Isnin, 22 March 2021 | 3:01pm
Luca Sickta dan Kmy Kmo tidak menafikan lagu 7 Nasihat diinspirasikan dari lagu Melayu asli, tetapi bukannya meniru. - NSTP/Hazreen Mohamad
Luca Sickta dan Kmy Kmo tidak menafikan lagu 7 Nasihat diinspirasikan dari lagu Melayu asli, tetapi bukannya meniru. - NSTP/Hazreen Mohamad

7 Nasihat bukan karya ciplak

PETALING JAYA: Duo rap popular, Luca Sickta dan Kmy Kmo pelik apabila diberitahu lagu nyanyian dan ciptaan, 7 Nasihat tewas ekoran kekurangan dari segi kreativiti dan keaslian.

Bagaimanapun, kata Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin, mereka tetap terbuka dengan komen yang diberikan oleh juri profesional Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, baru-baru ini.

"Secara jujurnya, agak aneh, tetapi bukannya terkejut sebab lagu sebelum ini banyak juga diinspirasikan daripada lagu luar yang menghasilkan bunyian tersendiri. Bila kami mengeluarkan lagu 7 Nasihat dan diberikan komen begitu, kami rasa 'lost' sekejap. Salah ke apa kami buat?

"Tetapi, saya dan Kmy akur dengan apa yang dikatakan oleh ketua juri. Mereka adalah golongan profesional dalam bidang muzik yang dipilih untuk menilai lagu, jadi siapalah kami untuk menyalahkan atau menidakkan apa yang mereka katakan.

"Tidaklah mahu membangkang, kami buat lagu pasal adab, kalau kami tak beradab, macam mana? Kami buat lagu bukan untuk menang semata-mata, jadi apa yang mereka kata, kami akur sahaja. Tetapi, kami boleh pastikan akan cuba lagi sampai jadi, insya-Allah," katanya Luca kepada BH Online.

Terdahulu, Datuk Mokhzani yang bertindak selaku ketua juri AJL35 berkata, lagu 7 Nasihat yang diinspirasikan dari lagu tradisional itu mendapat markah kurang dari segi kreativiti dan keaslian pada sidang media pasca AJL35.

Ekoran itu, Luca mengakui, mereka tidak menolak perasaan kecewa kalah di pentas tersebut.

"Nak cakap tak kecewa, itu menipu. Sebab bukan kami sahaja bekerja keras, satu pasukan Universal Music dan Siti Nurhaliza Production (SNP) serta pasukan belakang tabir bertungkus lumus untuk merealisasikan apa yang kalian nampak di kaca televisyen.

"Jadi, kalau nak cakap tidak kecewa, tipulah. Ada juga perasaan kecewa, cuma kami tak terbawa perasaan lama-lama, kami terus fokus untuk karya seterusnya," katanya.

Luca Sickta dan Kmy Kmo berkolaborasi dengan Datuk Jamal Abdillah menerusi single baharu, Neraca. - NSTP/Hazreen Mohamad
Luca Sickta dan Kmy Kmo berkolaborasi dengan Datuk Jamal Abdillah menerusi single baharu, Neraca. - NSTP/Hazreen Mohamad

Dalam masa sama, Luca tidak menafikan lagu 7 Nasihat diinspirasikan dari lagu Melayu asli.

"Kami membesar dengan muzik seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan ramai lagi, jadi merekalah inspirasi kami dalam menghasilkan lagu.

"Bagi saya, inspirasi tidak salah, tetapi jangan tiru. Inspirasi dan tiru berbeza.

"Kami tak ciplak karya orang lain. Bagaimanapun, saya akui, inspirasi dalam muzik memang tidak akan berhenti.

"Tetapi, mungkin kami akan mencari keaslian lebih terperinci seperti lagu yang dihasilkan bersama Jamal seperti single Neraca selepas ini," katanya.

Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim menegaskan, lagu asli Melayu banyak memberikan insprisai kepada mereka dalam menghasilkan karya.

"Bagi kami, siapa lagi nak bawa warna-warni muzik asli Malaysia kalau bukan kita sendiri. Setiap penggubah dan pencipta lagu pastinya mempunyai lagu yang menjadi inspirasi dalam menghasilkan karya," katanya.

Luca dan Kmy ditemui pada sidang media pelancaran lagu Neraca bersama penyanyi, Jamal dan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa 2020, kolobarasi mereka bersama Hijjaz dan Pasya, baru-baru ini.

Berita Harian X