Khamis, 22 April 2021 | 6:00pm
Janna Nick kini mengambil ubat anti kemurungan untuk meredakan tekanan. - Foto IG Janna Nick
Janna Nick kini mengambil ubat anti kemurungan untuk meredakan tekanan. - Foto IG Janna Nick

Janna dedah dua kali cuba bunuh diri

KUALA LUMPUR: Artis versatil, Janna Nick mengesahkan dirinya mempunyai gangguan bipolar menerusi laman Instagram (IG), petang ini.

Menerusi entri IG, pengacara Melodi itu turut mendedahkan pernah dua kali cuba membunuh diri kali sepanjang hidupnya.

"Pengalaman pertama ketika berusia 14 tahun. Saya menelan segenggam panadol yang dicampurkan dengan ubat lain.

"Saya tidak mempunyai keluarga yang sempurna. Dahulu saya duduk sekolah berasrama penuh, jauh. Setiap hujung minggu, saya tengok ibu bapa rakan mengunjungi mereka, bawa makanan. Saya pula hanya tengok di balik tingkap.

"Percubaan bunuh diri kedua setahun selepas itu ketika mahu mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya memotong pergelangan tangan sendiri di hadapan adik perempuan saya," katanya.

Dalam pada itu, Janna memberitahu, dia sudah seminggu mengambil ubat anti kemurungan, Escitalopram dan Carbamazepine (CBZ).

"Saya cuba untuk tidak fokus pada media sosial ketika ini," katanya.

Janna Nick bersama ibu dan adik beradik yang menjadi penguat semangatnya. - Foto IG Janna Nick
Janna Nick bersama ibu dan adik beradik yang menjadi penguat semangatnya. - Foto IG Janna Nick

Janna berkata, dia sering mendengar tiga hingga empat suara dalam kepalanya dan merasakan ia adalah sesuatu yang biasa.

"Selama ini, saya fikir otak saya berfungsi dengan normal, sama seperti orang lain. Saya memang ingat biasa apabila suara dalaman kita terus bercakap antara satu sama lain seperti perbincangan kumpulan.

"Saya sedar ketika mula mengambil ubat. Baru saya tahu apa yang dialami tidak normal. Saya tidak tahu apakah faktor genetik atau disebabkan masa lampau," katanya.

Menerusi entri itu, ramai teman artis memberi sokongan buat Janna untuk terus kuat.

Berita Harian X