Sabtu, 20 March 2021 | 1:00pm
Shima mengamalkan diet yang ketat untuk menurunkan berat badan sehingga 36kg dalam tempoh setahun. - Foto Facebook Shima
Shima mengamalkan diet yang ketat untuk menurunkan berat badan sehingga 36kg dalam tempoh setahun. - Foto Facebook Shima

Shima sudah kurus

KUALA LUMPUR: Bukan mahu cantik, sebaliknya tindakan nekad penyanyi rock era 1990-an, Shima, 52, menurunkan berat badan demi menjaga kesihatan.

Berkat kesabaran menjaga pemakanan atas saranan doktor sejak setahun lalu, penyanyi yang popular menerusi lagu Teringin, Setelah Aku Kau Miliki dan Luka Dilukai itu berjaya menurunkan berat badan sebanyak 36 kilogram (kg).

Nyata, penurunan berat badan membawa banyak kesan positif. Derita yang ditanggung akibat penyakit cakera tulang belakang dan saraf sejak 2012 semakin berkurangan.

Begitu juga sakit tumit kaki setiap kali memijak semakin baik sejak berjaya menurunkan berat badan. Sebelum ini, berat badan Shima 85kg, kini hanya 49kg.

Namun, tiada jalan singkat untuk mencapai apa yang diingini, sebaliknya Shima berkata, rejim pemakanan yang diamalkan agak ketat. Semuanya dilakukan demi kesihatan memandangkan keluarganya mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Justeru, Shima berkata, tidak mahu gara-gara alpa menjaga kesihatan diri, menyebabkannya berisiko besar mewarisi penyakit berkenaan.

"Saya akan melakukan pemeriksaan kesihatan, setiap tahun. Doktor menasihati saya menurunkan berat badan memandangkan masalah cakera tulang belakang semakin teruk pada November, tahun lalu. Ini kerana tulang belakang tidak boleh menampung berat badan berlebihan.

"Selain itu, saya sering mengalami kesakitan pada tumit kaki hingga sukar mahu berjalan dan solat. Saya nekad mengikut nasihat doktor dalam usia yang semakin meningkat, ditambah pula sejarah penyakit keluarga," katanya kepada BH Online.

Disebabkan masalah tulang belakang dihadapi, Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman tidak mampu melakukan senaman, sebaliknya hanya menjaga pemakanan. Itu pun sudah dilihat berbaloi apabila berjaya menurunkan berat badan.

Kongsi Shima, lima bulan pertama adalah tempoh paling mencabar apabila terpaksa melupakan makanan yang menjadi kegemarannya seperti roti canai dan nasi lemak. Nasi yang wajib dijamah setiap hari juga dicatu, hanya menjamah segenggam nasi sahaja.

Manakala, gula dan makanan berkarbohidrat tinggi ditinggalkan, sebaliknya mendapat sumber gula melalui buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Saya tidak menyesal meninggalkan makanan kegemaran selama ini kerana hasilnya cukup menggembirakan.

"Bukan sahaja badan semakin sihat, saya sudah boleh melakukan kerja rumah. Sebelum ini, suami, Abdullah Rosli, 44, banyak membantu menguruskan hal rumah tangga, tetapi kini, saya tidak perlu lagi mengharapkan suami," katanya.

Penampilan Shima ketika mempunyai berat badan 85kg hingga menyebabkan penyakit cakera tulang semakin teruk. - Foto NSTP
Penampilan Shima ketika mempunyai berat badan 85kg hingga menyebabkan penyakit cakera tulang semakin teruk. - Foto NSTP

Gara-gara kejayaannya menurunkan berat badan, Shima berkata, ramai mengagumi dan meminta tips menurunkan berat badan daripadanya.

Bagaimanapun, penyanyi yang pernah meraih Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Wanita, Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993 itu tidak akan berkongsi tips diamalkan sesuka hati.

Shima berkata, dia akan meminta mereka yang bertanya merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum berkongsi sebarang tips yang diamalkan.

"Saya tak langsung kedekut ilmu. Kalau boleh saya ingin berkongsi tips pemakanan dengan semua orang. Cuma, saya tidak mahu memandai-mandai, mana tahu mereka ada penyakit lain. Saya tidak mahu dipersalahkan.

"Regim diet saya agak ketat. Lima bulan pertama sangat kritikal di mana saya hanya menjamah makanan yang direbus atau dipanggang. Saya bimbang mereka tidak tahan dengan diet yang saya lakukan. Sebab itulah, saya minta buat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mengikut cara saya.

"Apabila hendak mengamalkan diet, disiplin perlulah kuat. Tak mahulah setakat hangat-hangat pada permulaan. Sebaliknya, ia perlu dijadikan amalan barulah berat badan akan berkekalan dan tidak naik. Alhamdulillah, berkat menjaga pemakanan, keputusan darah saya sangat baik. Tiada kencing manis, darah tinggi mahupun kolestrol," katanya.

Berbicara mengenai kerjaya seni, Shima tidak menafikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan tawaran nyanyian semakin berkurangan.

Namun, kata Shima, dia reda dengan apa yang berlaku memandangkan semua orang terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Saya hanya sempat menjayakan satu persembahan, tahun lalu dan diundang ke sebuah program bersama PU Azman yang dijangka menemui penonton pada Ramadan ini. Tidak adil jika saya merungut, bukan saya seorang sahaja yang terkesan, ramai yang berdepan dengan kegetiran hidup.

"Rakan yang bekerja sebagai penyanyi dan pemuzik di kelab malam lebih kasihan hingga ada yang terpaksa bertukar profesion seperti berniaga dan membuat servis penghantaran makanan.

"Kita hanya mampu mengharapkan ada keajaiban yang berlaku dalam keadaan sekarang. Kerajaan sudah buat macam-macam termasuk membawa masuk vaksin. Jadi, sama-samalah bersabar dan tunggu," katanya yang sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Berita Harian X