Jumaat, 9 April 2021 | 10:42pm
Ziana dan Ning berkongsi pengalaman ketika menjayakan drama Madam E-Wallet pada sesi temuramah sempena pelancaran kempen Salam Sayang Ramadan, malam tadi. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Ziana dan Ning berkongsi pengalaman ketika menjayakan drama Madam E-Wallet pada sesi temuramah sempena pelancaran kempen Salam Sayang Ramadan, malam tadi. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

TV3, TV9 bantu usahawan kecil dalam kempen Salam Sayang Ramadan

SHAH ALAM: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) melancarkan kempen Salam Sayang Ramadan pada siaran langsung yang disiarkan TV9, malam tadi.

Tema tahun ini adalah kesinambungan kempen Setulus Ikhlas tahun lalu, di mana kali ini, elemen kasih sayang, hormat, ikhlas dan membantu disemaikan dalam diri setiap insan ketika berdepan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif, MPTN dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, pada kempen kali ini, TV3 dan TV9 mengambil inisiatif membantu usahawan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Di bawah inisiatif Misi Salam Sayang, pengusaha kecil dibantu untuk diperluaskan perniagaan mereka melalui platform media sosial TV3.

"Objektif kami adalah untuk menyebar rezeki dan memperluaskan jalinan kepada mereka yang hilang pekerjaan.

Sissy dan Haziq bersama Ziana dan Ning pada siaran langsung kempen Salam Sayang Ramadan di Studio 3, Glenmarie, malam tadi. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Sissy dan Haziq bersama Ziana dan Ning pada siaran langsung kempen Salam Sayang Ramadan di Studio 3, Glenmarie, malam tadi. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

"Misi murni ini dijangka dapat membantu memulihkan semangat mereka untuk mencari rezeki," katanya pada majlis pelancaran kempen Salam Sayang Ramadan yang dipancarkan dari Studio 3, Glenmarie, di sini, malam tadi.

Khairul Anwar berkata, TV3 dan TV9 juga meneruskan tradisi menyajikan program menarik merangkumi genre keagamaan, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan untuk penonton.

"Penonton boleh membeli-belah dan membuat persiapan Aidilfitri dalam program Jom Heboh Di Rumah - Raya Bersama Shopee yang akan disiarkan pada 4 dan 5 Mei depan," katanya.

Siaran langsung pelancaran kempen Salam Sayang Ramadan dikendalikan Haziq Hussni dan Sissy Iman.

Acara turut diserikan dengan persembahan Amyza Aznan dan anaknya, Adrian, Iman Troye, Wany Hasrita serta Ning Baizura.

Tidak ketinggalan, temuramah bersama artis yang menjayakan drama dan program Ramadan di TV3 serta TV9 seperti Ziana Zain, Fedtri Yahya, Mas Idayu, Redza Rosli, Intan Najuwa, Hisyam Hamid dan Ruhainies.

Berita Harian X