Jumaat, 12 March 2021 | 1:00pm
Demi membantu kelangsungan hidup penggiat seni seperti ditetapkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, FINAS akan mengedarkan surat tawaran kepada 65 syarikat produksi, tidak lama lagi. - Foto FINAS
Demi membantu kelangsungan hidup penggiat seni seperti ditetapkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, FINAS akan mengedarkan surat tawaran kepada 65 syarikat produksi, tidak lama lagi. - Foto FINAS

Masih ambil ringan SOP di lokasi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerima teguran umum mengenai perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di lokasi penggambaran, ketika kerajaan membenarkan aktiviti syarikat produksi diteruskan demi kepentingan penggiat seni.

Kesal dengan tindak-tanduk segelintir syarikat produksi yang mengambil ringan soal pematuhan SOP, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid tidak mahu imej penggerak industri kreatif dipandang rendah, ketika seluruh negara 'berperang' melawan COVID-19.

"Saya menerima beberapa teguran umum mengenai pelanggaran SOP di lokasi penggambaran. FINAS mahu syarikat produksi tidak mengambil mudah mengenai pematuhan SOP.

"Kita tidak mahu disiplin penggiat seni dipandang rendah di mata umum, sekali gus menjadi penyebab kepada penularan COVID-19," katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, Zakaria berkata, FINAS tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menghentikan penggambaran serta-merta jika ada syarikat produksi ingkar SOP.

Tambahnya, pekerja industri kreatif perlu sentiasa peka dalam pematuhan SOP agar kebenaran menyambung penggambaran tidak ditarik balik.

"Warga industri kreatif juga tidak mahu perkara seperti itu terjadi. Justeru, setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dalam kalangan kita," katanya.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid tidak mahu imej penggerak industri kreatif dipandang rendah, ketika seluruh negara ‘berperang’ melawan COVID-19. - Foto FINAS
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid tidak mahu imej penggerak industri kreatif dipandang rendah, ketika seluruh negara ‘berperang’ melawan COVID-19. - Foto FINAS

Dalam perkembangan lain, Zakaria mengingatkan syarikat produksi tempatan yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) agar menyiapkan kerja penggambaran dalam tempoh ditetapkan.

"Sejak tahun lalu, FINAS menawarkan 210 peluang pekerjaan atau projek bagi menjana pendapatan penggiat seni.

"FINAS ingin mengingatkan syarikat produksi terbabit merancang sebaik-baiknya kerja penggambaran supaya produk boleh disiapkan mengikut jadual.

"Kami sangat tegas dalam memastikan tiada projek terbengkalai seperti lalu, yang menyebabkan kerugian dana kerajaan," katanya.

Sebagai agensi pelaksana DKD, Zakaria berharap, usaha FINAS untuk merancakkan ekonomi penggiat industri kreatif tidak dipersia-siakan.

Sementara itu, demi membantu kelangsungan hidup penggiat seni seperti ditetapkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, FINAS akan mengedarkan surat tawaran kepada 65 syarikat produksi, tidak lama lagi.

"Dengan banyaknya tawaran kerja ketika pandemik, FINAS yakin penerbit dan syarikat produksi boleh menyiapkan kerja mengikut jadual," katanya.

Berita Harian X