Rabu, 3 Februari 2021 | 1:00pm
Nabila Huda sudah melupakan isu yuran persekolahan dibangkitkan, sebaliknya menemui penyelesaian bagi memastikan Keisha Laila mendapat pembelajaran sempurna. - Foto IG Nabila Huda
Nabila Huda sudah melupakan isu yuran persekolahan dibangkitkan, sebaliknya menemui penyelesaian bagi memastikan Keisha Laila mendapat pembelajaran sempurna. - Foto IG Nabila Huda

Artis risau prestasi anak

KUALA LUMPUR: Pandangan bintang filem Munafik, Nabila Huda mengenai keperluan menjelaskan yuran sekolah ketika Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, menarik perhatian netizen.

Sebagai ibu yang memiliki anak bersekolah, Nabila membangkitkan kewajaran ibu bapa menjelaskan yuran persekolahan, sedangkan pembelajaran dilakukan dalam talian.

Komen ibu kepada Keisha Laila, 11, yang juga cucu kepada legenda rock, Amy Search ini pantas mendapat reaksi netizen termasuk individu yang menyelar dirinya.

Namun, beberapa teman artis seperti Ning Baizura, Nora Danish, Emelda Rosmila dan Catriona Ross menyokong Nabila, lantas menarik perhatian ramai terhadap gelagat artis dalam menguruskan persekolahan anak pada era COVID-19.

Mendapatkan reaksi Nabila, isteri kepada usahawan, Mohd Izwan Johar ini sudah melupakan isu yuran persekolahan dibangkitkan, sebaliknya menemui penyelesaian bagi memastikan Keisha mendapat pembelajaran sempurna.

Nabila berkata, Keisha berhenti sekolah buat seketika dan mula mengikuti teknik 'sekolah di rumah' atau homeschool melalui khidmat guru yang datang ke kediaman mereka.

"Saya sama-sama belajar dengan Keisha kerana buat masa ini, saya tidak boleh menjalani penggambaran. Saya sediakan guru untuk mengajar subjek Matematik, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Seni.

"Selain itu, saya mendapatkan cikgu bahasa Mandarin dan Sepanyol," katanya kepada BH Online.

Keisha juga dihantar ke rumah seorang ustazah yang mengajar al-Quran.

"Saya juga iqra bersama anak," katanya.

Nabila berharap isu keperluan menjelaskan yuran sekolah ketika PdPR usah dibincangkan lagi, sebaliknya semua pihak perlu memandang ke hadapan.

"Kalau fikir perlu bawa anak keluar dari sekolah, boleh buat homeschool, andai itu yang terbaik untuk anak," katanya yang akan melunaskan penggambaran drama Diva Popular arahan Rashid Sibir sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Nabila berkata, teknik homeschool dianggap terbaik kerana penularan COVID-19 sukar dijangka.

"Sekurang-kurangnya, setahun atau dua tahun belajar secara homeschool, apabila kerajaan benarkan semua murid bersekolah seperti biasa, kita tiada masalah untuk meneruskannya.

"Ibu bapa buatlah keputusan terbaik untuk anak. Saya sudah temui teknik homeschool dan Keisha menyukainya," katanya.

Nora Danish boleh membayangkan betapa sukar dan bergelut untuk keluarga yang tidak mampu memenuhi keperluan wajib seperti komputer riba dan wifi. - Foto IG Nora Danish
Nora Danish boleh membayangkan betapa sukar dan bergelut untuk keluarga yang tidak mampu memenuhi keperluan wajib seperti komputer riba dan wifi. - Foto IG Nora Danish

Nabila berkata, Keisha sukar mengikut pengajian dalam talian dan lebih mudah menghadam ilmu melalui konsep konvensional iaitu bersemuka.

"Contohnya, kelas muzik dalam talian yang disertainya. Keisha kabur dan tidak faham apa yang disampaikan. Rumah kami pula tiada piano," katanya.

Nabila faham masalah dihadapi ibu bapa dalam membiasakan anak mengikut kaedah PdPR.

"Belajar dalam talian ini memerlukan wang untuk data internet, bil elektrik dan sebagainya. Sedangkan, ibu bapa perlu bayar yuran penuh. Saya fikir tidak adil lalu menyuarakannya sehingga disalah erti," katanya.

