Ahad, 18 April 2021 | 11:17pm
Iklan raya promosikan judi dalam talian yang dilakonkan bakat baharu dengan hanya bayaran RM180
Iklan raya promosikan judi dalam talian yang dilakonkan bakat baharu dengan hanya bayaran RM180
Mendakwa diri jadi mangsa, Saif mahu meneruskan karier seni termasuk perniagaan biskut yang diusahakannya. - Foto Ihsan Saif
Mendakwa diri jadi mangsa, Saif mahu meneruskan karier seni termasuk perniagaan biskut yang diusahakannya. - Foto Ihsan Saif

Kami ditipu dan dipergunakan - Saif

KUALA LUMPUR: Mendakwa mangsa penipuan, pelakon, Saif, 24, yang ditahan polis selepas terbabit dalam pembikinan iklan mempromosikan aktiviti perjudian atas talian sempena Aidilfitri, Jumaat lalu, nekad meneruskan karier seni biarpun dihambat kontroversi.

Berkongsi butiran insiden yang akhirnya menyebabkan dirinya direman, Saif atau nama penuh, Saifullah Mohd Yunus mendakwa diberi tawaran berlakon video muzik Hari Raya oleh ejen pencarian bakat pada 13 Mac lalu.

"Saya yang kali pertama ditawarkan berlakon video muzik cukup teruja biarpun dibayar serendah RM180.

"Saya tidak didesak (untuk terima tawaran). Cuma, pada awalnya, saya tidak tahu akan diberi peranan atau watak utama. Pada mulanya, saya diberitahu akan melakonkan watak sampingan.

"Menyedari perkara itu, saya cuba meminta kadar bayaran dinaikkan kerana mengikut persetujuan asal adalah watak sampingan, bukan utama.

"Namun, permintaan saya tidak dilayan. Tetapi, atas dasar profesional, saya teruskan kerja diamanahkan.

Mendakwa diri jadi mangsa, Saif mahu meneruskan karier seni termasuk perniagaan biskut yang diusahakannya. Foto Ihsan Saif
Mendakwa diri jadi mangsa, Saif mahu meneruskan karier seni termasuk perniagaan biskut yang diusahakannya. Foto Ihsan Saif

"Tidak sangka, kami akhirnya dipergunakan dan menjadi mangsa penipuan," katanya kepada BH Online.

Saif yang dibebaskan daripada reman semalam, mendakwa hanya mengetahui 'video muzik' yang dilakonkan membabitkan iklan mempromosikan aktiviti perjudian atas talian selepas perkara itu viral.

Saif yang digilap bakatnya melalui pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 mahu mengambil sikap 'buang yang keruh dan ambil yang jernih' atas kekecohan berlaku.

Biarpun kecewa diperalatkan, Saif reda isu video mempromosikan aktiviti perjudian atas talian diberi perhatian serius semua pihak.

"Bukan bermaksud saya bangga dengan apa yang terjadi. Saya bersyukur rakyat Malaysia peka dengan perkara membabitkan sensitiviti masyarakat dan agama.

"Saya tidak marah kepada rakyat Malaysia sekalipun kesilapan ini bukan disengajakan. Apa yang dilihat, pendedahan ini mendapat perhatian dan disusuli dengan tindakan keras," katanya.

Saif mengaku soal agama dan perkara sensitif yang lain tidak boleh dipandang mudah.

"Tiada tolak ansur dalam soal agama dan perkara sensitif. Namun, saya mahu membuang yang keruh dan ambil yang jernih.

"Saya mahu terus kembangkan bakat lakonan dan perniagaan biskut yang diusahakan," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Jumaat lalu, Saif yang juga anak bongsu daripada lapan beradik, ditahan bersama empat lagi pelakon iklan mempromosikan aktiviti perjudian atas atas talian di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Bagaimanapun, selepas direman, mereka dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.

Saif sedia bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Saya mendapat tahu pengarah dan jurugambar iklan terbabit direman empat hari," katanya.

Saif pernah berlakon dalam beberapa drama seperti Marry Me Miss Senorita yang diterajui Janna Nick dan Dini Schatzmann.

Berita Harian X