X
Selasa, 2 March 2021 | 3:45pm
Aktor, Saharul Ridzwan dan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir menjadi duta dan mengusahakan produk wangian aroma bersama. - Foto Saharul Ridzwan
Aktor, Saharul Ridzwan dan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir menjadi duta dan mengusahakan produk wangian aroma bersama. - Foto Saharul Ridzwan

Saharul lebur berpuluh ribu

KUALA LUMPUR: Berdepan banyak kegagalan, selain puluhan ribu duit simpanan lebur tidak sedikitpun mematahkan semangat, sebaliknya aktor bertubuh sasa, Saharul Ridzwan, 32, tetap meneruskan minat dalam dunia perniagaan.

Jika ikutkan, memang serik duit simpanan hangus begitu sahaja, berniaga pula tidak menjadi, namun ada yang berpendapat, kebanyakan golongan peniaga berdepan dengan kegagalan terlebih dahulu sebelum berjaya.

Enggan menjadi insan mudah berputus asa, Saharul tetap mencari lubang perniagaan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan apabila dunia lakonan lakonan tidak memberikan pendapatan yang baik seperti hari ini.

"Berlakon masih boleh menampung kehidupan saya sekarang, tetapi sejauh mana? Saya hanya memberikan tempoh dua atau tiga tahun untuk relevan sebagai hero.

"Mungkin selepas ini hanya watak sebagai abang kepada hero atau pembantu sahaja diperoleh. Dan untuk mendapatkan pendapatan seperti hari ini, saya harus menjayakan tiga hingga empat tawaran lain dalam tempoh yang sama.

"Saya tak mahu bersusah payah bekerja siang malam untuk mendapatkan apa yang diperoleh sekarang. Jadi, sebagai jaminan hidup, jalannya hanya menerusi perniagaan," katanya kepada BH Online.

Pelakon Korban Kasih dan Cinta Sekali Lagi itu berkata, dia pernah berdepan kerugian berpuluh ribu ringgit ketika mula menceburi dunia perniagaan, sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, antara punca utama kerugian disebabkan kurang ilmu dalam bidang perniagaan.

"Sebelum ini, saya pernah berniaga serunding, minyak wangi dan skrub muka, tetapi semuanya tidak menjadi. Dengan tiada ilmu, saya mengalami kerugian hampir puluhan ribu duit simpanan keluarga lebur.

"Pernah juga stok serunding dijual pada bulan puasa berulat, sedangkan saya sudah mengeluarkan modal puluhan ribu.

"Sedih hanya Allah yang tahu. Sampai satu tahap, saya takut nak berniaga dan serik nak tanggung kerugian. Namun, saya juga tidak boleh bergantung harapan pada dunia lakonan sahaja.

"Saya tetap kena berusaha memikirkan sudah berkeluarga dan anak-anak masih kecil, selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk wangian aromatik miliknya, Ode Scents, baru-baru ini.

Saharul Ridzwan yakin memulakan mengusahakan produk wangian aroma selepas bertemu dengan rakan kongsi, Nadzir Samsuddin. - Foto Saharul Ridzwan
Saharul Ridzwan yakin memulakan mengusahakan produk wangian aroma selepas bertemu dengan rakan kongsi, Nadzir Samsuddin. - Foto Saharul Ridzwan

Pelakon yang diangkat sebagai Aktor Hero Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur 2016 menerusi drama Kau Aku Kita itu berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk bergelar usahawan.

Katanya, perniagaan wangian aroma rumah dan kereta keluaran syarikatnya, Pack Houz Sdn Bhd diusahakan sebagai salah satu cara membantu ekonomi keluarga dan peniaga kecil lain.

"Hanya selepas 10 tahun saya betul-betul tekad memiliki produk sendiri, itu pun selepas bertemu rakan kongsi, Nadzir Samsuddin dan pasukan yang baik untuk urus tadbir perniagaan.

"Apabila difikirkan ada orang berniaga mengalami kerugian berjuta-juta, tetapi saya hanya puluhan ribu sudah takut mahu mencuba nasib. Apabila dengar motivasi peniaga lain, pengalaman kegagalan inilah menjadi pembakar semangat untuk saya untuk menghasilkan produk wangian aroma rumah dan kereta ini.

"Sebelum ini, saya acah-acah berniaga, tetapi tiada ilmu dan tunjuk ajar. Kini, saya membuat persiapan secukupnya.

"Saya percaya boleh berjaya dengan adanya pasukan yang bagus selama enam bulan membuat kajian, selain mendapat tunjuk ajar Nadzir. Saya dan isteri, Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir juga sebagai duta produk wangian ini," katanya yang melabur RM250,000 untuk membangunkan perniagaan pertamanya itu.

Berita Harian X