Isnin, 19 April 2021 | 9:44am
Kelahiran anak kedua Siti diumumkan di Instagram (IG) penyanyi tersohor itu, kira-kira sejam lalu. Foto IG Siti Nurhaliza
Kelahiran anak kedua Siti diumumkan di Instagram (IG) penyanyi tersohor itu, kira-kira sejam lalu. Foto IG Siti Nurhaliza

Siti selamat bersalin bayi lelaki

KUALA LUMPUR: Penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor, pada jam 6.21 pagi tadi.

Bayi seberat 3.84 kilogram (kg) itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.

Siti dan bayi masing-masing dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat.

Dalam kenyataan media, suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta selamat melahirkan bayi kedua mereka.

Siti berkongsi detik indah kelahiran putera tersayang di IG, kira-kira sejam lalu. Foto IG Siti Nurhaliza
Siti berkongsi detik indah kelahiran putera tersayang di IG, kira-kira sejam lalu. Foto IG Siti Nurhaliza

Kenyataan itu menyebut, apa yang penting bagi Khalid adalah ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan bayi lancar.

Khalid dan Siti juga menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas doa keluarga, saudara-mara, sahabat-handai, peminat, media dan orang ramai.

Selain itu, mereka mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat diketuai Dr Leong Wai Yew dari Alpha IVF & Women's Specialist yang menjalankan tanggungjawab dan khidmat terbaik sepanjang proses Siti melahirkan anak.

Mereka juga berterima kasih kepada Pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women's Specialists, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo, yang menjayakan program In Vitro Fertilization (IVF) bagi kandungan Siti yang pertama iaitu Siti Aafiyah dan anak yang kedua ini.

Kenyataan media itu menambah, kelahiran anak kedua pada bulan Ramadan penuh keberkatan ini diharap mengurniakan limpahan rezeki dan rahmat Allah SWT.

Berita Harian X