Ahad, 4 April 2021 | 1:00pm
Kaka Azraff mendedahkan single Janjiku berkisar kehidupan rumah tangganya yang mendapat bantahan ketika mahu berkahwin. - Foto IG Kaka Azraff
Kaka Azraff mendedahkan single Janjiku berkisar kehidupan rumah tangganya yang mendapat bantahan ketika mahu berkahwin. - Foto IG Kaka Azraff

Kaka buat suami cemburu?

SHAH ALAM: Penyanyi Kaka Azraff mendedahkan terpaksa membuat suami cemburu sebagai taktik memujuknya berlakon dalam video muzik single terbaharu berjudul Janjiku.

Kaka berkata, dia terpaksa memaklumkan kononnya ada babak bersentuhan dan berpelukan bersama pelakon lelaki. Tidak sangka, suaminya, Adam Azriff terus bersetuju untuk tampil dalam video muzik arahan Adriana Tunku itu.

"Ketika berbincang mengenai pembikinan video muzik pada peringkat awal, pihak produksi mencadangkan nama Adam dan anak, Aslan. Saya memang teruja mendengarnya.

"Namun, Adam menolak apabila saya bertanya. Nak tak nak, saya kena pancing Adam dengan menunjukkan pelakon yang akan menggantikan tempatnya itu.

"Apabila Adam melihat pelakon lelaki itu kacak, berambut kerinting dan menepati cita rasa, dia terpaksa bersetuju untuk berlakon dalam video muzik ini," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Janjiku, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqiem Brian dan komposer lagu, MFMr dan Tysha Tiar.

Suami, Adam Azriff akhirnya bersetuju muncul dalam video muzik single terbaharu Kaka Azraff berjudul Janjiku. - Foto IG Kaka Azraff
Suami, Adam Azriff akhirnya bersetuju muncul dalam video muzik single terbaharu Kaka Azraff berjudul Janjiku. - Foto IG Kaka Azraff

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, video muzik itu cukup dekat dengan kehidupannya kerana ia diangkat daripada kisah benar.

"Single Janjiku ini berkisar kepada jatuh dan bangun kami sebagai pasangan suami isteri. Pada peringkat awal, saya memutuskan mahu berkahwin dengan Adam, ramai tidak bersetuju dengan alasan tidak mampu untuk menjaga saya.

"Banyak perkara yang berlaku menjatuhkan semangat kami. Namun, kami berjaya melaluinya hingga tahap ini. Biasalah, suami isteri mana yang tiada berselisih faham.

"Saya tak malu nak tunjuk pada khalayak kerana mahu mereka menjadikan apa yang kami lalui sebagai inspirasi," kata penyanyi lagu Gila ini.

Dalam perkembangan lain, Kaka mengucapkan terima kasih kepada pelakon dan penyanyi, Zizan Razak kerana percaya kepada bakatnya dan menjadi orang pertama memperkenalkannya dalam dunia nyanyian.

"Lepas diangkat sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu Ke-35, saya dan Zizan ada menjayakan program bersama.

Apabila bertemu, kami menangis. Kaka memang kenang jasa Zizan.

"Apapun yang dilalui sebelum ini, Zizan tidak pernah pukul canang bahawa dialah insan yang menaikkan nama saya. Malah sekali pun Zizan tidak pernah membangkitkan perkara ini.

"Jadi, saya percaya Zizan ikhlas dalam membantu saya. Dia tahu betapa susahnya kehidupan saya ketika mula menjadi artis. Saya tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga," katanya.

Kaka mendedahkan, dia pernah bersolek di kaunter farmasi menggunakan produk 'tester' sebelum pergi buat persembahan kerana tiada ada duit nak upah jurusolek.

"Zizan tahu semua sejarah saya. Disebabkan itu, Zizan menangis apabila dapat tahu saya menang," cerita penyanyi berusia 31 tahun itu.

Berita Harian X