Isnin, 22 March 2021 | 8:30am
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi. - NSTP/Rohanis Shukri
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi. - NSTP/Rohanis Shukri

Syor guna pengaruh artis ajak daftar suntikan vaksin

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysian (SENIMAN) mencadangkan kerajaan menggunakan pengaruh golongan selebriti untuk mengajak orang ramai mendaftar suntikan vaksin seperti dilakukan di negara jiran, Indonesia.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, golongan selebriti mempunyai ramai pengikut dalam media sosial, jadi satu kerugian kerajaan tidak memanfaatkan peluang yang ada.

Bagaimanapun, katanya, cadangan golongan artis diberikan suntikan lebih awal belum mendapat maklum balas kerajaan walaupun perkara itu sudah diusulkan beberapa kali.

Zed berkata, sekiranya kerajaan mengambil kira cadangan diusulkan, ia sekali gus dapat membantu meringankan beban kerajaan dalam menyampaikan maklumat jelas mengenai program vaksinasi.

Malah, katanya, SENIMAN juga bersedia berkempen bagi menyampaikan maklumat mengenai vaksinasi.

"SENIMAN mempunyai 7,000 ahli berdaftar, Malaysia pula mempunyai kira-kira 32 juta penduduk. Jika lihat kebanyakan artis mempunyai ramai pengikut dalam media sosial, kebanyakannya mencecah jutaan.

"Kerajaan sepatutnya menggunakan pengaruh dimiliki golongan seni bagi menyuntik kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan vaksin. Satu kerugian sekiranya kerajaan tidak menggunakan manfaat yang ada, sedangkan golongan seni adalah medium pengantara terbaik untuk menyebarkan maklumat.

"Kita sepatutnya mengambil contoh seperti Indonesia yang memberi vaksin terawal diberikan kepada golongan selebriti. Sebenarnya, banyak negara lain menjadikan selebriti sebagai ejen penyebaran maklumat. Bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pun sebelum bertanding memanggil golongan seni terlebih dahulu.

"Kemudian, keluarlah pelbagai filem atau apa sahaja berkaitan dengannya. Ini menunjukkan betapa pentingnya golongan selebriti dalam membantu kerajaan," katanya yang ditemui pada majlis penyampaian kit perniagaan Program Survival Pandemik Anak Seni bersama VML.

Zed Zaidi (kanan) bersama Ketua Pegawai Ekskutif VML Emperor Sdn Bhd, Romeyzee Zainuddin pada sidang media majlis penyampaian kit perniagaan Program Survival Pandemik Anak Seni. - NSTP/Rohanis Shukri
Zed Zaidi (kanan) bersama Ketua Pegawai Ekskutif VML Emperor Sdn Bhd, Romeyzee Zainuddin pada sidang media majlis penyampaian kit perniagaan Program Survival Pandemik Anak Seni. - NSTP/Rohanis Shukri

Tambah Zed lagi, perkara itu sudah dijelaskan berkali-kali sewaktu mesyuarat bersama kerajaan. Namun, hingga hari ini, tiada sebarang tindakan diambil.

Justeru, katanya, dia tidak faham keperluan SENIMAN dipanggil mencadangkan usul kepada kerajaan.

"Sayang jika tidak menggunakan pengaruh dengan betul. Pengikut paling ramai terdiri daripada golongan selebriti, tetapi ia terpulanglah sekiranya kerajaan mampu menyampaikan maklumat mengenai vaksin hingga ke peringkat akar umbi dengan cara tersendiri.

"Cuma, saya berharap janganlah menggunakan golongan selebriti apabila berasakan perlu sahaja. Jika tidak perlu, golongan seni diabaikan begitu sahaja," katanya kepada HIP.

Zed turut mendedahkan menerima banyak aduan daripada pelakon akibat kekerapan melakukan ujian calitan untuk setiap projek yang dijayakan.

Katanya, sekiranya golongan seni diberikan vaksin terlebih awal, sekurang-kurangnya dapatlah meringankan bebanan daripada melakukan ujian calitan COVID-19 berkali-kali.

"Ramai artis merungut perlu menjalani ujian calitan setiap kali menjayakan projek baharu. Kita faham, ia adalah polisi yang perlu dipatuhi syarikat penerbitan sebelum memulakan penggambaran. Jika tidak, penggambaran tidak boleh diteruskan.

"Tetapi, bayangkan apa yang berlaku pada artis yang menerima banyak tawaran kerja? Setiap kali menjayakan projek baharu, biarpun penggambaran diadakan dalam bulan sama, mereka tetap perlu menjalani ujian calitan. Adakah mereka fikir tidak sakit hidung terpaksa dicucuk berkali-kali?

"Sebab itu, kami mengusulkan kerajaan memberikan vaksin kepada golongan selebriti terlebih dahulu. Jadi, apabila sudah ada vaksin tidak perlulah menjalani ujian calitan berkali-kali. Kami faham ujian calitan sangat penting, tetapi tidak perlulah berulang kali," katanya.

Berita Harian X