Jumaat, 19 March 2021 | 11:00am
Filem Bulan & Pria Terhebat yang menggandingkan Zizan dan Zahirah kini ditayangkan di Astro First. Foto Ihsan Astro
Filem Bulan & Pria Terhebat yang menggandingkan Zizan dan Zahirah kini ditayangkan di Astro First. Foto Ihsan Astro

Ghaz belum mahu kibar 'bendera putih'

KUALA LUMPUR: Setahun lalu, filem Bulan & Pria Terhebat hanya sempat menjengah pawagam kira-kira seminggu sebelum ditarik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.

Situasi itu sedikit sebanyak mengecewakan pengarahnya, Ghaz Abu Bakar kerana harapan yang diletakkan terhadap filem bercorak aksi itu sangat tinggi.

Mempertaruhkan nama besar seperti Zizan Razak, Maya Karin dan Zahirah MacWilson sebagai pelakon, sudah tentu Ghaz mengharapkan naskhah itu berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Namun, bagi mengelak karya terperam, baru-baru ini, filem terbitan Nizra Entertainment itu ditayangkan di Astro First selepas setahun tidak dipasarkan.

Biarpun usaha itu dilihat mampu memenuhi permintaan penonton yang tidak berkesempatan menyaksikan filem itu di layar perak, namun, jauh di sudut hati, terbit rasa bimbang atas reaksi peminat.

"Setakat ini, saya belum dimaklumkan mengenai jumlah kutipan diraih.

"Kalau filem itu berjaya mendapat kutipan jutaan ringgit, tentu berita itu sudah diuar-uarkan di media sosial stesen penyiaran terbabit.

"Saya tidak boleh membandingkan filem ini dengan Mail Totey The Movie yang mempunyai pengikut sendiri di YouTube.

"Tapi kalau hendak filem ini berjaya mencapai kutipan pecah panggung, strategi pemasaran kena diperhebatkan.

Ghaz memanfaatkan medium baharu bagi memastikan filem Bulan & Pria Terhebat menemui peminat. Foto Ihsan Ghaz Abu Bakar
Ghaz memanfaatkan medium baharu bagi memastikan filem Bulan & Pria Terhebat menemui peminat. Foto Ihsan Ghaz Abu Bakar

"Ketika filem ini dipertontonkan tahun lalu, aspek pemasaran masih belum luas kerana tayangan dihentikan selepas seminggu di pawagam," katanya kepada BH Online.

Sebagai individu yang sudah biasa dengan budaya menonton di pawagam, Ghaz mengaku mengamati filem dalam platform berbeza atau norma baharu sedikit asing buatnya.

"Jujurnya, saya agak kecewa kerana tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak ketawa penonton.

"Namun, saya terpaksa melihat situasi ini dari sudut positif. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

"Tidak dinafikan walaupun pawagam sudah beroperasi, namun ia agak mencabar kerana prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan menghalang pawagam menempatkan ramai penonton.

"Ini memberi kesan daripada segi kutipan. Namun, apa yang paling merisaukan saya adalah isu cetak rompak yang cepat berlaku apabila ditayangkan melalui platform lain.

"Saya harap pengedar akan memantau perkara ini dengan lebih serius," katanya.

Namun, Ghaz mengaku tayangan melalui Astro First sebagai alternatif membantu penggiat industri perfileman berkarya.

"Sekurang-kurangnya kita masih ada platform untuk filem kita ditayangkan," katanya.

Tambah Ghaz, saingan daripada saluran penstriman digital yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan menambahkan kebimbangannya terhadap nasib filem Bulan & Pria Terhebat.

"Rata-rata maklum balas yang saya terima menyatakan mereka lebih suka menonton filem menerusi saluran penstriman digital seperti Netflix, Viu dan lain-lain.

"Situasi ini agak membimbangkan. Justeru, saya harap penerbit akan mengambil kesempatan menayangkan filem ini dalam medium penstriman digital," katanya.

Walaupun berdepan cabaran pandemik, ia bukanlah alasan untuk sutradara ini mengangkat 'bendera putih' tanda kalah.

Menurut Ghaz, dia masih yakin industri perfileman kembali bersinar.

"Ramai yang melahirkan rasa rindu untuk menonton filem dalam skala yang lebih besar seperti di panggung wayang.

"Bagaimanapun, tidak kurang juga yang masih takut. Apapun, saya yakin semua ini akan segera berakhir lebih-lebih lagi dengan adanya vaksin.

"Cuma kena bersabar. Saya tidak pernah menganggap pandemik ini sebagai penghalang untuk penggiat filem berkarya.

"Masih ada lagi projek filem yang akan saya usahakan dengan mengekalkan genre aksi dan komedi," katanya.

Merancang penggambaran awal tahun depan, Ghaz tidak mahu mengambil risiko jika projek itu dimulakan tahun ini.

"Untuk projek ini, saya mendapat bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Jika segala-galanya lancar, saya sasarkan filem berjudul Pantai Kodiang ini akan menemui penonton pada 2023," katanya optimis.

Sementara menunggu projek filem bermula, pengarah yang pernah menghasilkan filem pecah panggung Polis Evo ini menghasilkan drama bersiri untuk disiarkan di platform digital.

Ghaz menganggap bekerjasama dengan platform digital lebih memberi kepuasan dalam berkarya.

"Saya menghasilkan musim kedua drama bersiri Black untuk siaran Viu. Menyusul adalah drama terbitan produksi saya sendiri berjudul Hilang yang akan disiarkan di platform sama.

"Sebagai pengkarya, menghasilkan naskhah untuk saluran penstriman Viu lebih memberi kepuasan. Mereka memberi kebebasan sepenuhnya daripada segi kreativiti.

"Viu terbuka dalam soal jalan cerita dan gaya bahasa. Disebabkan itu, kebanyakan drama terbitan Viu berbeza drama yang sedia ada.

"Bajet yang diberikan agak besar berbanding stesen penyiaran lain.

Keterbukaan mereka memudahkan kita untuk lebih kreatif dan menghasilkan karya di luar kotak tanpa sekatan," katanya.

Filem Bulan & Pria Terhebat mengisahkan Bulan, pelatih pasukan tentera khas Indonesia menyeludup ke dalam sindiket pemerdagangan manusia untuk mencari adiknya, Melati yang diculik ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris, seorang pemandu e-hailing yang sudi membantunya. Namun, mereka berdepan bahaya apabila ketua sindiket, Ricky dan pembantunya, Agus menghantar pembunuh upahan, Tony untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Bulan & Pria Terhebat ditayangkan di pawagam pada 12 Mac 2020 sebelum dihentikan berikutan penularan COVID-19.

Berita Harian X