Jumaat, 19 March 2021 | 6:39pm
Noor Nabila Mohd Noor bersama suami, Engku Emran Zainal Abidin serta anak-anak, Engku Aleesya dan Jebat Jayden. - Foto Noor Nabila
Noor Nabila Mohd Noor bersama suami, Engku Emran Zainal Abidin serta anak-anak, Engku Aleesya dan Jebat Jayden. - Foto Noor Nabila

'Nabila berhak bahagia' - Sharnaaz

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengucapkan tahniah kepada bekas isterinya, Noor Nabila Mohd Noor itu yang kini bergelar isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Menerusi perkongsian dalam laman sosial Instagram (IG), Sharnaaz berkata, bekas isterinya berhak untuk mencari kebahagiaan dengan kehidupannya.

"Nabila berhak untuk bahagia, dia pun masih muda. Bagi saya, pilihan Nabila mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran satu perkara yang baik.

"Sebagai bekas suami, saya ingin mengucapkan selamat pengantin baharu kepada Nabila dan Engku Emran.

"Semoga berbahagia sampai ke anak cucu. Jaga Jebat elok-elok," katanya.

Video berdurasi hampir seminit itu juga turut disertakan kapsyen terima kasih kepada semua yang mendoakannya dan Nabila.

Sebelum itu, pelakon Isteri Misteri itu berkongsi sekeping gambar mendoakan kebahagiaan Nabila.

Sharnaaz Ahmad mendoakan kebahagiaan bekas isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, pesan jaga Jebat Jayden elok-elok. - Foto IG Jebat Jayden
Sharnaaz Ahmad mendoakan kebahagiaan bekas isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, pesan jaga Jebat Jayden elok-elok. - Foto IG Jebat Jayden

Perkongsiannya mendapat perhatian pengikut IG yang turut mendoakan semoga Sharnaaz bertemu dengan jodoh yang terbaik buatnya.

Sementara itu, Nabila meluahkan penghargaan kepada yang mereka mendoakan yang baik-baik untuk perkahwinannya itu.

"Terima kasih tidak terhingga untuk doa yang dititipkan buat saya dan suami, Emran selepas berlangsungnya majlis pernikahan, pagi tadi.

"Semoga kami dapat melengkapi hidup, saling membahagiakan antara satu sama lain. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati perkahwinan ini dan melanjutkan rasa cinta kami hingga ke syurga jannah, insya-Allah," katanya.

Noor Nabila, 36, diijabkabulkan bersama Engku Emran, 46, di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pagi ini.

Terdahulu, Sharnaaz dan Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017, bagaimanapun berpisah pada Julai, tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia tiga tahun.

Berita Harian X