Isnin, 8 March 2021 | 11:02pm
Marisa Yasmin satu-satunya pelakon Malaysia yang membintangi drama Poskad Dari Alhambra arahan Faisal Ishak. - Foto IG Marisa Yasmin
Marisa Yasmin satu-satunya pelakon Malaysia yang membintangi drama Poskad Dari Alhambra arahan Faisal Ishak. - Foto IG Marisa Yasmin

Marisa menang Pelakon Wanita Terbaik

KUALA LUMPUR: Aktres Marisa Yasmin mengharumkan nama negara apabila diangkat Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Pembantu (Drama Bersiri) menerusi Pesta Perdana Ke-16 yang berlangsung di Teater Mediacorp, Singapura pada Jumaat lalu.

Marisa, 44, menggondol trofi berkenaan menerusi drama Poskad Dari Alhambra. Dia juga satu-satunya pelakon tempatan membintangi drama berkenaan.

Pesta Perdana adalah acara yang meraikan dunia televisyen Melayu di Singapura.

Biarpun tidak dapat terbang ke Singapura mengambil trofi kemenangannya, Marisa berkata, dia tetap bersyukur, malah tidak menyangka boleh menewaskan empat pelakon lain termasuk Susan Lankester yang turut dicalonkan dalam kategori sama.

Katanya, dia terus melakukan sujud syukur sebaik mengetahui kemenangan pertama yang disifatkan kenangan paling manis sepanjang kerjayanya sebagai pelakon.

"Alhamdulillah, akhirnya saya menerima pengiktirafan selepas 21 tahun bergelar pelakon. Sejujurnya, saya tidak meletakkan harapan tinggi apabila menembusi pencalonan Top 5. Saya cukup berbesar hati apabila nama disebut pada acara berkenaan.

"Sebelum ini, nama saya pernah dicalonkan untuk Anugerah Skrin dan Anugerah Seri Angkasa, namun belum pernah bernasib baik. Saya akui, bakat saya tidak sehebat pelakon lain, jadi saya tidak meletakkan sebarang harapan apabila dicalonkan menerusi Pesta Perdana.

"Saya hanya mengetahui kemenangan selepas pengumuman dibuat pengacara, Najip Ali. Saya terkejut apabila mendengar nama disebut, malah langsung tidak menyangka boleh menang, lebih lagi, melihatkan nama Susan turut dalam senarai," katanya kepada BH Online.

Pelakon kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, bukan trofi yang dikejar selama ini.

"Namun, apabila mendengar nama disebut buat kali pertama sebagai pemenang sudah memadai. Apa lebih penting, dapat membuka mata pencinta drama bakat saya.

"Sebelum ini, mungkin pernah mendengar nama saya, tetapi tidak mengenali paras rupa. Ramai yang menyangka nama Marisa Yasmin adalah nama pentas saya, sedangkan ia adalah nama sebenar.

"Jadi, kemenangan ini sekurang-kurangnya membuka mata dan membuatkan mereka lebih mengenali saya.

"Saya mengharapkan kemenangan ini membuka pintu rezeki yang lebih luas," katanya.

Antara babak dalam drama Poskad Dari Alhambra yang menjalani penggambaran selama sebulan di Granada, Sepanyol pada 2019. - Foto IG Marisa Yasmin
Antara babak dalam drama Poskad Dari Alhambra yang menjalani penggambaran selama sebulan di Granada, Sepanyol pada 2019. - Foto IG Marisa Yasmin

Berkongsi mengenai drama Poskad Dari Alhamra, Marisa berkata, dia bukanlah pilihan pertama. Oleh kerana, kurang kenali di Singapura, namanya hampir disingkirkan daripada drama berkenaan.

"Penerbit meyakinkan jabatan penyiaran alasan mahu mengambil saya berlakon. Ini kerana mereka mahukan mengetengahkan bakat tempatan. Secara kebetulan, saya sedang sibuk menjalani penggambaran, jadi uji bakat pula hanya boleh dilakukan menerusi panggilan video.

"Selain itu, saya meminta mereka menonton lakonan saya melalui Instagram supaya dapat membayangkan cara lakonan saya. Lagipun, saya jarang berkongsi perkara lain selain kerja seni dalam laman sosial.

"Apabila mereka bersetuju tentunya saya tidak fikir dua kali untuk menerima. Saya melakukan sehabis baik untuk membuktikan saya mampu menandingi kehebatan pelakon mereka. Alhamdulillah, saya berjaya membuktikan menerusi kemenangan ini," katanya yang menjalani penggambaran selama sebulan di Granada, Sepanyol pada 2019.

Drama Poskad Dari Alhamra arahan Faisal Ishak mengisahkan Salmah yang menyerahkan anaknya kandung yang juga mangsa rogol kepada teman lama yang tidak memiliki zuriat. Salmah membawa diri ke Sepanyol lalu menukar nama kepada Natasha.

Marisa berkata, dia terpaksa belajar bertutur bahasa Sepanyol memandangkan jalan cerita berlatar belakangkan negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya mempelajari bahasa Sepanyol menerusi laman YouTube serta rakan pelakon yang terbabit dalam drama berkenaan.

"Perkara paling sukar apabila terpaksa bertutur dalam bahasa Sepanyol, lebih lagi, ketika babak sedih. Itulah paling mencabar, tetapi Alhamdulillah, watak berat ini membawa tuah kepada saya," kata Marisa.

Berita Harian X