Nabila berkata, apa yang disuarakan tidak mengambil kira jenis sekolah milik kerajaan atau swasta.

"Sekolah kerajaan juga kena bayar itu dan ini. Apatah lagi sekolah swasta. Saya cuma minta jasa baik sekolah untuk kurangkan bayaran yuran.

"Tengoklah bagaimana ibu bapa bergelut dan berkorban untuk anak meneruskan pembelajaran dalam talian. Namun, biarpun tular, pihak sekolah tidak mengambil inisiatif pun. Jadi, saya putuskan Keisha mengikuti sistem homeschool," katanya.

Sementara itu, Nora mengaku bukan mudah membiasakan anaknya, Putera Rayqal, 12, dengan norma baharu dalam menuntut ilmu.

"Dengan guru berada di alam maya, tanggungjawab jadi lebih berat kepada ibu bapa yang bersama anak. Bayangkan kalau ibu bapa yang tak belajar tinggi, macam mana nak tolong tunjuk ajar anak?

"Saya boleh bayangkan betapa sukar dan bergelut keluarga yang tidak mampu memenuhi keperluan wajib seperti komputer riba dan wifi," katanya.

Nora berkata, proses pembelajaran dalam talian tidak sama seperti di sekolah.

"Rayqal sukar hendak fokus betul-betul kepada proses pembelajarannya. Wifi di rumah pula tidak stabil dan Rayqal cepat hilang fokus.

"Rayqal hanya fokus kepada subjek diminatinya. Subjek sukar seperti bahasa Mandarin, pendidikan Islam dan sejarah jadi bertambah susah," katanya.

Nora mengakui kaedah PdPR tidak sesuai untuk anaknya lantas menimbang kemungkinan mengikuti teknik homeschool untuk Rayqal.

"Saya jadi buntu. Saya faham sekolah ada masalah sendiri yang perlu diselesaikan. Tahun lalu, pengurusan sekolah swasta Rayqal memberi diskaun 10 peratus untuk yuran, namun, selebihnya saya masih berdepan masalah sama.

"Keputusan peperiksaan Rayqal teruk tahun lalu. Sebagai ibu, saya hilang punca bagaimana hendak membantu anak," katanya.

Catriona Ross yang mempunyai anak autisme, Jammal Raess Ross-Iddin berusia enam tahun mengakui PdPR buat anak istimewa cukup mencabar. - Foto IG Catriona Ross
Catriona Ross yang mempunyai anak autisme, Jammal Raess Ross-Iddin berusia enam tahun mengakui PdPR buat anak istimewa cukup mencabar. - Foto IG Catriona Ross

Sementara itu, Catriona yang mempunyai anak autisme, Jammal Raess Ross-Iddin, berusia enam tahun, mengaku PdPR buat anak istimewa cukup mencabar.

"Masalah fokus anak terganggu apabila wifi lembap kerana seisi rumah menggunakannya, mungkin perkara biasa.

"Situasi seperti itu kita boleh bertolak ansur dan bersabar. Namun, bagaimana hendak mengharapkan anak istimewa ini duduk terpaku depan komputer?

"Selama ini, dalam aktiviti biasa di sekolah, Jammal lebih banyak bergerak. Apa yang dihadapi sangat sukar. Anak istimewa bukan jenis terperap di suatu sudut dan setia menghadap komputer," katanya.

Sehubungan itu, Catriona bersetuju dengan saranan Nabila agar yuran persekolahan dikurangkan.

"Pertamanya, anak istimewa tidak pergi ke sekolah. Jadi, makanan tidak perlu disediakan termasuk penggunaan elektrik dan air.

"Saya faham, gaji guru perlu dibayar. Namun, saya fikir, tidak perlulah yuran penuh dibayar. Sepatutnya, sekolah perlu lebih bertimbang rasa kerana ada keluarga yang menerima kesan daripada situasi semasa," katanya

Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), setiap murid mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan.

Ini bermakna setiap murid berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan biarpun mereka tidak hadir ke sekolah. Kaedah PdPR dianggap alternatif pembelajaran norma baharu.

Berita Harian X