Sabtu, 20 Februari 2021 | 1:00pm
Luca (kiri) dan Kmy banyak menimba ilmu dalam projek kolaborasi bersama bintang bertaraf legenda dan nama besar seperti M Nasir dan Siti. Foto Ihsan Universal Music
Luca (kiri) dan Kmy banyak menimba ilmu dalam projek kolaborasi bersama bintang bertaraf legenda dan nama besar seperti M Nasir dan Siti. Foto Ihsan Universal Music

'Menggigil jumpa Raja Pop'

KUALA LUMPUR: Mencipta reputasi melalui projek kolaborasi dengan artis ternama, duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta disindir cuba menumpang aura gah bintang 'senior' demi populariti segera.

Mula dikenali selepas tampil dengan single Gong Nekara pada 2018, dua sahabat ini pernah bekerjasama dengan sifu muzik, Datuk M Nasir melalui single Zuhud, disusuli penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan lagu 7 Nasihat.

Terbaru, Kmy dan Luca memilih Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah bekerjasama dalam lagu diberi judul Neraca. Lagu ciptaan dua sahabat ini mula dilancarkan di platform digital, semalam.

Menjawab sindiran suka menumpang populariti artis nama besar, Luca atau nama sebenar, Shameer Ashraf Shahruddin menafikan mereka tidak yakin berdiri sendiri.

Sebaliknya, peluang berkolaborasi dengan lagenda tanah air datang sendiri dengan bantuan Universal Music.

Logiknya, tidak mungkin mereka melepaskan peluang keemasan ini.

"Bukan tidak yakin mempertaruhkan nama sendiri, kami ingin menggunakan peluang dan rezeki sebaiknya.

"Sebagai pemuzik, siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan legenda dan nama besar jika ada peluang.

"Perkara itu datang secara mudah dengan langkah kanan. Sejujurnya, peluang itu datang tanpa kami minta, semua ini direalisasikan atas bantuan Universal Music.

Pasangan duo hip hop, Luca dan Kmy mengaku gementar bertemu Jamal buat kali pertama. Foto Ihsan Universal Music
Pasangan duo hip hop, Luca dan Kmy mengaku gementar bertemu Jamal buat kali pertama. Foto Ihsan Universal Music

"Kami amat bersyukur dan semestinya menggunakan peluang diberikan itu dengan memberi hasil kerja terbaik," kata Luca.

Berkongsi pemilihan Jamal untuk projek terbaru itu, Kmy atau nama sebenar, Lukmanul Hakim menjelaskan penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu adalah idola mereka sejak di bangku sekolah.

Disebabkan lagu Neraca mengandungi elemen qasidah dan ghazal, tiada penyanyi yang dirasakan sesuai berganding memantapkan dendangan itu melainkan Jamal.

Apa yang membuatkan dua sahabat itu terharu, proses 'melamar' Raja Pop itu berlaku pantas.

Malah, Jamal tidak banyak kerenah dan sangat merendah diri.

"Proses 'meminang' Jamal sangat mudah. Sebelum kerjasama terjalin, kami tidak pernah bertemunya.

"Pada perjumpaan pertama untuk sesi rakaman, kami rasa sangat gementar.

"Saya sangka Jamal garang dan serius kerana merakam lagu ghazal. Hendak buka studio pun rasa takut.

"Namun selepas bertemu, beliau sangat mesra dan tidak lokek memberi nasihat," katanya.

Kmy menambah, ketika proses rakaman, Jamal meminta izin memantapkan bahagian nyanyian dengan lenggok tersendiri.

"Bagi kami, tiada tiada masalah. Kami lebih suka beliau dapat memberi aura tersendiri dalam lagu itu.

"Ini mengingatkan kami kepada Siti ketika proses rakaman single 7 Nasihat di mana beliau turut bertanya perkara sama," katanya.

Kmy berkata, melodi lagu itu siap sejak 2018, namun, disimpan kerana menunggu masa sesuai untuk dirakam.

Tambahnya, proses rakaman Neraca disempurnakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lalu, dalam tempoh tidak sampai dua jam.

Bertanya Jamal, penyanyi yang bakal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 mendendangkan lagu Belenggu Rindu bersama Wany Hasrita, tidak melihat Kmy dan Luca menumpang popularitinya.

Malah, kata Jamal, projek kolaborasi artis veteran dan bakat baharu sudah menjadi suatu aliran.

Menurutnya, jika usaha seumpama itu mampu membuatkan artis senior relevan, tidak ada salahnya.

"Bagi saya, masing-masing saling membantu. Ini formula biasa zaman sekarang.

"Jika dengan cara ini boleh membantu saya kekal relevan, bagi saya tidak salah," katanya.

Jamal berkata, biarpun lebih banyak pengalaman, namun, sebaik memasuki studio, beliau meletakkan dirinya di ruang paling bawah.

"Apa sahaja yang mereka mahu saya lakukan, saya buat yang terbaik dan tunduk kepada penyanyi baharu.

"Jika itu dapat membuatkan mereka menghasilkan karya terbaik, saya sanggup," katanya.

Jamal mengaku tiada masalah untuk menerima saranan bakat baharu dan membetulkan mana-mana aspek yang dirasakan kurang sesuai dalam memantapkan proses rakaman.

"Sebagai orang lama, apabila ada anak muda yang berminat untuk bekerjasama, saya amat berbesar hati, bersyukur dan sangat menghargai usaha mereka," katanya.

Jamal berkata, dia mendengar 'demo' lagu Neraca sebelum memberi persetujuan untuk bekerjasama.

"Mujur teknologi semakin canggih, biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sempat mendengar 'demo' yang dirakam.

"Saya tidak terus bersetuju. Sebaliknya, sesuatu lagu perlu dinilai terlebih dulu, sama ada 'suam-suam kuku' atau boleh pergi jauh.

"Sebaik mendengar 'demo' diberi, saya tidak nafikan Neraca sedap dan boleh diketengahkan," katanya.

Bagi Jamal, Neraca adalah karya mendalam, santai dan 'berisi'.

"Mesej yang disampaikan jika diamati betul-betul sangat menyentuh hati," katanya.

Single Neraca adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud mengenai gejala sosial yang menjadi-jadi disebabkan sikap manusia yang terlalu terbuka dalam media sosial.

Berita Harian X