Selasa, 2 March 2021 | 11:01am
Fauziah teringat kenangan menyediakan sendiri skrip dan senarai tugas penting sebelum bersiaran ke udara ketika menjadi penyampai Radio 4.
Fauziah teringat kenangan menyediakan sendiri skrip dan senarai tugas penting sebelum bersiaran ke udara ketika menjadi penyampai Radio 4.

Juruhebah 'otai' kongsi ilmu

KUALA LUMPUR: Insiden bekas deejay radio swasta yang mencetuskan kontroversi dalam isu salah laku, baru-baru ini, bukan sahaja mencalar reputasi stesen penyiaran diwakili, malah, menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan sahsiah penyampai radio secara secara umum.

Selama ini, gelagat penyampai radio sering diperkatakan pendengar

terutama dalam aspek penggunaan bahasa rojak, lawak merapu dan tidak kurang juga ada yang seolah-olah 'syok sendiri'.

Terbaru, perlakuan perlakuan tidak senonoh deejay di luar konti pula menjadi punca mereka hilang kerja.

Insiden memalukan ini tidak akan berlaku jika penyampai radio berpegang etika yang bukan sahaja membentuk keperibadian mulia, malah menjadikan mereka penyiar dihormati.

Itu pandangan bekas penyampai radio tersohor, Chuari Selamat menyedari kebanyakan deejay generasi baharu lemah dalam aspek berkenaan.

"Tidak kiralah penyampai bertugas untuk stesen kerajaan atau swasta, aspek utama yang perlu diterapkan adalah disiplin dan imej.

"Radio diibaratkan pentas teater. Penyampai boleh membawa watak dan perwatakan masing-masing demi memancing pendengar.

Chuari berpendapat penyampai radio baik di stesen swasta atau kerajaan, perlu sentiasa menjaga etika dan akur garis panduan ditetapkan.
Chuari berpendapat penyampai radio baik di stesen swasta atau kerajaan, perlu sentiasa menjaga etika dan akur garis panduan ditetapkan.

"Namun, harus diingat, perwatakan itu jangan sampai terbawa-bawa hingga ke luar konti. Itulah yang dinamakan etika dan perlu ikut garis panduan yang ditetapkan," katanya kepada BH Online.

Sebagai penyiar berpengalaman, Chuari berpendapat situasi itu tidak akan berlaku jika pihak pengurusan tidak menjadikan faktor populariti sebagai kriteria utama untuk menjadi penyampai radio.

"Kalau zaman dahulu, perkara paling utama untuk menjadi penyampai radio adalah mutu suara.

"Sebelum diserapkan untuk menjadi penyiar atau penyampai radio, calon perlulah mempunyai mutu suara yang bagus.

"Calon mestilah boleh berkarakter umpamanya berupaya membaca berita dan boleh membuat sesi temubual dengan baik," katanya.

Chuari berkata, dalam keadaan sekarang, stesen radio cenderung memilih selebriti menjadi penyampai radio.

"Tetapi pihak pengurusan harus membuat pemantauan. Jangan hanya tahu hendak mengejar rating tetapi mengabaikan aspek tanggungjawab sosial terhadap pendengar," katanya.

Mengenai isu gurauan keterlaluan serta gaya bahasa pasar yang sering digunakan kebanyakan penyampai radio terutama swasta, Chuari memberikan analogi untuk menggambarkan kekecewaannya terhadap perkara itu.

"Letakkan situasi ketika kita berada di konti itu sama seperti kita hendak masuk ke rumah orang.

"Kita kena ingat, suara kita akan sampai ke mana-mana. Pendengar kita adalah daripada pelbagai lapisan masyarakat dan usia.

"Bayangkan, apabila kita bertandang ke rumah orang, apakah kita akan bersikap biadap seperti menggunakan bahasa pasar atau bergurau kasar apabila bersembang dengan mereka?

"Tak salah untuk bergurau dan saya pun bukanlah nak suruh mereka menjadi terlalu 'skima' (bosan), cuma kena ada batasan," katanya.

Chuari berpesan penyampai radio tidak sepatutnya menjadikan gelagat selamba di konti sebagai aliran terkini dan mengikut kehendak pendengar.

