Ahad, 11 April 2021 | 3:00pm
Kesudian isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah menerima Shuk Sahar semula dan memaafkan segala kesalahan dilakukan bukti kekuatan cinta mereka. - Foto IG Shuk Sahar
Kesudian isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah menerima Shuk Sahar semula dan memaafkan segala kesalahan dilakukan bukti kekuatan cinta mereka. - Foto IG Shuk Sahar

Isteri tak tinggal Shuk saat rebah

KUALA LUMPUR: Pelawak, Shuk Sahar, 35, bersyukur keluarganya setia di sisi biarpun dihimpit pelbagai kontroversi termasuk hilang pekerjaan sebagai penyampai radio Hot FM.

Sebelum ini, Shuk mencetuskan kontroversi dengan isu curang dan pergolakan rumah tangga bersama isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera.

Bagaimanapun, apabila ditimpa musibah, isteri, ibu bapa dan keluarga tetap menyokongnya untuk bangkit semula.

"Jika dahulu ada duit lebih, tetapi hubungan keluarga renggang. Namun, sekarang saya dapat semula keluarga, walaupun hilang banyak tawaran kerja.

"Alhamdulillah, saya lebih bersyukur hubungan saya dengan isteri dan keluarga semakin rapat. Saya dapat semula keluarga saya selepas pelbagai dugaan yang menimpa kami.

"Saya anggap kehilangan beberapa tawaran kerja adalah harga yang perlu dibayar. Saya tak kisah, asalkan keluarga bersama saya. Apa yang boleh dikatakan, isteri seorang wanita yang kuat.

"Saya tak pernah salahkan isteri atau sesiapa dengan apa yang berlaku. Malah, saya meletakkan semua kesalahan atas diri saya," katanya kepada BH Online.

Tambah Shuk, episod hitam yang dilaluinya adalah satu pengajaran buatnya. Dia percaya semua yang terjadi adalah satu hikmah buatnya sekeluarga.

"Saya percaya Allah beri ujian kepada hambanya mengikut kemampuan seseorang. Bagaimanapun, saya sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada dugaan besar seperti ini. Saya mahu hidup bahagia bersama keluarga.

"Lagipun, kesudian Sera menerima saya semula dan memaafkan segala kesalahan yang dilakukan adalah bukti kekuatan cintanya. Saya tak tahu bagaimana jika orang lain hadapi situasi sama kerana komen negatif yang diterima dalam laman sosial bukannya suatu yang mudah untuk ditelan," katanya.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1.

Shuk Sahar yang baru sahaja membuka cawangan pertama air minuman, Semooth Cafe di Wangsa Maju, bangkit memulihkan semangat dengan meletakkan fokus pada bidang perniagaan. - Foto Shuk Sahar
Shuk Sahar yang baru sahaja membuka cawangan pertama air minuman, Semooth Cafe di Wangsa Maju, bangkit memulihkan semangat dengan meletakkan fokus pada bidang perniagaan. - Foto Shuk Sahar

Dalam perkembangan lain, Shuk yang baru sahaja membuka cawangan pertama air minuman, Semooth Cafe di Wangsa Maju, bangkit memulihkan semangat dengan meletakkan fokus pada bidang perniagaan.

"Memandangkan saya sudah tidak lagi berkhidmat di stesen radio Hot FM, jadi saya perlu ambil langkah dengan cepat untuk mencari rezeki buat keluarga. Jadi, saya bersama seorang rakan kongsi cuba fikirkan idea terbaik untuk memulakan perniagaan. Akhirnya, kami bersepakat membuka kafe minuman," katanya.

Meneroka dunia keusahawanan menerusi pembukaan Semooth Cafe, Shuk menjadikan sahabatnya, Shuib Sepahtu sebagai inspirasi utama.

"Saya tahu, mungkin akan ada yang kata pembukaan jenama ini seakan-akan meniru minuman diusahakan Shuib yang kini populariti. Terus-terang, saya sendiri memang ada bertanya dan meminta tips serta nasihat perniagaan daripada Shuib, tetapi bukanlah mahu meniru.

"Sebagai sahabat, Shuib memang tidak lokek berkongsi ilmu dengan saya yang masih baharu dalam dunia perniagaan," katanya.

Tambah Shuk, antara pesanan Shuib yang diberikan padanya adalah jangan mudah mengalah kerana dunia perniagaan mempunyai risiko dan hanya mereka yang berani mencuba akan terus maju ke hadapan.

"Shuib kata jangan mengaku kalah, terus jalan ke hadapan apabila sudah jejak kaki dalam dunia perniagaan. Daripada fikir sahaja, tetapi tidak buat dan mencuba, kita tidak akan mendapat apa-apa.

"Diakui, Shuib memang idola saya. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya nak giatkan latihan dan mahu ikut jejak langkah Shuib. Sasaran saya, nak buka enam cawangan Semooth Cafe selepas ini," katanya.

Berita Harian X