Khamis, 25 March 2021 | 2:00pm
Pengarah, Syafiq Yusof menyahut cabaran bapanya, Datuk Yusof Haslam menghasilkan filem seram dan berunsurkan Islamik, Penunggang Agama. - Foto FINAS
Pengarah, Syafiq Yusof menyahut cabaran bapanya, Datuk Yusof Haslam menghasilkan filem seram dan berunsurkan Islamik, Penunggang Agama. - Foto FINAS

'Sahut cabaran Papa'

KUALA LUMPUR: Kali pertama menghasilkan filem 'thriller' yang diserap elemen Islamik, pengarah muda, Syafiq Yusof tidak gusar hasil kerja dibandingkan dengan abangnya, Syamsul Yusof yang cukup terkenal dengan karya seumpama itu.

Malah, pemegang trofi Pengarah Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25 melalui filem SAM : Saya Amat Mencintaimu ini mengaku mendapat ilham daripada filem Munafik dan Khurafat garapan Syamsul.

Anak pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam ini memberitahu, idea menghasilkan filem Penunggang Agama tercetus sejak enam tahun lalu.

Syafiq atau nama penuh, Mohd Syafiq Mohd Yusof mengaku cabaran ayah dan bajet diperuntukkan Astro First mendorong dirinya menyiapkan filem Penunggang Agama, akhir tahun lalu.

"Kebetulan dua filem arahan saya, Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 terperam dan tidak dapat ditayangkan sejak lebih setahun lalu.

"Jadi, Papa minta lakukan sesuatu untuk produksi Skop Production. Papa mencabar saya menghasilkan filem seram dan berunsurkan Islamik.

"Saya hasilkan filem ini tanpa rancangan menayangkannya di pawagam, cukup hanya menyiarkannya di Astro First. Bajet yang dikeluarkan juga sesuai dengan keperluan dan spesifikasi filem ini," katanya yang enggan mendedahkan kos menghasilkan Penunggang Agama.

Filem ini dibintangi Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan, Datuk Jalaludin Hassan, Salina Salbi, Johan Asari dan Sabrina Ali.

Syafiq Yusof menghasilkan filem Penunggang Agama dari kisah benar dan pengalaman sendiri. - Foto FINAS
Syafiq Yusof menghasilkan filem Penunggang Agama dari kisah benar dan pengalaman sendiri. - Foto FINAS

Syafiq mengaku menyuntik kisah benar dan pengalaman sendiri dalam buah tangan terbarunya itu.

"Saya zahirkan semua itu dalam bentuk fiksyen. Hakikatnya, isu 'penunggang agama' yang dilihat sensitif ini wujud di Malaysia.

"Ini termasuk situasi di mana orang mempercayai bomoh tidak bertauliah. Saya pernah bertemu lelaki berperwatakan alim, namun, hakikat sebenarnya adalah bertentangan," katanya.

Syafiq berkata, apa yang dipaparkan dalam Penunggang Agama adalah hakikat bahawa tiada orang yang sempurna.

Sementara itu, Zul beroleh pengalaman baharu membawa watak jejaka Islamik dalam filem.

Dalam filem Penunggang Agama, Zul melakonkan watak Amir yang berkelulusan agama dari luar negara, namun bekerja sebagai pegawai kesihatan.

Zul berkata, disebabkan filem berkenaan digarap Syafiq, dia berani menyahut cabaran membawa watak pemuda Islamik.

"Saya sebenarnya takut melakonkan watak Amir kerana membabitkan soal agama. Saya sendiri tidak cukup baik.

"Selama ini, saya bukan mengelak watak begitu, namun, belum bersedia. Namun, di bawah arahan Syafiq, saya yakin dengan hasil kerjanya.

"Dia juga tahu kerisauan saya," katanya yang digelar 'Pencetus Ummah (PU) Zul' oleh kru dan pelakon ketika berada di lokasi.

Pelakon filem Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof, Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Salina Salbi dan Sabrina Ali. - Foto FINAS
Pelakon filem Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof, Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Salina Salbi dan Sabrina Ali. - Foto FINAS

Sementara itu, Azira yang memegang watak Ustazah Anna yang juga isteri kepada Amir, mendapatkan bantuan sahabat Syafiq bagi membimbingnya membaca al-Quran dengan betul.

Sebab setiap surah dalam al-Quran membawa maksud tersendiri. Biarpun ada pilihan, saya ambil yang mana selesa untuk dibaca.

"Alhamdulillah, sahabat Syafiq yang saya anggap guru banyak membantu memperbetulkan sebutan dan memberi lebih keyakinan untuk saya menghidupkan watak Ustazah Anna," katanya.

Menjalani penggambaran di Cameron Highlands selama 16 hari. Projek usaha sama Skop Production dan Astro Shaw yang ditayangkan di Astro First, mulai hari ini.

Berita Harian X