Jumaat, 16 April 2021 | 11:00am
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof bersama semua pihak yang terbabit dengan MOU kerjasama FINAS dan Koperasi Al Najah di Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Amiruddin Sahib
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof bersama semua pihak yang terbabit dengan MOU kerjasama FINAS dan Koperasi Al Najah di Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Amiruddin Sahib

FINAS buka peluang artis, kru teroka e-dagang

KUALA LUMPUR: Berteraskan objektif memperkasakan ekonomi penggiat seni, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merintis jalan membuka peluang perniagaan melalui platform e-dagang kepada kru dan artis, dalam mendepani cabaran era pandemik COVID-19.

Kolaborasi antara FINAS dan Koperasi Al Najah yang dimeterai pada 8 April lalu, menyaksikan 30 anak seni termasuk pekerja belakang tabir, menceburi bidang keusahawanan melalui plaftorm e-dagang secara percuma.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berharap inisiatif diambil perbadanan dan Koperasi Al Najah dimanfaatkan penggiat seni yang mahu berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan atau mereka yang sudah memiliki perniagaan dalam talian.

"Saya amat berbangga dengan pelaksanaan inisiatif keusahawanan dalam talian ini bagi memastikan pembangunan ekonomi penggiat industri kreatif terus diperkasa.

"Objektif inisiatif ini adalah untuk memberi galakan kepada penggiat industri kreatif menceburi bidang keusahawanan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan terutama dalam situasi semasa yang membimbangkan," katanya kepada BH Online.

Zakaria berkata, sejak negara berdepan ancaman pandemik COVID-19, FINAS sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada warga seni melalui pelbagai program.

"Sebagai contoh, program FINAS Prihatin yang sudah memasuki siri ketiga, program penyerahan sumbangan kembali ke sekolah dan tawaran program pengajian kemahiran dengan kerjasama Yayasan Felda.

"Tidak ketinggalan, Program Perumahan Rakyat Komuniti Seni Prihatin dan Insentif Saringan Prihatin. Semua ini membuktikan FINAS sentiasa komited meneruskan agenda kebajikan terhadap penggiat industri kreatif yang memerlukan," katanya.

Tambah Zakaria, usaha dan bantuan disalurkan tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama rakan strategik lain.

"Penghargaan diucapkan kepada CDERT Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam, Yayasan FELDA, GISB Holdings, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Koperasi Al Najah atas semua projek kerjasama ini," katanya.

Selain memberi penekanan kepada aspek kebajikan penggiat industri kreatif, FINAS komited memajukan sektor ini.

"Sebagai contoh, Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) yang dilancarkan pada Julai 2020 memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas akibat pandemik.

"Terbaru, FINAS menggerakkan Program Peningkatan Kapasiti Industri Kreatif Malaysia (MyCAP) yang juga inisiatif pengumpulan data menyeluruh berkaitan industri kreatif tempatan.

"Ini membabitkan platform khusus merangkumi penilaian, pengiktirafan, penyaluran data penggiat industri, persatuan dan syarikat produksi dengan skop bidang yang lebih meluas," katanya.

Zakaria berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) iaitu inisiatif jangka pendek memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara pada era COVID-19.

Kolaborasi antara FINAS dan Koperasi Al Najah menyaksikan 30 anak seni dan kru balik tabir menceburi bidang keusahawanan melalui plaftorm e-dagang secara percuma. - NSTP/Amiruddin Sahib
Kolaborasi antara FINAS dan Koperasi Al Najah menyaksikan 30 anak seni dan kru balik tabir menceburi bidang keusahawanan melalui plaftorm e-dagang secara percuma. - NSTP/Amiruddin Sahib

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof amat menghargai cetusan idea Koperasi Al Najah.

"Objektif program ini adalah untuk memberi sokongan dan galakan kepada penggiat industri kreatif menceburi bidang keusahawanan menerusi penyediaan platfom e-dagang secara percuma.

"Selain itu, kita juga mahu mengembangkan pemasaran produk keusahawanan dalam kalangan penggiat industri kreatif.

"Pada masa sama, kita mahu meningkatkan pendapatan dan pulangan jualan produk menerusi capaian perniagaan yang lebih meluas," katanya.

Eizlan berkata, pelaksanaan inisiatif ini selari dengan hasrat FINAS bagi memastikan ekonomi dan pendapatan penggiat industri kreatif diberi perhatian lantas meningkatkan taraf hidup mereka.

Sementara itu, pelakon dan ahli perniagaan, Anne Abdullah yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), bersyukur atas peluang diberi FINAS dan Koperasi Al Najah.

"Keprihatinan FINAS dalam membantu anak seni dipanjangkan dalam pelbagai cara dan medium.

"Benar selepas setahun pandemik melanda, golongan seni tersekat rezeki hingga ada yang terpaksa berniaga. Semestinya ruang dan platform e-dagang ini sudah menjadi satu keperluan. Kemudahan ini bukan lagi dianggap alternatif sejak pandemik COVID-19 melanda dunia," katanya.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara FINAS dan Koperasi Al Najah dilakukan di Kompleks FINAS di Petaling Jaya, pada 8 April lalu.

Antara penggiat seni yang hadir pada majlis itu adalah Jasmin Hamid, Dilla Ahmad, Ainina Ahmad B, Helmi Gimmick dan ramai lagi.

Berita Harian X