"Tanggungjawab penyampai radio sangat besar. Sebagai golongan yang dianggap 'trendsetter', perkara yang boleh membawa keburukan tidak harus dibiar berlanjutan.

"Jika tidak dikekang lebih awal, masyarakat akan menganggap ia adalah sesuatu yang normal dan tidak menjadi kesalahan andai dilakukan," katanya yang kali terakhir memikul tugas sebagai Pengurus Saluran Klasik Nasional sebelum bersara pada 2011.

Pendapat sama dikongsi pelakon senior, Fauziah Nawi yang pernah bertugas sebagai penyampai di saluran Radio 4 pada era 1970-an.

Fauziah berkata, penyampai radio ketika itu perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas kerana tindak tanduk mereka dipantau pihak pengurusan.

"Cara bertugas kami dahulu sangat berbeza dengan penyampai radio hari ini kerana format stesen radio sudah berbeza.

"Berdasarkan pengalaman, sebelum bertugas, saya menyediakan skrip dan menyenaraikan tugas penting yang dilakukan sepanjang bersiaran dalam buku log.

"Butir percakapan, topik dan senarai lagu perlu dicatat supaya kita tidak merapu ketika bertugas. Ketika itu, penyampai radio sering menjadi bahan rujukan.

"Pihak pengurusan sangat tegas dalam hal ini. Apabila kita buat silap di konti, pasti mendapat panggilan pihak atasan dan disusuli surat tunjuk sebab.

"Berbanding sekarang memang sangat berbeza... Mungkin itu adalah kehendak pendengar. Kalau tidak buat begitu, orang tidak akan mendengar celoteh mereka," katanya.

Noramin cukup sinonim dengan RMIK pada era 1980-an.
Noramin cukup sinonim dengan RMIK pada era 1980-an.

Sementara itu, deejay senior yang cukup sinonim dengan Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK), Noramin mempunyai pendapat berbeza mengenai kecenderungan stesen radio swasta membawa budaya baharu dalam penyampaian mereka.

"Pada saya, stesen penyiaran swasta berjaya mencipta pasaran baharu apabila menggunakan pelawak sebagai penyampai.

"Itulah yang kita namakan kreativiti. Stesen memerlukan penyampai yang bukan sahaja mampu bertahan lama, malah, membawa pulangan kepada stesen.

"Kalau ikutkan cara penyampai dulu, agak mustahil untuk mereka menonjol atau memancing pendengar.

"Disebabkan itu, mereka memilih pelawak untuk menjadi deejay. Pendengar sekarang perlu gimik dan humor, jadi, pelawak dilihat mampu menyalurkan elemen itu.

"Mungkin lawak merapu atau ketawa terbahak-bahak tidak sesuai untuk mereka, tetapi pasaran sekarang boleh terima.

"Contoh terdekat adalah keluarga saya sendiri. Isteri saya tidak suka tetapi anak saya boleh menerima cara penyampaian begitu.

"Jika saya diminta bersaing dengan mereka, saya pun boleh tersungkur," katanya yang juga 'orang kuat' di sebalik penubuhan radio swasta pertama, iaitu Time Highway Radio (THR).

Menyifatkan usaha mengekang perlakuan tidak beretika penyampai radio sebagai terlambat, Noramin atau nama sebenar, Mohd Nor Amin berkata, deejay perlu lebih berwaspada ketika bertugas.

"Kalau hendak kawal perkara ini, pada saya, sudah terlambat.

"Sepatutnya pihak pengurusan ambil tindakan lebih awal iaitu sebelum aliran ini diterima ramai.

"Agak sukar untuk dihalang kerana masyarakat sudah boleh menerimanya terutama generasi muda," katanya.

Noramin berkata, situasi sama juga berlaku dengan stesen radio negara jiran.

"Kebanyakan deejay di negara terbabit menggunakan perkataan yang dicantumkan sehingga membentuk istilah baharu.

"Suka atau tidak, inilah hakikat yang harus kita terima. Cuma sebagai penyampai, kita kena ada tapisan kendiri.

"Hendak buat lawak, nak ketawa terbahak-bahak, silakan. Tapi biarlah berpada-pada dan jangan sampai keterlaluan," katanya.

Berita Harian X