai akibat COVID-19.

"Bagaimanapun, melihat dalam sudut yang positif, sekurang-kurangnya Ejen Ali The Movie mendapat peluang ditayangkan di Brazil. Ini lebih baik daripada tidak diberi peluang langsung," katanya kepada BH Online.

Biarpun bukan kali pertama filem yang membabitkan kos RM6.5 juta itu menyertai festival filem antarabangsa, keterujaan penerbit masa sama biarpun perjalanan acara sekadar dipantau secara maya.

Sebelum ini, filem edaran PWS itu dicalonkan dalam kategori Filem Animasi Terbaik pada Pulcinella Awards 2020 di Itali.

Ejen Ali The Movie juga dipilih secara rasmi mewakili negara dalam Festival Filem ASEAN 2020 di Vietnam.

Ditanya mengenai peluang mereka di Festival Fantaspoa 2021, Usamah mengaku tidak meletakkan harapan tinggi.

"Kami berbesar hati atas peluang membawa filem sulung Ejen Ali the Movie kepada penonton di Brazil dan dicalonkan. Terima kasih atas sokongan semua pihak. Kami bersyukur kerana dapat mewakili dan mengharumkan nama negara.

"Bagi kami, apa yang lebih penting adalah pendedahan melalui penyertaan di festival di peringkat global. Selain dapat mengembangkan jenama kami, namun, andai ada rezeki untuk menang, pastilah kami amat bersyukur," katanya yang masih menunggu pengumuman keputusan daripada penganjur festival berkenaan.

Ejen Ali The Movie tercalon dalam pertandingan filem animasi di Festival Fantaspoa 2021 di Brazil, sekali gus membuka laluan karakter ejen perisik Ali menembusi pasaran Amerika Latin.
Ejen Ali The Movie tercalon dalam pertandingan filem animasi di Festival Fantaspoa 2021 di Brazil, sekali gus membuka laluan karakter ejen perisik Ali menembusi pasaran Amerika Latin.

Mengenai rancangan menerbitkan sekuel Ejen Ali The Movie 2, Usamah berkata, beberapa perubahan dibuat ke atas projek berkenaan yang akan diumumkan kelak.

Filem Ejen Ali The Movie yang dilancarkan pada Disember 2019 muncul filem animasi terlaris di Malaysia serta platform on-demand termasuk di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Fenomena yang dicetuskan animasi itu meyakinkan produksi menghasilkan tiga permainan bagi alatan mudah alih yang meraih lebih tujuh juta muat turun melalui aplikasi Apple App Store dan Google Play Store.

Melakar sejarah apabila diumumkan Filem Meletop pada Anugerah Meletop Era 2020, sekali gus menamatkan dominasi filem terbitan Astro Shaw yang turut bersaing dalam kategori sama.

Pada Festival Fantaspoa 2021, Ejen Ali The Movie dilaporkan dicalonkan bersama lima filem lain dari serata dunia. Ini kali pertama filem Ejen Ali The Movie mengisi slot tayangan perdana filem ini di rantau Amerika Selatan.

Berita Harian X