Sabtu, 10 April 2021 | 1:00pm
Keluarga bahagia Fattah, Fazura dan puteri kesayangan, Fatima. Foto IG Nur Fazura
Keluarga bahagia Fattah, Fazura dan puteri kesayangan, Fatima. Foto IG Nur Fazura

Jaga privasi anak

KUALA LUMPUR: Sejak dilahirkan Oktober lalu, wajah comel dan keletah puteri sulung kesayangan pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura iaitu Nur Fatima Aisya hanya dapat dilihat dalam media sosial mereka serta akaun Instagram (IG) keluarga, @fattzuralovelife.

Bagaimanapun, tidak semua aktiviti atau foto bayi berusia enam bulan itu disogokkan dalam akaun berkenaan.

Fazura memberitahu, biarpun bersikap terbuka untuk berkongsi perkembangan cahaya matanya kepada khalayak, namun, dia dan suami memutuskan perlu ada batasan.

Mereka masih mahu menjaga privasi agar tidak terlalu mendedahkan Fatima dalam media sosial.

"Selain sesekali memuatkan perkembangan Fatima di IG kami, saya dan Fattah mewujudkan akaun IG keluarga iaitu@fattzuralovelife.

"Akaun itu adalah untuk memuat naik momen yang dirasakan mempunyai nilai sentimental dan mengukir momen manis buat kami sekeluarga.

"Namun, untuk mewujudkan akaun khas buat Fatima, itu tak akan berlaku buat masa ini. Saya tidak akan menjadikan Fatima sebagai kandungan atau 'content' untuk media sosial semata-mata meraih 'like' daripada pengikut.

"Walaupun ibu bapanya selebriti, namun, itu tidak bermakna dia perlu menjalani kehidupan sama.

Fazura mengusik Fatima yang diriba Fattah ketika dalam penggambaran iklan untuk Suria KLCC, kelmarin. Foto NSTP Ezairi Samsudin
Fazura mengusik Fatima yang diriba Fattah ketika dalam penggambaran iklan untuk Suria KLCC, kelmarin. Foto NSTP Ezairi Samsudin

"Tidak mahulah nanti dia berasa tidak selesa apabila kehidupan peribadi dikongsi kepada khalayak dan menyalahkan kami kelak andai itu terjadi," katanya kepada BH Online.

Pelakon Dendam Pontianak ini menambah, dia lebih suka membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri jika sudah tiba masanya nanti.

"Sebenarnya, kami sudah pun siapkan satu akaun IG yang menggunakan namanya sejak awal lagi, iaitu sebelum Fatima lahir.

"Saya tahu, kalau saya tak buat sekarang, pasti akan ada pihak lain yang akan cipta akaun berkenaan.

"Apa-apapun, kenalah tunggu sampai Fatima sudah boleh buat keputusan sendiri, sama ada dia mahu memiliki akaun IG sendiri atau tidak.

"Kalau dia rasa perlu, gunakan sahaja akaun IG yang kami sediakan itu," cerita aktres berusia 38 tahun ini ketika ditemui pada sesi penggambaran iklan di Suria KLCC di ibu negara, kelmarin.

Apa yang menarik, iklan itu menyaksikan buat julung kalinya Fazura bergandingan bersama anaknya itu.

Kali pertama berada di khalayak ramai dan mengunjungi pusat beli-belah, Fatima tampak teruja walaupun sesekali meragam kerana kepanasan.

Mengulas pembabitan anaknya itu, pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 ini menyatakan ia bagai rezeki buat Fatima.

"Ketika Fatima masih dalam kandungan, saya pernah membuat penggambaran bersama pusat beli-belah ini.

"Kiranya ini adalah kesinambungan kepada projek sebelum ini.

"Saya terima tawaran ini pun bukanlah semata-mata kerana kerja. Sebaliknya, saya melihat aspek lain seperti kesesuaian dengan Fatima dan mesej yang hendak disampaikan.

"Kebetulan, kempen ini adalah usaha mempromosikan pusat beli-belah ini sebagai lokasi selamat. Selain itu, saya teruja dengan pengalaman pertama membeli-belah bersama Fatima.

"Penggambaran lancar dan Fatima sangat teruja dapat berjalan-jalan. Sebelum ini, dia hanya berada di rumah.

"Ini bukanlah bermakna kami cuba eksploitasi anak, tetapi ia adalah limpahan rezeki buat Fatima.

"Memandangkan Fatima perlu bekerja, maka bayarannya kami salurkan terus ke akaunnya untuk kegunaan dirinya ketika melanjutkan pelajaran nanti," kata aktres jelita ini.

Hampir dua tahun tidak muncul di layar perak atau skrin televisyen (TV), Fazura meluahkan rasa rindu untuk kembali berlakon.

Mengakui masih menerima tawaran, namun, dengan status ibu yang digalasnya, Fazura perlu memikirkan pelbagai perkara sebelum bersetuju.

"Seperti peminat yang begitu merindui melihat saya muncul dalam drama atau filem, begitulah perasaan saya untuk kembali berlakon.

"Saya masih menerima tawaran, namun, terpaksa ditolak kerana wataknya tidak lagi sesuai dengan diri saya.

"Tidak mahulah saya melakonkan watak cinta tiga segi atau menangis kerana berebutkan lelaki.

"Bagaimanapun, ada satu tawaran yang menarik minat saya kerana watak diberi berkait memperkasakan wanita.

"Masih belum ada perbincangan lanjut mengenai perkara itu kerana ada banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum bersetuju.

"Dalam situasi sekarang, saya tidak boleh lagi berada di set untuk tempoh yang panjang. Keutamaan saya adalah Fatima.

"Sebelum ini, saya pernah tinggalkan dia untuk tempoh yang agak lama dan Fattah hantar video memaparkan Fatima menangis.

"Apabila hendak tidur, Fatima mahu saya sentiasa bersamanya," katanya.

Berita Harian X